Wednesday, 30 September 2015

AL ISRA’ WAL MI’RAJ - Part 5

Label ni direka khusus untuk memuatkan emel-emel berantai (baca - yang baik2 saja ya) yang perlu dilupuskan sebab emel dah penuh okey. Emel ni dah lama, sejak tahun 2005 kot. Jadi, bolehla dari takda entry langsung kan?

emel bertarikh : Julai 2008

Antara salah satu peristiwa besar yang berlaku pada bulan Rejab adalah peristiwa Al Isra wal Mi’raj. Kebanyakan para ilmuan mengatakan peristiwa Al Isra wal Mi’raj berlaku pada 27 Rejab. Allah SWT berfirman: “Maha Suci Dia (Allah) yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al Aqsa yang diberkati kawasan sekitarnya, untuk dipertontonkan bukti-bukti kebesaran Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (surah al Isra’: 1)

Al Isra’ bermaksud perjalanan Rasulullah daripada Masjid al Haram di Mekah ke Masjid al Aqsa di Palestin pada hanya sebahagian malam. Al Mi’raj pula bermaksud perjalanan Rasulullah dari Masjid al Aqsa menuju ke Sidrat al Muntaha (melepasi lapisan langit ketujuh) dan menerima kefardhuan solat daripada Allah SWT.

Peristiwa Al Isra wal Mi’raj adalah peristiwa yang luar biasa dan tiada manusia yang mampu merencana perjalanan sehebat peristiwa ini. Justeru itulah Allah SWT memulakan ayat ini dengan memuji DIRINYA yang tidak terbanding dengan mana-mana kekuasaan dan kebijaksanaan yang lain.

Antara pengajaran utama daripada peristiwa Al Isra wal Mi’raj adalah seperti berikut:
1.    Keutamaan Solat
Allah SWT mewahyukan kewajiban solat secara langsung kepada Rasulullah SAW tanpa melalui sebarang perantaraan dalam peristiwa Al Isra wal Mi’raj. Pada asalnya manusia diperintahkan untuk menunaikan solat 50 waktu sehari semalam. Walaubagaimanapun perintah tersebut dikurangkan sehingga hanya 5 waktu sehari semalam sebagaimana yang kita laksanakan pada hari ini. Rasulullah mengatakan sesiapa yang mengerjakan solat 5 waktu sehari sebagaimana yang diperintahkan, akan mendapat ganjaran seolah-olah mengerjakan 50 waktu sehari semalam (hadith riwayat al Bukhari). Para Ilmuan Islam mengatakan bahawa “Solat adalah mi’raj bagi seorang Mukmin (orang beriman)”. Solat juga menjadi pembeza di antara iman dan kufur.

2.    Kemuliaan Masjid al Haram dan Masjid al Aqsa
Dalam ayat yang disebutkan di atas, disebutkan dua masjid secara jelas iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjid al Aqsa di Palestin. Masjid al Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Mekah. Bahkan Masjid al Aqsa dan Baitul Maqdis adalah tanah suci umat Islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah. Masjid al Aqsa juga merupakan masjid yang kedua tertua selepas Masjidil Haram iaitu dibina 40 tahun selepas pembinaan Masjidil Haram di Mekah (Hadith riwayat al Bukhari). Malangnya pada hari ini, Masjid al Aqsa menjadi saksi kepada jenayah kemanusiaan yang paling buruk dalam sejarah dunia dan tidak ada mahkamah di atas dunia ini yang boleh menjatuhkan hukuman kepada Regim Israel yang merampas tanah dan menyembelih Umat Islam dan sebahagian penganut Kristian dan Yahudi di Palestin.

3.    Hikmah di sebalik ujian
Peristiwa bersejarah ini berlaku selepas Rasulullah SAW mengalami tahun yang penuh dukacita. Baginda kehilangan isteri yang tercinta, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib hampir serentak. Tambah memilukan kedatangan Baginda ke Taif (sebuah negeri di luar Mekah) bukan sekadar tidak disambut tetapi Baginda dilemparkan batu oleh pemuda-pemuda upahan sehingga baginda luka parah. Walaubagaimanapun Baginda terus berdoa agar Allah member hidayah kepada penduduk Taif biarpun mereka menyakiti Baginda. Segala dukacita Baginda diubati dengan anugerah yang Maha Besar; perjalanan ke langit untuk bertemu dengan Tuhannya! Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa betapa kesusahan pun yang kita alami dalam hidup, kesusahan itu tidak akan berpanjangan, bahkan kesenangan dan kebahagiaan pasti dinikmati andai kita sentiasa sabar dan bijak mengurus segala cabaran yang mendatang serta bertawakkal kepada Allah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...