Lebih kurang 10 tahun yang lalu - cepatnya masa tu kan. Dari terperap dalam emel, letak sini boleh juga baca2, boleh sharing. Pahala berterusan. Tak dapat buat baik banyak, buat baik sikit pun jadilah.
Tarikh emel ; 28 April 2006
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli
keluargamu
daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala.
Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka
tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa
yang
diperintahkan" [al-Tahrim 66 : 6]
Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai.
Saya bukan meminta kelebihan. Apa yang saya pohonkan
ialah pada beberapa
kotak kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk
isteri
dan anak-anak.
"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu.
Anak hari-hari boleh jumpa. Kami
sudah tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz
dapat
pertimbangkan permintaan kami", kata seorang pemanggil yang menelefon
saya.
Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya
serba
salah. Mengapakah masa seorang ustaz untuk
anak-anaknya tidak dianggap
penting? Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang,
didikan dan perhatiannya kepada anak-anak. Semasa saya kecil, saya
tinggal
di sebuah kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya
pernah membuat
kesimpulan bahawa budak-budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak
pun anak polis!
Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh
beranggapan sedemikian rupa. Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang
ayah belikan, dibengkokkan oleh si Samseng
Kampung Dusun, anak seorang
ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi gundah semula. Terutamanya selepas
menerima maklum balas seperti dialog di atas.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Itulah peribahasa
Melayu yang amat menusuk perasaan saya. Ketika saya
menaip artikel ini,
Saiful Islam dan Naurah sedang tidur
nyenyak di depan saya. Memandang
mereka telah meretak hibakan hati saya.
"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi
berdosa mengabaikan kalian", saya
sukar menahan hati dari bersedih.
Saya masih ingat, semasa saya di
Ireland, usaha saya mendidik dan
membesarkan Saiful Islam, ternyata amat
mudah. Malah saya setiap hari
memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful
Islam amat mudah untuk
diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk
membawa
anak sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala
sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.
Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan
kesalahan, caranya
amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka
bicara, Saiful Islam
sudah menghamburkan air mata takutkan 'kemarahan' saya.
Tidak dinafikan,
ketika itu mungkin usia anak saya baru
setahun dua. Memang tidak susah
menjaganya. Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini
saya tetap saya yang
sama. Anak bertambah, usia mereka juga
bertambah, tetapi mereka tetap
berayahkan ayah yang sama. Tetapi kenapa hari
ini, fikiran saya selalu
kusut memikirkan mereka?
Ya, suasana di Ireland amat saya
rindui. Saya duduk di negara Kuffar,
tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan
menggembirakan. Saya tidak
menyesal menjadi 'suri rumah' selama beberapa tahun. Saya
bertugas secara
sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master
secara distance
learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya
menjaga soal
makan minum, hal ehwal rumah tangga, dan Saiful
Islam membesar di depan
mata.
Itu lebih baik, daripada saya bekerja
sebagai kasyer di pasar raya,
kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro
sebulan. Masakan tidak, semua nanny memegang
Ijazah Early Childhood
Learning malah mahir pula dengan rawatan kecemasan
Paedriatrik dan first
aid.
Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya
sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu
siang malam.
Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya
mandikan anak,
menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan.
Saya
bermain bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk
makan tengah
hari. Saiful Islam tidur semula sekitar
jam 11 dan saya naik ke bilik
ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di
masjid, jika cuaca
baik. Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan
kemudian membawa
Saiful Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya,
pulang bersama sambil menghirup udara petang yang segar.
Ketika di Naas,
kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama roti
keras yang
saya bawa dari rumah, untuk memberi burung undan di
tasik, makan petang
bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya
turut
sama.
Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar
nasi dan lauk,
khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami,
Naurah Sabihah.
Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran
saya tenang dan prolifik,
kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya
sanggup mengayuh mountain bike
selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik
yang
tinggal di South Circular Road, Dublin.
Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland.
Memang hati kami
sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara
masjid bertahun lamanya.
Namun derita melihat laungan azan tidak
diendahkan di Malaysia, lebih
menghiris rasa.
Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia.
Cabaran membesarkan anak-anak
semakin meruncing.
Semasa di Ireland, saya pernah berbual
dengan isteri sambil merenung
daun-daun perang gugur di petang musim luruh.
"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di
Ireland sampai usia anak kita
mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita
harus pulang ke
Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan
kami.
Isteri saya mengangguk tanda setuju.
Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak
saya. Tentu
sahaja saya patut risau. Semasa bertugas
sebagai Pengetua dan guru di
Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan.
Selain
kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami,
saya
juga tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn
Road,
Belfast. Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan
tag namanya
tertulis "OMER". Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras
Asia. Apabila
ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau
termenung seketika dan
berkata, "my father is a Moslem!"
Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada
anak-anak
dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.
Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan
saya berubah sama sekali.
Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap
rumah kami,
"apakah selamat anakku membesar di Malaysia?"
Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas
Iman dan Kufur kepada anak-anak.
"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia
bukan orang Islam!", saya boleh
menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa
yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi
kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.
Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin,
Shahril, semuanya
lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak
banyak berbeza. Grey area
melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia
Islam. Tetapi kelakuannya
tidak mencerminkan agama di kad
pengenalannya. Habis, mudahkah saya
menerangkan semua ini kepada anak-anak? Saya
tabik kepada rakan yang
sanggup menyekolahkan anak-anak di SRJK(C), walau pun terpaksa
berulang ke
sekolah menghantar bekal makanan sendiri.
Semuanya kerana mereka mahu
anak-anak membesar di dalam suatu suasana yang
garis hitam dan putihnya
jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...
Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa
di Ireland.
Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar
untuk
darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah
selepas dua
jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya
banyak berusaha membaca dan
belajar tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis
setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya
marah
berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.
Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah
keluarga Stephen Covey.
Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station
untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia
tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan dengan anak-anaknya. Bukan suatu
yang mudah untuk seorang
American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.
Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak
dengan tengking dan
leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah
bisanya hilang. Saya
tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai
teknik default menegur
kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi
baik hasil siri marah di
sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi
akan
menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari
nanti. Ingat, anak kita
mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi
mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita
sebagai ibu
dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan
cari sebab yang jauh.
Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.
Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan
pendekatan harian saya. Saya
lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba
memahamkan mereka kenapa
satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika
Saiful Islam naik angin,
saya akan tangkap dia dan mandikan agar 'sejuk', kemudian saya
ke bawanya
ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke
belakang,
saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih,
rasa mengantuk atau
sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang
ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini
Naurah juga. Biar pun isunya
hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah
saya mendengar
dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.
Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak
saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah
terhadap mereka. Malah
kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz
dan tidak aqil baligh ini
kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa
saya dan isteri
terhadap mereka.
Masakan tidak. Saya telah memilih isteri
yang solehah dan sebahagian
cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah
kepada anak-anak
suatu hari ini. Saya percaya, ramai
dari kalangan kita yang melakukan
perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula
dengan memilih ibu yang
baik untuk mereka.
Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak?
Turunkah baik saya kepada
anak-anak? Sukar untuk menjawab
soalan ini kerana orang sebenar yang
membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau
pembantu rumah
Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya
baik, bersolat
dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana
dengan yang berpembantu rumah
seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.
Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita
sudah hilang
seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk
ketika
saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita
menumpahkan
akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?
Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru
nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan
ayah di mana? Jawapannya mudah
sahaja, SIBUK BEKERJA.
Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik
hanya kerana
makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu
hanya taraf lembu membesarkan
anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu.
Soal makan, minum, pakaian, perlindungan,
pendidikan, makanan emosi dan
spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama
bekalan yang tidak
putus-putus. Apa yang paling utama adalah
soal jumlah masa yang kita
luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk
meyakinkan mereka, bahawa
kita benar-benar kasihkan mereka?
Tetapi zaman ini, zaman
membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak
lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah
habis. Anak buat perangai
mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.
Ingatlah, dalam suasana kita hari ini,
dosa ibu dan bapa terhadap
anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada
kita. Insaflah
wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.
Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret
saya ke suasana yang menjadikan saya
tersepit. Saya ada tanggungjawab
kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya,
adalah mad'u
pertama saya.
Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita
singgah di Tapah
untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh.
Tetapi
selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang
anak kita
tiada. Ketika itu kita kelam kabut
mencari U-Turn dan mulut tidak
henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada
mudarat.
Ya, jika kita tercicir anak di
perjalanan dunia, kita ada jalan untuk
berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai
ustaz, doktor,
polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita
semua yang ketika dalam
perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita
tertinggal isteri dan
anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh
berpatah balik. Tetapi
jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan
didikan Islam, ketika kita
tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di
belakang, apakah ada
jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.
Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di
dalam kerjaya, jangan lupa
kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan
lupa dosa kita terhadap
mereka.
Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda
Kiamat itu adalah
pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak
durhaka jadi kebiasaan. Mengapa
suasana begitu boleh terjadi?
Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak
durhaka di akhir zaman, bermula
dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!
Maafkan Abi dan Ummi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Cheras 56000, 19 April 2006
No comments:
Post a Comment