Sunday, 18 October 2015

5 Syarat utk Melakukan Maksiat ~ Part 27

Label ni direka khusus untuk memuatkan emel-emel berantai (baca - yang baik2 saja ya) yang perlu dilupuskan sebab emel dah penuh okey. Emel ni dah lama, sejak tahun 2005 kot. Jadi, bolehla dari takda entry langsung kan?

tarikh emel ; 7 Mac 2005


Suatu  hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,
"Wahai  Aba  Ishak!  Selama  ini  aku  gemar bermaksiat. Tolong berikan aku
nasihat."

Setelah  mendengar  perkataan  tersebut  Ibrahim  berkata,  "Jika kamu mahu
menerima  lima  syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan
maksiat."

Lelaki  itu  dengan  tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu,
wahai Aba Ishak?"

Ibrahim  bin  Adham  berkata,  "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada
Allah, jangan memakan rezekinya."

Mendengar  itu  dia mengenyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu
makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?"

"Ya!"  tegas  Ibrahim  bin  Adham.  "Kalau  kamu  sudah  memahaminya, masih
mampukah  memakan  rezekinya,  sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar
laranganNya?"

"Yang  kedua,"  kata  Ibrahim,  "Kalau  mahu  bermaksiat, jangan tinggal di
bumiNya!"

Syarat  ini  membuat  lelaki  itu  terkejut  setengah mati. Ibrahim kembali
berkata  kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan
rezekiNya   dan   tinggal  di  bumiNya,  sedangkan  kamu  melanggar  segala
laranganNya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.

Dia  kemudian  menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu
masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat
olehNya!"

Lelaki  itu  kembali  terperanjat  dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat
macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Ya,  kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan
maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan,
"Kalau  malaikat  maut  datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya;
Ketepikan  kematianku  dulu.  Aku  masih  mahu bertaubat dan melakukan amal
soleh."

Kemudian  lelaki  itu  menggelengkan  kepala  dan  segera  tersedar, "Wahai
Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai  Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda
dan  mengundurkan  datangnya  kematianmu,  lalu bagaimana engkau boleh lari
dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"

Ibrahim  pun  menjawab,  "Wahai  Abdullah  kalau  malaikat Zabaniyah datang
hendak  mengiringmu  ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut
bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak,
sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."

Dia  tidak  tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...