Lebih kurang 10 tahun yang lalu - cepatnya masa tu kan. Dari terperap dalam emel, letak sini boleh juga baca2, boleh sharing. Pahala berterusan. Tak dapat buat baik banyak, buat baik sikit pun jadilah.
Oleh: Pahrol Mohamad Juoi
Saya masih ingat sikap `unik' (aneh) sesetengah
orang-orang tua kampung dulu-dulu. Ruang di bawah rumah mereka selalunya
diperuntukkan untuk meletakkan barang usang yang `kurang' atau tidak perlu.
Selalunya botol-botol, tin-tin atau papan-papan buruk. Entah kenapa semua itu
tidak dibuang. Hanya di letakkan begitu sahaja. Diguna tidak, dibuang pun
tidak.
Peliknya, apabila barang-barang `antik' itu hendak
diambil oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka melarangnya. Tak boleh, nak
guna, sayang, dan macam-macam alasan.
Itulah sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila saya
ditanya tentang kemarahan umat Islam terhadap penyiaran karikatur menghina nabi
Muhammad s.a.w oleh akhbar-akhbar Eropah khususnya Denmark.
"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa
sehabis sahaja majlis diskusi tentang topik berkenaan.
"Marah," akui saya perlahan.
"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar
bendera Denmark!"
Saya senyum.
"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang
lebih hebat. Doa," balas saya.
"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang
menghina Rasul."
"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih
utama."
"Kita bakar bendera mereka!"
"Kita `bakar' cara hidup mereka. Itu lebih
relevan."
Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang `terbakar'
ini mula mengunyah maksud kiasan saya.
Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah, dia
mendengar teliti.
"Kita dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu
dengan barang-barang usang di bawah rumah. Nak digunakan tidak, nak dijunjung
jauh sekali, tetapi bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh konon
nak digunakan."
"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan
marah?"
"Demontrasi depan manusia. Depan Allah, kita berdoa.
Kita muhasabah, sejauh mana kecintaan kita kepada Rasul-Nya. Mungkin provokasi
Barat membawa pengajaran tersirat."
"Pengajaran tersirat?"
"Ya, tersirat dari Allah agar kita menilai semula
benar-benarkah kita mencintai sunnah Rasul-Nya selama ini."
"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya
bersemangat.
"Kemarahan cuma bermusim. Hanya luapan sentimen
berkala. Namun kegigihan, kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka
panjang amat perlu."
"Maksud encik?"
Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan kata-kata.
"Jangka panjang, sudahkah kita mendidik generasi
muda mencintai Rasul dan keluarganya. Saya risau generasi muda yang mabuk hedonisme
kini tidak akan punya kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."
"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang
pukang, tapi masih marah bila Rasulullullah dipersendakan. Mereka akan turut
berarak esok!"
"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya
saya minta kepastian.
"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas
biasalah tapi cinta mereka terhadap Rasul tak luntur."
"Ajak mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak
apa. Cinta dulu, marah kemudian. Bila ada cinta, pasti ada marah bila kecintaan
dicela. Tapi kalau marah saja, belum tentu ada cinta "
Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.
"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil
barang-barang berharga di atas rumah?" tanyanya tiba-tiba.
"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.
"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"
"Soalan tu kurang umph," gurau saya.
"Habis soalan apa yang umph?"
"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di
atas rumah? Berbanding barang usang di bawah rumah?" balas saya.
Termenung lagi dia. Seronok rasanya `membimbing' siswa
ini berfikir.
Terimbau luapan semangat saya sewaktu di kampus dulu.
Beginilah pola berfikir saya. .
Tiba-tiba dia bersuara, "tentu tak berani, kerana
barang di atas rumah tentu lebih berharga."
"Begitulah sunnah, jika dihayati, diamalkan dan
diperjuangkan. Ia nampak sangat berharga di tangan pencintanya. Musuh tak kan
berani mengusiknya, apalagi nak menghinanya"
"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."
"Kita orang Islam mesti menghormati diri sendiri
terlebih dahulu, barulah orang lain akan menghargai kita. Justeru, jika kita
marahkan musuh yang mengecam Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak
benar-benar mencintainya!"
"Dan bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara
paling berkesan mempamerkan `kemarahan' kepada musuh-musuh yang
menghinanya."
Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta
bukan kerana benci.
Dominasi cintakan Rasul bukan emosi bencikan musuhnya!
No comments:
Post a Comment