Thursday 26 June 2014

1st day keja & 1st novel

Salam,

Setelah mc beberapa lama, akhirnya aku memulakan kerja. Rasa lain dan agak lemah tapi itu boleh di atasi, InsyaAllah. So, bila dah lama kengkawan tak nampak kita, semua tanya khabar, suaraku bolehla kuar sikit2, tapi bila dah nak masuk tengah hari & petang, nak bersuara pun agak sukar, macam perlahan sangat, lagi slow dari citer dalam kelambu itu.

takdelah camni, tapi cakap pelan, bila member datang, kenalah borak. Dahla memang sebelum ni suara kuat, gelak pun boleh tahan, sampai sekarang aku cakap pun dorang kata macam sopan santun sangat. haha

So, berceritalah lebih kurang pasal simptom sakitku, berapa lama kat wad, sapa jaga masa pantang, makan camna dan bla2...Pastu aku terus jumpa sekretariat untuk amik novel ku. Wah! haha, rasa macam tak percaya, memang mimpi ke? tapi ni betul2 ni, bukan main2.
jadi, yang selama ni kat skrin dah berada di tangan. perasaannya membuai2 sangat. Rasa tak caya boleh sudahkan karya ni dan akhirnya menjadi novel. Alaf 21 lak tue, penerbit novel terbesar di Malaysia kan...

pastu berjumpala dengan orang penting yang selama ini, selalu bagi panduan untuk hasilkan karya yang lebih mantap. wallah.
Kak Saadiah (duduk) dan Lis (editor) aku yang bertanggung jawab menyedapkan lagi cerita itu. hehe
Sebelum tu aku dah dapat tip pasal nak beri penghargaan kepada pembeli novel kita. So, adakan lah hadiah, walaupun kecil mereka sangat menghargainya. Jadi, aku pun order lah fridge magnet bersama gambar Ian Somerhalder dalam layout itue...Memang lawa lah sangat..cuma saiznya sangat comel hokay...

inilah rupanya fridge magnet custom made itu. comel gler kan? siap ada pic Ian (actually, masa menulis aku tak bayangkan dia pun, ini sebab nak siapkan blog, jumpa gambar dia), dan kata2 indah. Oh! Sweet sangat. Aku sediakan 300 keping, memang nak bagi pembaca semua.

Jadi, hari isnin saja, kawan2ku dapat 2 berita iaitu citer camna aku masuk wad dan citer aku hasilkan novel. Pagi2 dapat ucapan "harap bersabar dengan dugaan". Petang dapat ucapan "tahniah". Alhamdulillah, memang Allah dah aturkan sebaik2nya perancangan dia.

Aku pegang "Di sebalik kesedihan, ada keindahan yang Allah nak bagi". Amin

Saturday 14 June 2014

Flash back - Lagu2 World Cup, dulu lagi besh!

Dah 2 minggu lepas operation, aku rasa ok sikit, jahitan pun dah dibuka. Walaupun agak 'menakutkan' dengan bekas silang pangkah di leher, tapi takdelah rasa sakit sangat. Cuma, orang nampak jer agak takut.

Ok berbalik pada tajuk, maklumlah Piala Dunia yang baru jer start ni. Aku takdelah xcited sangat pasal bola, melainkan jika ia membabitkan TRW (yang agak sendu sekarang ni), so yang lain tu sekadar tumpang tengok masa hubby tengok.

4 tahun sekali beb, memanglah ditunggu2

So, nak dijadikan citer, pagi tadi aku tertengok ulang tayang pembukaan World Cup gitu oleh Pitbull & JLO. Nak komen pasal persembahan yang JLo melompat dengan high heels tu takleh lah kan, dah show dia memang camtu. Dengan baju dia yang tunjukkan bukit kat tengah pun. Nak tak nak kenalah pandang gak sebab dia tengah nyanyi. Aku siap cakap dengan encik suami lagi bahawasanya payudara itu bukan original sebab dia tak bergerak. Mantain walaupun dia melompat bagai. Sebabnya aku pernah tertengok Oprah Winfrey Show kata bila pakai silikon memang bentuk dia tetap, gitue...
takdelak versi yang nyanyi live, tapi inilah performer tahun ni    
Ok lah, tu selingan jer. Cuma nak citer pasal lagu tahun ni. Macam cannot go jer. Tak menangkap di telinga. Tajuk lagu 'We are one (ole ola)'. Tajuk tu dah catchy dah, tapi bila dengar tu macam tak semangat macam tahun2 lepas. Bagi aku, lagu bola sepatutnya yang bila kita dengar tu rasa terus nak sepak bola. Tapi bila dah ala2 meratib kekdahnya, walaupun Jlo semangat melompat, rasa macam aura tu takde mari.

Berbanding lagu World Cup tahun 2010, dengar lagu saja orang dah tau buat kat mana. Lirik yang berulang kali "This time for Afrika". See, Afrika dapat milage berapa banyak dan akan disebut berkali2 dalam sejarah nanti. Lagu 'waka-waka' dari Shakira tu memang melekat sungguh. Dengan persembahan Shakira yang melenggok tu takyah citerlah, dia punya dansa memang kalah minah arab, tergelek2. Rasa aku pun nak try sama goyangkan pinggul dan pinggang. Haha. Lagi satu, masa tahun 2006 pun, Shakira ada nyanyi gak lagu untuk World Cup iaitu 'Hips dont lie'. Yang ni bukan lagu tema tapi still besh dari We are One tue.
rasanya keistimewaan dia selain dari Latin, suara dia unik dan dia memang pandai menari dan bergelek 
 Pastu aku teringat lah plak zaman2 aku sekolah dulu, aku minat si Ricky Martin. Dia pun ada nyanyi untuk World Cup gak tahun 1998 iaitu "La copa de la vida" @ The cup of live'. Ok, lagu ni memang naik roma. Tak kira dia nyanyi dalam English @ pun Spanish, muzik dia memang walaweh. Ramai gak yang aku baca komen dalam youtube nobatkan sebagai lagu terbaik Piala Dunia. Word yang 'here we go, ale ale ale' tu memang best.
lagu ni banyak digunakan dalam permainan bola 
Baca komen kat youtube ni memang kelakar gak. Sebabnya ia akan membawa kita klik ke adengan seterusnya. Sebab ada satu komen kata takleh lawan Diana Ross lagi pada tahun 1994. So aku pun cari lah plak. Ok, noted. Rupa2nya masa pembukaan tu, Diana Ross ni boleh lari kat tengah padang (bukan mcm sekarang, statik kat pentas jer), pastu dia berhadapan dengan penjaga gol, terus sepak bola. Walaupun bola tersasar dari gawang gol, tetapi gol tu terus pecah dua dan dia terus ke stage
 menyanyi. Lagunya tak sedap pun. hiks
gol pecah dua hokey

Lagi satu lagu yang besh gak, cuma agak pelik sebab dijadikan antara lagu World Cup iaitu 'The Time of our lives' oleh Toni Braxton & Il Divo tahun 2006. Kedua2nya memang ada lagu yang sedap zaman 90an,..haha, Toni dengan nada tinggi dan Il Divo dengan suara soprano. Pergh! macam orkestra lah skit, tapi oklah gak. Cuma untuk suasana bola tu macam tak kena. Seolah2 kena berdiri dalam stadium nak kena hormat. haha
macam orkestra kau..
ok..itu sahaja penulisan malam ni. Mata dah ngantuk.. Harapnya 4 tahun lagi lagu dia lagi besh dari sekarang. Ntah ada lagi ke takde masa tue... Istigfar..



Thursday 12 June 2014

sinopsis


Cinta? Usah sebut di hadapan Lydia. Mendengar nama lelaki sahaja, dia jadi sangat benci. Bukan lagi menyampah tahap dewa tetapi dia mahu menjadi halimunan kala lelaki memikatnya. Namun Imran bukan mudah putus asa. Lagi gadis itu lari, makin galak dia mengejarnya.
“Lydia… saya tak peduli dengan kisah silam awak. Yang saya tahu saya telah jatuh cinta pada awak. Saya akan menjaga awak sepanjang hidup saya.”

Lelaki ini memang gila, itu fikir Lydia namun dia juga tidak betah menolak perasaan indah yang sentiasa mengulit mimpinya. Lydia dan Imran bersatu atas nama cinta. Tetapi siapalah kita untuk menolak takdir Tuhan. Antara mereka ada orang ketiga membuat onar hingga kedua-duanya berpisah kasih.

“Awak telah lukakan hati saya Imran...”

Amarah membuatkan kedua-duanya makin jauh, namun rindu mengikat mereka dalam tautan ‘kisah silam’. Lydia degil dan Imran pula ego.  Payahnya. Hubungan ini perlu bertaut kembali. Jika tidak kedua-duanya sekadar mengejar bayang-bayang.

Wednesday 11 June 2014

Bab 27



Imran merengus perlahan. Telefon bimbitnya yang berdering dibiarkan sahaja. Malas melayan nombor yang tidak dikenali. Akhir-akhir ini terlalu ramai wanita yang mahu mendampinginya. Tidak kira sama ada melalui perjumpaan bersama client ataupun menerusi kenalan mamanya.

“Encik Imran… ada tetamu nak jumpa.” Suara Ayu, setiausaha Imran melalui interkom.

“Siapa?” tanya Imran acuh tidak acuh. Seingatnya, dia tidak mempunyai temu janji dengan sesiapa pun.

“Nasha, model iklan komersil kereta kita.”

Nasha. Hmm… baru dia teringat. Gadis cantik yang menjadi daya tarikan iklan komersial kereta luar negara milik syarikatnya. Tetapi untuk apa dia datang ke sini? Segala bayaran atau apa jua kontrak diuruskan oleh agensi. Tak apalah, setiap tetamu yang datang membawa rezeki, pujuk hatinya sendiri.

Pintu berkayu diukir indah diketuk. Kelihatan sesusuk tubuh tinggi lampai milik model ternama sedang berada di hadapannya.

“Silakan duduk… Nasha,” pelawa Imran. Ketika berdiri itulah, dia dapat ‘menangkap’ ketinggian model itu lebih kurang 170cm, setinggi dirinya. Berbeza dengan kekasih hati yang separas bahu sahaja.

Thank you.”

Nasha duduk. Serentak itu semerbak aroma wangian daripada campuran bunga-bunga hutan mengharumkan bilik tersebut. Agak-agak berapa botol minyak wangi yang telah dicurahkannya?

“Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Imran sambil tersenyum.

Nasha turut tersenyum. “I saja singgah aje. Nak tanya khabar you.”

Imran mengerutkan dahinya. “I okey… terima kasih kerana sudi datang.”

“Maaflah kalau I menganggu,” kata Nasha dengan suara  menggoda.

“Tak apa.” Imran tersenyum tawar. “Hari tu I singgah sekejap ke lokasi. Nampak Cik Nasha dari jauh. I nak tegur tapi takut mengganggu.”

“I nampak Encik Imran juga, tapi maklumlah… tengah busy. Tak sempat nak bertegur sapa. Er… betul ke I tak menganggu Encik Imran?” tanya Nasha dengan nada yang agak menggoda sambil badannya digerakkan ke hadapan.

Secara tidak sengaja, Imran ternampak bahagian dada yang terdedah. Cepat-cepat dialihkan pandangan matanya. Dia beristighfar di dalam hati. “Oh! Tak apa. I pun sibuk sikit hari tu. So, apa yang boleh I bantu?”

Err… Nothing, just leave my card.” Nasha memberikan kad bisnesnya kepada Imran.

Imran meneliti kad tersebut. Tertera nama, nama syarikat, jenis peragaan yang pernah diceburi dan kerjaya terkini. Di belakangnya pula pelbagai aksi menggoda yang bisa meruntun jiwa lelaki normal. Tidak hairanlah kerana dia adalah seorang model yang kini menceburi industri seni.

“I berani cakap yang you tak pernah jumpa orang macam I, kan?” ujar Nasha lagi.

“Betul, tapi memang pun I tak sesuai untuk dunia you. Maklumlah kami hanya berurusan dengan minit mesyuarat, lelaki dan segala perkara yang berkaitan dengan kereta,” kata Imran. Kemesraan yang ditonjolkan gadis jelita di hadapan meragut ketenteraman dirinya. Kenapakah Lydia tidak semanja ini ketika berbicara? Kenapalah Lydia menolak permintaanya untuk bernikah?

“Oh! I faham…” Nasha tergelak manja. Sesekali dia mengelus rambut ikal mayangnya separas bahu. Imran terbuai dengan kemanjaan yang ditonjolkan model itu. “Tapi ia tak bermakna you menolak jika I mengajak bukan?” suara itu berkata kembali. Kali ini lebih hangat dan menggoda.

Imran terdiam. Godaan di universiti nyata berbeza dengan dunia pekerjaan. Menyarung sut lengkap dan menyandang tugas di syarikat korporat menjelaskan godaan datang dengan lebih hebat. Sesekali dia juga hanyut dalam pesona itu sendiri.

Sorry dear, I didn’t means to touch your heart…” Nasha membetulkan tanggapannya. “Maksud I, kalau sesekali  I nak ajak you temankan lunch, dinner atau ke majlis hiburan lain boleh kan? Tapi ia bukan bermakna kita ada hubungan serius… Ia sekadar hubungan antara pekerja dengan bos atau sekadar rakan kenalan. I tak ramai kawan dalam industri ini. Sekadar berteman biasa sahaja dan I perlukan seorang rakan di luar lingkup kerjaya,” jelas wanita itu lagi.

Imran termangu-mangu. Pandangan menggoda Nasha mengheret jiwanya. “Why me?” Imran hilang kata-kata. Mengapa dirinya jadi pilihan? Bukankah wanita itu sendiri telah bertemu ramai lagi lelaki budiman di luar sana? Mengapa orang yang tidak pernah berbicara ini juga jadi taruhan?

“Dari pandangan pertama I, you seorang yang jujur dan bukan kaki perempuan. I pernah shooting dengan pelbagai badan korporat. Biasanya I dapat mesej terima kasih, bunga dan jemputan makan malam. Tapi I tolak dengan baik kerana tak mahu campurkan antara kerjaya dan peribadi.

Imran hanya mendengar. Cuba mengaitkan cerita Nasha dengan dirinya. Makin cuba dihubungkan antara satu sama lain, tetapi makin kusut jadinya. Mereka tiada kaitan langsung!

“Tapi berbeza dengan you…” Nasha mengedipkan mata dan mengurut batang lehernya. “Sakit pula leher I. Salah bantal kot.”

“Oh!” Hanya itu yang terucap dari Imran. Nasha makin galak menunjukkan kulitnya yang putih melepak. Tersekat nafasnya tatkala memandang keindahan pemilik lekuk tubuh itu. Terus dia melihat jam di tangan, mahu mengalih perhatian daripada terus meliar pada yang tidak sepatutnya.

“Okey, sambung cerita tadi. You memang lain daripada yang lain. Sebab you cuma tengok I dari jauh aje. Langsung tak kirimkan sebarang ucapan pada I. Malahan I yang cari you. Ini membuktikan yang you bukan salah seorang dari mereka…” jawabnya panjang lebar dan kini dalam nada yang lebih serius dari tadi.

Imran menggeleng kepala. Tidak tahu untuk menjawab permintaan tersebut. Hendak ditolak, dia tak sampai hati. Tetapi menerimanya nanti akan membawa padah jua akhirnya.

“Yang sebenarnya I tak pernah terfikir mengenai benda-benda ni.” Tergagap-gagap Imran memberi jawapan. Tak tahu pula, perlu ada hubungan antara model dan pemilik syarikat.

“Sebab tu I cakap you berbeza daripada orang lain yang I kenal. Tak kiralah bujang, suami orang ataupun dah ada tiga isteri. Tahap miang mereka terhadap perempuan memang….” balas Nasha sambil menjungkit bahunya menjelaskan lagi kenyataannya.

So… you nak apa daripada I?” soal Imran, pelik dengan kerenah model di hadapannya ini.

Nasha pantas menggeleng. Dia tersenyum.

Pandangan menggodanya membuatkan Imran terpana bagaikan di awang-awangan.

“I tau orang sekacak you pasti sudah ada teman istimewa. I tak ganggu mahligai orang. I’m not that type. Cuma sekadar kenalan antara mereka yang pernah berurusan bisnes. Tak salah kan?”

Imran diam.

“Okeylah... I have to go. If you have any job or just wanna go dinner, please call me.”

Nasha meninggalkan Imran dengan senyuman yang sukar untuk dimengertikan. Imran khayal seketika dengan kejelitaan di depan matanya sehinggalah kelibat Nasha hilang daripada pandangannya.

 Dia tersenyum. Sekadar kenalan bisnes? Sejak bila dia dan model yang cantik dan seksi itu mempunyai persamaan dalam perniagaan? Atau dia sedang dijerat oleh kepalsuan dunia semata-mata?

Dengan akses internet di hujung jari, dia mula membuat  carian mengenai Nasha Noor. Hebat sangatkah orangnya sehingga segala VIP mahukan dia? Dan dia pula dicarinya dengan alasan berbeza daripada orang lain? Terlalu sarkastik bunyinya namun hati lelakinya tetap tidak mampu menolak keindahan ciptaan Yang Maha Esa.

‘Tetapkan imanku daripada godaan sebegini, ya Allah!’


Bab 26




Lydia sampai awal di pejabat, jam di dinding baru menunjukkan angka 7.45 pagi. Sudah ada beberapa wartawan yang sedang menyiapkan bahan berita. Namun di meja sukan, hanya dirinya seorang sahaja yang termangu-manggu. Seorang wanita yang kelihatan lebih tua beberapa tahun darinya memandang dengan tersenyum.

“You batch yang baru masuk, kan?” sapa wanita itu sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

Pantas Lydia menyambut huluran wanita bercermin mata itu sambil mengangguk. “Saya Lydia, dari sport desk. Akak?” Giliran Lydia pula bertanya.

“Panggil aje Kak Su. Akak dari crime desk. Biasalah, kalau ada berita-berita adhoc, kami perlu siapkan sepantas yang mungkin. Dalam masa yang sama, fakta perlu tepat,” balas Kak Su.

“Itu yang buatkan saya teruja Kak su.”

“Baguslah macam tu. Kerja wartawan ni seronok sebab kita jadi perantara untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Kita berpeluang jumpa pelbagai golongan bermula daripada kelas atasan hinggalah golongan marhain yang tidak pernah cukup makan. Kadang-kadang emosi buatkan kita tertewas dengan keadaan. Namun, setelah diperhalusi, setiap apa yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha untuk berjaya dan membantu mereka yang susah,” cerita Kak Su dengan serius.

Lydia mengangguk.

“Tak apalah Lydia. Akak nak minta diri dulu. Hari ni akak off. Akak balik dulu ya.”

“Terima kasih atas tip itu, kak,” ucap Lydia sambil melihat lenggang wanita yang berpakaian cukup santai. Hanya dengan jeans dan kemeja lengan panjang, cukup ringkas.

Tidak tahu apa yang harus dilakukan pada hari pertama bekerja, Lydia lantas mengambil kerusi yang dikhaskan untuknya dan terus menekan butang komputer. Cahaya berkilau muncul daripada skrin monitor seraya jarinya yang runcing menekan papan keyboard menuju ke Internet Explorer. Jarinya ligat melayari website Yahoo dan terus menyemak e-mel. Ada e-mel dari Shalin yang menyambung pengajian Sarjana di Universiti Of Newcastle, Australia. Sahabatnya yang satu ini tidak pernah jemu-jemu mengirimkan berita padanya.

Assalamualaikum,
Kepada sahabatku yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Maaf terlambat balas e-mel kerana aku baru sahaja habiskan peperiksaan yang cukup menggerunkan sesiapa yang masih bergelar pelajar. Selepas ini, aku perlu menyiapkan tesis pula setebal beribu-ribu lemon. Sekali fikir, rasa nak undur diri sahaja. Tapi demi masa depan yang gemilang, akan aku gagahkan jua. Nasib baik kau dah habis belajar, kalau tak, jadilah macam aku. Asal exam, kuiz mesti sentiasa migrain aje.
Kau macam mana sekarang? Dah dapat kerja ke belum? Jika masih belum, apa kata kau kerja sahaja dengan syarikat sepupu aku. Aku boleh bagi kau jawatan eksekutif jualan. Tapi nanti pening pulak kau nak cari client. Hehehe… aku tahu impian kau yang tak pernah padam tu. Aku akan sentiasa menyokong kau dari jauh.
Dalam e-mel sebelum ni, kau bagitahu ada boyfriend sejak tiga tahun lepas. Kenapa baru bagitahu aku? Tak baik berahsia dengan kawan baik tau! Aku baru aje nak padankan dengan sepupu aku yang tak sekacak mana tapi manis tetap ada. Tapi tak apalah, janji bila aku balik nanti, jangan lupa nak perkenalkan pula.
Lagi satu kenapa tak perincikan pasal orangnya? Tak syoklah macam ni. Dia kacak tak? Harap-harap dia kacak macam Rob Pattinson atau Lee Min Ho atau paling kurang pun macam Arjun Rampal jadilah... hehe… jangan marah ya.
Hmm… Lydia, kan aku dulu ada cakap dengan kau pasal someone special in my heart. Orangnya masih belum aku kenal. Aku cuma dengar nama dia aje dari mama. Kata mama orangnya tinggi lampai, hitam manis, berkumis dan bersuara romantis. Dapat tak kau bayangkan orang semacam itu? Hehe… mama kata kalau aku masih belum bertemu pasangan hidup, dia akan jadi galang gantinya…
Tolong aku Lydia. Aku tidak ingin menjadi orang yang masih di zaman kuno, dijodohkan oleh ibu sendiri. Tetapi, manalah tahu bila terpandang wajahnya nanti, akan datang arjuna hati bisa meruntun dan memikat hatiku untuk mengenalinya, seterusnya hatiku mungkin akan terpaut pada dia nanti. Jadi, jangan berlengah lagi, bak kata iklan dapatkan sementara stok masih ada.
Dah lama aku merapu. Aku stop dululah. Tak lama lagi aku nak balik Malaysia. Aku ingin bercerita dan bercerita dengan kau sampai mata aku terlena dengan sendirinya.
Salam sayang dari sahabatmu, Shalin.

‘Shalin, Shalin… tak habis-habis kerenah yang mencuit hati.’ Hatinya berbisik sendiri. Dia tersenyum mengenangkan sikap kawannya yang tidak pernah berubah. Suka mengusik hingga dirinya juga terikut sama dengan rentak anak tunggal nan satu itu.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab Lydia. Seorang wanita lebih kurang sebaya dengannya berdiri di hadapannya dengan sekeping kertas di tangan.

“Baru sampai… Rita,” sapa Lydia sambil melemparkan senyum paling manis di pagi hari. Rita juga seperti dirinya, masih bergelar junior reporter cuma Rita masuk lebih awal dua bulan daripadanya.

“H’ah… Cik reporter sampai awal ya?” Terus Rita melabuhkan punggung di kerusi berwarna ungu. “Dah makan belum?”

“Belum... Sorang-sorang seganlah. Jom ke café sama-sama,” ajak Lydia sambil meraih lengan Rita.

Mereka berdua menuju ke café yang terletak di tingkat paling bawah. Akhbar Malaysia Harian masih setahun jagung. Belum memiliki bangunan sendiri lagi. Perlu berkongsi dengan lain-lain syarikat.

 Sememangnya Lydia kagum dengan bangsa Melayu yang rajin berusaha. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras.

Mereka berdua terus ke kaunter café untuk melihat menu yang ada. Tidak ada yang menarik. Nasi lemak, meehon goreng, kuih-muih, sandwich dan ada yang lebih berat sedikit lontong. Takkanlah pagi-pagi macam ni nak makan lontong pula?

Lydia termangu-mangu. Tidak tahu apa yang harus dipilih. Akhirnya dia memilih nasi lemak. Kemudian mereka mengambil lokasi yang agak jauh sedikit daripada pandangan orang.

“Awal sampai hari ni?” tanya Rita sambil menyuap meehon goreng.

“Aku duduk di Sungai Buloh. Pejabat kita di Bangsar. Jadi terpaksa menapak dengan komuter. Kemudian naik LRT Putra barulah bas perantara. Aku keluar selepas solat subuh, jadi sampailah awal. Aku kan baru kerja. Aku belum mampu pakai kereta,” jawab Lydia sambil menghirup Milo panas.

“Hai, takkan boyfriend tak hantar?” tanya Rita dengan nada mengusik, walaupun sebenarnya dia hanya serkap jarang.

“Mana kau tahu aku ada boyfriend ke tak?” Lydia juga turut mengusik rakan yang baru dikenalinya.

“Takkan tak ada. Lainlah aku yang tak berapa nak lawa ni.”

Hendak tersedak Lydia mendengar omelan Rita. Terus di tahan dengan tisu yang disapu sekeliling bibirnya yang basah. 

“Rita, kau ni boleh masuk Raja Lawak, kan?” Dia tersenyum. “Pakwe aku tinggal di Bukit Antarabangsa. Dia kerja kat Ampang. Aku tak mahu susahkan dia. Lagipun dari dulu aku suka berdikari tanpa harapkan orang lain.”

Rita tersenyum. Pinggannya sudah kosong. “Aku tinggal di aparmen Kerinci. Tiga bilik, dua bilik air lengkap dengan lif. Rumah mak cik aku. Sewa tak mahal sebab dia lagi percayakan anak buahnya daripada orang lain. Menariknya fully furnished. Apa kata kau duduk aje dengan aku. Lagipun aku duduk sorang aje. Rumah kecil tapi selesalah untuk kita berdua.”

Lydia berfikir sambil mulutnya mengunyah karipap. Idea Rita yang mengajaknya untuk tinggal bersama memang menarik. Lagi pula dengan kerja yang tidak menentu, faktor rumah yang jauh hanya akan menyusahkan dirinya juga.

“Bagus juga. Jadi bolehlah kita datang kerja sama-sama. Tak adalah aku keseorangan naik LRT nanti.”

“Tak payah naik LRT, aku ada kereta,” ujar Rita sambil memusingkan kunci kereta di jarinya. “Myvi abang aku. Dia pakai kereta lain. Aku cuma sambung bayar bank aje.”
 
Lydia tersenyum. Rezeki masing-masing. Rita memang beruntung. Walaupun datang dari keluarga sederhana, tetapi disebabkan Rita anak bongsu, tentunya mendapat kelebihan berbanding abang dan kakaknya. Paling penting, dirinya juga beruntung menumpang 
 

Bab 25




Imran terkedu. Rayuan atau apa sahaja ayat yang keluar daripada  mamanya memang sukar untuk diterima. Tadi Datin Sairabanu singgah ke pejabatnya sekadar untuk bertanya khabar. Macamlah di rumah mereka langsung tak berjumpa.

“Anak mama apa khabar?” Datin Sairabanu duduk tanpa menghiraukan kehairanan yang beraja di wajah anak sulungnya itu.

“Mama, Im belum pindah lagilah,” kata Imran sambil menggeleng. Sejak akhir-akhir ini, mamanya begitu menganggu kehidupan peribadinya.

“Macam mana nak pindah kalau belum kahwin?” sindir wanita yang masih cantik itu walaupun sudah berusia.

Ops! Dia sudah tersilap perhitungan rupanya. Kenapalah lancang sangat menjawab tadi? Imran tersengih. Dia terus menutup fail di meja. “Mama nak ajak Im lunch sama ke nak buat surprise kat papa?” Sengaja di tukar topik supaya mamanya tidak lagi menyentuh soal perkahwinan.

“Hisy, kamu ni… Papa kan outstation ke Sabah. Tu lah... sibuk sangat sampai papa tak ada pun kamu tak perasan,” sindir Datin Sairabanu lagi.

Imran menepuk dahinya. Mengapa idea bodoh sahaja terfikir dek akalnya tatkala berhadapan dengan mamanya? 

“Jadi dah jumpa calonnya?” soal Datin Sairabanu.

“Ada, cuma tungga masa aje.” Berubah air muka Imran. Menipu atau berterus terang?

“Baguslah. Boleh kenalkan pada mama.” Datin Sairabanu tersenyum lebar. “Nanti bawa jumpa mama ye, Im…”

“Dia belum bersedia lagilah, mama.”

“Jadi bila nak bersedianya?” Suara Datin Sairabanu hampir terjerit.

“Dalam masa terdekat nanti. Im janji, mama.” Dalam kelat, Imran mengukir janji. Entah betul atau tidak dia akan menepatinya. Yang penting dia harus membuatkan mamanya berhenti bertanya.

“Susah-susah sangat, mama ramai kenalan yang ada anak perempuan. Cantik dan berpelajaran tinggi,” sambung Datin Sairabanu yang bila-bila masa sahaja menunggu lampu hijau daripada Imran. Akan dicanang kepada rakan-rakannya bagi mencari seorang gadis sebagai suri hati anak lelakinya.

“Eh! Tak naklah macam tu. Itu zaman dulu-dulu boleh lah padan-padankan. Ini zaman siber. Orang dah cari sendirilah mama.” Imran berasa canggung. Sukar dimengerti, Datin Sairabanu suka mengawal segala-galanya. Kadang-kadang Imran cukup hairan bagaimana papanya boleh bertahan dengan sikap mamanya yang suka campur tangan dalam pelbagai perkara.

“Kalau tak nak, bawa dia cepat-cepat jumpa mama. Im faham kan?”

“Insya-Allah... mama,” jawab Imran dengan nada yang antara dengar dan tidak. Resah sebenarnya. Biarpun mamanya baru sahaja sampai dan berbual dengannya, terasa masa begitu lambat berlalu. Kalau boleh, mahu sahaja dia mempercepatkan percakapan mamanya supaya masa deras berlalu.

“Tak apalah... mama saja singgah. Walau duduk serumah, susah sangat nak jumpa Im, kan?” Imran mengeluh. Sukarnya untuk memuaskan hati seorang mama. “Nanti malam, makan di rumah ya. Mama rasa sunyi sebab papa tak ada. Yana pun lambat lagi balik. Tinggal Im sorang aje. Okey?”

“Okey...” Imran mengangguk. Tiada lagi alasan untuk menolak.

“Mama balik dulu. Jangan lupa temu janji kita malam ini.” Datin Sairabanu berjalan keluar meninggalkan Imran dengan penuh rasa beban.

Pandangan Imran beralih pada diari harian yang tercatit segala tugasan. Di dalamnya terpampang potret indah milik Lydia dan dirinya. Teringat ketika mula-mula memikat Lydia, pelbagai rancangan yang difikirkan agar mampu membuatkan si Lydia jatuh hati dengannya. Akhir sekali dia berjaya juga memenangi hati gadis manis ini.

Bukan dia tidak pernah mengajak Lydia agar bertemu dengan keluarganya. Jika dihitung sudah berpuluh-puluh kali dia mempelawa Lydia ke rumah. Jumlah sebanyak itulah juga Lydia menolak dengan cara yang paling lembut beserta macam-macam alasan. Masih belum bersedialah, tunggulah bila dah kerja nanti, tidak mengapa, biar adik-adik menentukan haluan masing-masing dan pelbagai hujah yang mampu mencairkan hati lelakinya.

Sehingga kini, Lydia masih mengelak bila diajukan soalan yang sama. Akhirnya dia sendiri yang merajuk, membawa hati yang lara. Namun, gadis itu pandai memujuk. Dan, dia tidak sampai hati untuk melukakan hati dara yang mengetuk pintu hatinya.

Lydia terlalu istimewa. Dia sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga untuk mempertahankan cinta dan janjinya pada kekasih hati. Tapi bagaimana pula dengan mama dan keluarganya?

Datin Sairabanu tentu tidak menyukai budak kampung seperti Lydia. Tidak pandai membawa diri ke majlis-majlis kehormat katanya. Tapi, apa yang tidak diketahui mamanya, Lydia sudah menjadi seorang wartawan yang tentu biasa berhadapan dengan semua pihak. Datin Sairabanu tidak boleh memandang rendah lagi kepada Lydia.

Ah! Biarlah keadaan menentukan. Dia masih belum ingin menamatkan alam bujangnya. Masih banyak yang belum digapai.

‘Aku pasti saat itu akan terbentang luas di depanku.’


Bab 24





Lydia merenung buat kali kedua bangunan yang berdiri megah di depannya. Walau tidak seindah bangunan pucuk rebung Telekom atau segah Menara Kuala Lumpur, namun bangunan ini antara yang menjadi nadi ibu negara tercinta ini. Agak kuno struktur binaannya, tetapi di sinilah akan menentukan titik permulaan kerjayanya. Karier sebagai seorang wartawan akhbar harian. Impiannya sejak sekian lama.

Dia melintasi pintu masuk, melihat sekeliling dan terus menghala ke lif yang memuatkan beberapa orang yang juga ingin ke tingkat atas.

Ditekannya tingkat 13 seperti yang tertera di kertas yang dipegangnya. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia meneruskan langkah dengan penuh keyakinan.

‘Inilah yang aku impikan selama ini. Jangan berpatah balik, Lydia. Kau boleh lakukannya. Buktikan!’ Suara hatinya memberi kata-kata semangat dan perangsang.

“Saya nak jumpa ketua pengarang,” ujarnya pada penyambut tetamu yang cukup manis orangnya.

“Sekejap ya.” Gadis berambut pendek separas bahu mendail nombor sambungan.

Lydia mengambil peluang melihat sekeliling ruang tamu. Terpapar beberapa berita yang menjadi santapan harian rakyat Malaysia.

‘Sungguh indah jika nama aku bakal terpahat di muka depan nanti. Ah! Jangan beranganlah! Kerja bagai nak rak pun, belum tentu berita aku akan terpampang di muka depan surat khabar.’

Bagi seorang wartawan akhbar harian, jika berita yang ditulisnya berada di muka hadapan, itulah bonus yang amat istimewa. Biar terpaksa bersengkang mata menyiapkan tugasan atau terpaksa bermalam di hutan, itulah saat bermakna dengan pelbagai pujian menyatakan ‘well, you did good job, congratulation.”

“Cik Lydia boleh masuk,” sapa seorang lagi gadis yang juga mungkin sebaya dengan Lydia. Dia mengenakan sut lengkap kelabu dan berambut pendek separas bahu. Cantik, tentu dialah setiausaha Encik Ridzuwan. Pandai bakal ketua aku memilih setiausaha. Tidak jemu mata memandang. Jika selalu dilanda kekusutan, memandangnya sahaja menyejukkan sahaja perasaan. ‘Eh! Jauh sungguh aku mengelamun!’ marah Lydia pada dirinya sendiri.

Sempat juga dia menoleh ke kiri dan kanan. Melihat kesibukan beberapa wartawan yang sedang menyiapkan tugasan. Juga beberapa orang yang leka mengetuk komputer. Semuanya berjalan dengan pantas dan sempurna sekali.

‘Dapatkah aku bekerja dalam suasana yang pantas begini? Kuatkanlah hatiku untuk menghadapinya.’

Perempuan itu membuka pintu bilik. Seorang lelaki yang sedang sibuk di mejanya mengangkat muka. Agak berusia dengan rambutnya dipenuhi uban yang memutih menandakan kematangan dirinya. Memang ada tokoh sebagai ketua pengarang. Dia hanya melemparkan senyum pendek.

“Duduk,” arah lelaki itu sambil tersenyum. “Lydia Taufiq?”

“Ya, saya.”

“Jadi, awak yang berjaya dalam temu duga hari tu ya?” tanya lelaki berkumis lebat ini. “Apa pendapat awak mengenai surat khabar ini?” 

‘Hari tu dia dah tanya soalan yang sama. Takkan nak kena jawab lagi? Tak apa, aku mesti bertenang dan menjawab sebaik mungkin.’

“Pada pendapat saya, akhbar Malaysia Harian sentiasa segar dalam usaha untuk tampil dengan isu yang bernas serta padat. Sekali gus mampu menarik minat pelbagai bangsa untuk menyelak daripada muka surat pertama hinggalah muka surat yang terakhir. Walaupun ia hanya berusia dua tahun berbanding akhbar mainstream yang lain, saya percaya akhbar ini mampu pergi lebih jauh. Bukan sahaja daripada segi jualan malahan mampu menambat hati pengeluar iklan.”

Belum sempat dia berfikir panjang, Encik Ridzuwan menyambung “Terima kasih atas pendapat ikhlas saudari…”

“Lydia.” Pantas Lydia menyambung.

“Ya! Lydia. Sebenarnya saya dah tengok resume dan portfolio awak. Memandangkan awak mempunyai kecenderungan dalam sukan, jadi saya akan hantar awak ke bahagian sukan. Sebenarnya tidak ramai wanita yang berada di sana. Jadi awak perlu sahut cabaran ini untuk membuktikan kaum hawa juga mampu mengendalikan tugas yang mencabar tenaga fizikal dan mental,” jelas lelaki itu lagi.

“Sebenarnya Encik Ridzuwan, saya tidak mahu membuktikan apa-apa. Saya sekadar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. Tidak ada pertikaian hak antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling membantu antara satu sama lain. Tanpa kedua-dua insan bergelar lelaki dan wanita, tidak akan sempurna sesebuah akhbar tersebut,” ujarnya lagi.

Encik Ridzuwan tersenyum. Wartawan baru memang semangatnya berkobar-kobar. Itulah yang diperlukan untuk mendapat berita terbaik.

“Lydia, awak belum tahu lagi sepak terajang dunia kewartawanan yang sebenarnya. Yang dilalui ketika praktikal hanyalah sesudu jerih perih untuk mendapatkan bahan berita. Banyak lagi yang awak perlu lalui untuk mematangkan kehidupan bergelar seorang wartawan. Walau apapun, saya tetap mengucapkan selamat bertugas untuk wartawan wanita yang mempunyai semangat juang seperti awak. Sekejap, saya akan panggilkan setiausaha saya.” Encik Ridzuwan menekan interkom. “Linda, masuk.”

Seketika, kedengaran ketukan di pintu. Linda muncul dengan senyuman manis yang bersahaja.

“Perkenalkan dia kepada kakitangan yang lain”

“Baik, bos.”

Linda mengiringi Lydia keluar. Hatinya berbunga-bunga. ‘Impian aku akan terlaksana. Tidak lama lagi tulisanku akan terpampang di muka belakang akhbar Malaysia Harian dengan tajuk besar.’

“Tok Gajah ketepikan merah kuning.” Wah! Hebat sungguh tajuk belum masuk lagi isi ceritanya… Dia berangan-angan. 

Bab 23





2011, Kuala Lumpur
Lydia!” Segala gambaran peristiwa di minda Lydia hilang. Dialihkan pandangan ke arah suara yang cukup dirinduinya.

“Maaf, Im lambat. Tapi, nampaknya tuan puteri kita tengah khusyuk berkhayal… Ingatkan siapa ni?” kata Imran dengan suara lembut.

Imran melihat sekeliling Restoran Seri Saloma. Restoran itu lengang. Maklumlah jam sudah menunjukkan 3.00 petang. Hanya dia yang lambat kerana terpaksa menyiapkan kerja.

“Yalah... Im lambat sangat sampai Lydia sempat teringat detik-detik perkenalan kita masa di USM dulu. Diam tak diam, dah hampir empat tahun, kan? Lydia pun dah nak mula kerja. Tapi, sayangnya meninggalkan alam belajar, USM yang damai dan segala-galanya.” Lydia menatap wajah kekasih hatinya dengan penuh kasih sayang.

“Ingat senang ke Im nak pikat Lydia dulu? Bukan main susah! Berbulan-bulan juga Im cuba macam-macam cara tahu tak?” Imran menyampuk, sekadar mengingatkan Lydia tentang perkenalan mereka satu ketika dulu.

“Alahai, takkanlah marah macam tu sekali? Im kan hero kat USM dulu…” Giliran Lydia pula memulangkan paku buah keras.

Imran hanya tersenyum. Dia memandang penuh kasih buah hatinya yang tidak habis-habis menegakkan benang yang basah. 
“Memang hero tapi bila bab Lydia, rasa tercabar tetap ada. Susah betul nak dapat perhatian. Tapi perempuan ni macam kerak nasi. Lama-lama lembut juga.”

Lydia tergelak mendengar bebelan Imran. Memang benar, sebelum Imran hadir dalam hidup, hatinya tertutup untuk bercinta. Dia lebih selesa sekadar berkawan sahaja. Namun, Imran cukup berbeza. Seakan ada satu tarikan yang cukup kuat antara mereka berdua. Biarpun ada kisah silam yang menyebabkan dia membenci lelaki, tetapi Imran membuka pintu hatinya untuk menerima kembali lelaki dalam hidupnya.

“Lydia!”

Lydia tersentak. Imran menjengilkan matanya. Argh! Sekali lagi dia berkhayal rupanya.

“Ingatkan siapa tu? Im kan dah ada kat depan ni,” bebel Imran sambil mengerutkan dahinya.

“Risau nak mulakan kerja esok…”dalih Lydia.

“Sayang… janganlah risau sangat.” Suara Imran sambil merenung mata Lydia dengan pandangan yang penuh kasih. “Kerja kat mana-mana pun sama aje. Sekarang adalah masa untuk Lydia mantapkan kerjaya, kumpul wang dan bantu keluarga. Jadi Lydia mesti tekad meninggalkan alam yang tiada masalah itu.”

Imran pasti Lydia sudah bersedia menempuh alam pekerjaan. Dia mengambil menu di meja dan menempah nasi goreng pattaya untuk makan tengah harinya. “Lydia nak apa?” tanyanya pada Lydia yang terus mengangguk mengatakan menu yang sama untuk dirinya juga.

“Paling penting, Lydia sudah pun berjaya mengharungi temu duga yang susah itu. Apa yang Im nak panggil ya? Cute reporter?” usik Imran lagi.

Lydia terus mencubit lengan kekasih hatinya itu.

Imran terjerit kesakitan sambil tersengih.

Lydia tersenyum. “Alhamdulillah... Lydia pun tak sangka akan dapat jawatan tu sebab yang datang bukan calang-calang orang. Ada yang dah ada pengalaman bekerja di bidang penyiaran dan surat khabar utama. Pandangan pertama rasanya memang tak dapatlah. Tapi tengoklah keputusannya.”

“Im tahu Lydia boleh buat, sayang. Tapi jangan lupa orang di sini pula. Dah jadi reporter, sibuk memanjanglah nanti. Maklumlah... dikelilingi artis popular, lagilah kita diketepikan…” rajuk Imran lagi. Terasa bimbang juga dengan kekasih hati yang akan bertemu macam-macam ragam manusia di medium berbeza.

“Im, Lydia belum tahu lagilah desk apa. Jangan nak merapu!” marah Lydia dengan usikan Imran.  “Walau bekerja dengan menteri sekalipun, takkan nak lupa Senior Imran yang garang ni.” Lydia tersenyum sumbing. Tidak dinafikan yang Imran agak cemburu orangnya. Tetapi tidaklah sampai memalukannya di khalayak ramai.

“Amboi-amboi, sejak bila pula tuan puteri pandai menggiat beta?” Spontan Imran bertanya.

“Lydia, Im ada sesuatu nak cakap.” Imran bersuara perlahan sambil memandang gadis kesayangannya.

Suapan Lydia terhenti. Seperti dapat mengagak apa yang mahu diperkatakan Imran. Persoalan kahwin pasti menjadi topik utama. Saat ini dia perlu bijak menjawab penuh hemah agar tidak mengguris hati yang begitu mengharapkannya.

 “Lydia tahu kan mama selalu tanya hubungan kita. Sampai Im tak tahu nak cakap apa. Sudah puas berdalih, tapi mama nak juga kenal gadis yang mengisi hati anak lelakinya ini,” desak Imran lagi. Datin Sairabanu, wanita pertama yang disayanginya. Lydia adalah gadis pertama mengisi hatinya. Tetapi kedua-duanya langsung tidak memberinya peluang untuk membuat keputusan sendiri.

“Im, kita dah cakap lebih awal, kan? Lydia baru dapat kerja. Tolong bagi masa ya!” kata Lydia. Dia tidak senang dengan desakan tersebut. Akhir-akhir ini, topik kahwin sentiasa mengisi perbualan mereka. Hingga kadang-kadang terpaksa dia meninggikan suara pada kekasih hati. Bukannya dia tidak mahu, tetapi dia masih belum bersedia. Susah sangat kah untuk memberinya masa?

“Okey...” Sayu sahaja suara Imran.

Lydia tahu, dia perlu tegas. Perkahwinan bukanlah dalam senarai utama. Masih banyak perkara yang perlu dilakukannya. Walaupun dia tahu Imran tidak akan berputus asa, namun itulah doa yang sentiasa dipanjat agar Imran memahami dirinya.

Bab 15




Lydia melihat teman sebiliknya yang sudah lena dibuai mimpi. Dilihat jam di tangannya. Baru pukul 10.00 malam. Perutnya berkeroncong. Dia perlu mencari makanan untuk mengalas perut.

Dengan perasaan malas, dia menuju ke café. Selepas membuat pesanan, Lydia duduk di kerusi yang agak jauh dari pandangan orang ramai sambil memerhati suasana sekeliling. Pandangannya beralih ke arah lorong di hadapannya. Dia membulatkan mata. Susuk tubuh yang sedang berjalan menghampirinya seperti dikenali. Belum sempat dia bangun, Imran telah menghampirinya.

“Nak ke mana?” tanya Imran sambil tersenyum.

“Nak balik ke bilik,” jawab Lydia sambil memikirkan cara untuk meloloskan diri melalui lorong tersebut tanpa bersentuh dengan Imran.

“Bukan ke awak dah order burger?” Sengaja Imran membakar Lydia yang kelihatan serba salah mukanya.

“Ha’ah… lupalah,” jawab Lydia lemah. Dia bangun lalu mendekati gerai burger itu semula.

Imran mengekori langkah Lydia. “Sein, buat cepat-cepat untuk awek aku ni tau!” arah Imran.

Sein mengangguk dan tersenyum.

‘Awek?’ Nak termuntah Lydia mendengar perkataan yang disebut Imran.

“Lapar sangat ke?

“Tak lapar sangat. Saja nak makan,” jawab Lydia dengan nada acuh tidak acuh.

“Awak free tak pagi esok?”

“Kenapa?”

“Saya nak ajak awak joging kat Tasik Harapan. Biar keluar peluh sikit!”

Kali ini Lydia terbeliak memandang Imran. Masuk bab jogging pula dah? “Maaf, saya sibuk!”

Lydia makin gelisah dengan pertanyaan demi pertanyaan. Dalam masa yang sama dia merasai perasaan yang cukup aneh. Hatinya terasa indah. Seolah-olah kini dia mempunyai tempat untuk berteduh, bermanja dan bergurau senda. Hati, janganlah terlalu banyak meminta.

“Jomlah, temankan saya. Saya tunggu awak kat blok tujuh pagi esok, okey?” pujuk Imran yang tidak pernah putus asa mahu memenangi hati Lydia.

Wajah Imran tampak ikhlas. Hatinya yang sekeras kerikil tadi mula lembut. Namun, untuk memberi peluang kepada lelaki dalam hidupnya, tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Burger dah siap,” laung Sein.

 Lydia bangun untuk mengambil burgernya. Selesai membayar, tanpa berpaling ke arah Imran yang menunggu jawapannya, Lydia terus berlalu dari situ.

“Saya tunggu esok. Jangan lupa ya!”

Sayup-sayup kedengaran pesanan suara Imran di gegendang telinganya. Lydia tidak peduli. Dia harus cepat sampai ke bilik.
____________________________________
Sesudah menunaikan solat subuh, Lydia berteleku seketika di sejadah. Dia mengenangkan pertemuan demi pertemuan dengan Imran. Makin kuat dia menolak Imran dalam memorinya, makin kerap wajah itu bertandang dalam setiap perjalanan hidupnya. Secara kebetulan atau sengaja?

Lydia membuka telekungnya lalu meletakkan di atas katil. Sinar suria mula menembusi tingkap biliknya. Matanya memandang ke luar. Seorang lelaki dalam pakaian sukan sedang keseorangan di bawah seperti menantikan seseorang. Dilihat jam di tangan. Tepat jam 7.00 pagi. Imran benar-benar menepati janjinya. Bagaimana ya?

Antara mahu dan tidak, Lydia menyarungkan pakaian sukan dengan kasut lalu menuruni tangga untuk mendapatkan Imran.

“Lama tunggu?” Entah mengapa, hati Lydia jadi lembut menerima pelawaan Imran, tidak seperti lelaki lain. Seperti ada hubungan istimewa terjalin antara dia dengan lelaki berkumis tipis ini.

“Baru lima minit,” balas Imran dengan perasaan gembira. Dia tidak menyangka gadis misteri ini akan menerima pelawaannya. “Jom!”

Sambil berjoging, mereka berbual-bual mengenai sesi kuliah, pensyarah yang menjadi pilihan, peristiwa di Taman Negara dan serba sedikit mengenai ahli keluarga.

Lydia ketawa tatkala Imran membuat lawak.

“Dah ada boyfriend?” Imran memancing perhatian gadis di depannya.

Lydia hanya diam sambil menumpukan perhatian terhadap latihan regangan di Tasik Harapan.

“Kalau dah ada… eloklah saya tarik diri awal-awal. Saya tak nak dikatakan cuba memikat kekasih orang pula,” jawab Imran separuh merajuk.

Lydia berhenti membuat regangan lalu mengalihkan perhatian kepada Imran, mencari riak-riak kejujuran di wajah lelaki itu.

“Kenapa awak tanya?”

“Sekadar bertanya sebelum melangkah lebih jauh,” balas Imran dengan maksud yang cukup tersirat. Mengharapkan gadis di hadapannya memahami keluh resah di jiwa.

“Saya tak ada boyfriend lagi.”

Wajah Imran kembali bercahaya. Dia terasa berada di awang-awangan.

“Dan saya tak berhajat untuk ada boyfriend pun.”

Kata-kata akhir Lydia mengembalikan Imran ke alam nyata, dia masih pelik dengan penjelasan gadis itu. “Tapi kenapa?”

“Saya nak tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Saya nak bekerja dan membantu keluarga,” jelas Lydia tanpa menoleh ke arah Imran. Tidak sanggup rasanya untuk menipu dengan alasan yang sengaja diada-adakan. Namun, inilah alasan terbaik mampu diberikan.

“Saya tak percaya!” tukas Imran.

“Awak meragui kejujuran saya?” Lydia memandang Imran dengan tajam.

“Bukan begitu. Saya rasa awak ada sebab yang lebih kuat untuk tidak ada boyfriend. Bukan kerana keluarga… tetapi kerana ini, kan?” jelas Imran lalu menayangkan sehelai kertas yang bertulis tangan. Terbentang di hadapannya helaian lirik lagu dikir barat yang tidak jadi dipersembahkan ketika perkhemahan dahulu.

Lydia tergamam. Patutlah dia tidak berjumpa kertas tersebut. Rupa-rupanya ia telah dijumpai Imran. Kelu lidahnya untuk mencipta sebarang alasan.

“Kenapa awak benci lelaki?” tanya Imran lagi.

“Betul awak nak tahu?”

Imran mengangguk.

Lydia meraup wajahnya. Imran bukan lelaki yang mudah putus asa. Makin dia melarikan diri, makin kuat Imran mengejarnya. Memang terasa berat untuk bercerita kisah silam, tetapi dia harus berterus terang agar Imran berhenti menganggunya. “Kerana lelaki pernah mengecewakan saya. Menghancurkan hidup hingga seketika saya rasa tak berdaya untuk berfikir waras lagi. Saya tak mahu dikecewakan lagi.”

Imran diam. Mukanya seperti orang bersalah.

“Maafkan saya, Lydia. Maafkan saya. Saya tak bermaksud untuk mengungkit kembali cerita silam Lydia. Maafkan saya.” Berulang kali perkataan maaf disebut Imran.

Lama mereka membisu melayan perasaan.

“Maaf, saya nak balik berehat.” Lydia meneruskan perjalanannya tanpa memberi peluang Imran untuk berkata-kata. Sambil berlari dia menyapu air matanya yang membasahi pipi. Dia tidak peduli mata-mata yang memandangnya. Imran sudah jauh ditinggalkan.

Hatinya luka, pedih dan perit. Kenangan pahit itu berulang lagi seperti tayangan filem dalam memorinya. Kesakitan diterajang, kepedihan dan kedukaan emosinya hanya dia yang menanggungnya. Ia bukan sekadar kesakitan fizikal, tetapi jiwa dan raganya lebih parah lagi. Tekanan jiwa yang orang tidak dapat membacanya menerusi pandangan mata kasar.

Dia begitu bencikan lelaki yang pernah menyakitinya, tetapi bagaimana dengan Imran? Apakah berbaloi menolak seorang lelaki yang baik hanya kerana peristiwa silam? Lydia membiarkan persoalan itu. Dia sudah tidak upaya untuk berfikir lagi.


Bab 14



Lydia dan Ziha tekun mencatitkan nota-nota penting yang diberikan oleh pensyarah. Masa berlalu begitu pantas. Kuliah tamat dengan pelajar-pelajar perlu membuat sedikit bacaan sebelum kuliah sebenar bermula.

“Kelas kita dah habis. Kau nak ke mana lepas ni?” tanya Ziha.

“Aku ingat nak ke perpustakaan. Buat rujukan untuk kuliah esok.”

“Wah... rajinnya. Tolong bacakan untuk aku sama tau,” kata Ziha sambil tersengih.

“Dah! Jangan mengada. Jom ikut aku,” kata Lydia.

“Aku ada hal lain,” jawab Ziha. Dia tersenyum penuh makna.

Lydia mengangkat keningnya. “Kau nak keluar dengan Haziq ya? Kau berdua ada apa-apa ke?”

Sambil tersenyum malu-malu, Ziha hanya mengangguk. “Kau pula tentulah dengan lelaki yang lebih hebat.”

“Lelaki hebat?” tanya Lydia kembali.

“Siapa lagi? Senior Imran, YDP Desa kitalah. Beruntung kau Lydia,” usik Ziha.

“Eh! Excuse me, aku tak ada perasaan apa-apa tau! Lagipun dah lama aku tak nampak dia. Tentu sibuk dengan projek-projek mega dan juga dengan koleksi awek-aweknya.”

“Hai… bunyi macam jealous aje. Kau ada hati dengan dia, kan?” usik Ziha lagi walaupun dia tahu Lydia tidak suka diusik pasal lelaki.

“Kau ni Ziha… sehari tak usik aku, tak boleh ke?”

“Okeylah... aku keluar dengan Haziq dulu.” Ziha terus melangkah pergi.

Lydia pula menapak menuju ke Perpustakaan utama USM yang terletak tidak jauh dari dewan kuliahnya.

Dia terus ke tingkat dua perpustakaan. Melihat senarai bahan rujukan yang telah diberikan oleh pensyarah sebentar tadi, Lydia mengambil beberapa buah buku yang sudah dijilid lalu mencari-cari lokasi yang tidak diduduki ramai orang. Dia menjumpai sebuah tempat yang agak tersembunyi lalu melabuhkan duduk. Dia membelek satu per satu helaian buku tersebut sambil mencatat beberapa nota penting.

“Assalamualaikum...”

Lydia mendongak. Bagai hendak luruh jantungnya bila melihat lelaki hebat di depan matanya. Tangannya mula basah dengan peluh, suara seperti terlekat di kerongkong. Digagahkan jua untuk menjawab salam tersebut. “Waalaikumussalam...”

“Saya tak menganggu ke?”

“Rasanya tidak.” Lydia rasa tidak sanggup lagi untuk bertentangan mata dengan Imran. Matanya memandang buku di atas meja.

“Betul ke saya tak ganggu Lydia?” tanya Imran sekali lagi.

‘Kenapalah lelaki ini suka sangat muncul dalam hidup aku?’ rungut Lydia di dalam hati. “Tak, Senior Imran,” jawabnya dengan penuh sabar. ‘Jika tidak sabar, mahu sahaja aku keluar dari perpustakaan ini. Untuk apa jika hanya menyeksa diri sendiri?’

“Kalau begitu… bolehlah saya duduk sini,” kata lelaki itu lagi. Dia terus menarik kerusi dan duduk di hadapan Lydia tanpa segan.

Haruman wangian yang maskulin menusuk ke hidung Lydia. Dia menjeling sepintas lalu. Imran juga membuka buku.

Suasana sepi. Masing-masing sedang cuba menelaah apa yang berada di dalam buku. Sesekali Imran membelek helaian buku membuatkan Lydia terasa mukanya dihembus udara lembut. Perasaannya makin tidak tenteram.

‘Apa yang harus aku lakukan? Berada di sini seolah-olah tiada apa yang berlaku atau pergi sahaja. Ah! Perbuatan yang kurang manis. Jadi apa yang harus aku lakukan sekarang?’

“Lydia ambil course apa?” Soalan Imran memecahkan keheningan mereka berdua.

Mass comm,” jawab Lydia sambil mendongakkan kepala memandang ke arah Imran yang leka mengadap buku. Betullah kata Ziha. Lelaki ini sangat kacak. Tiba-tiba Imran juga mengangkat mukanya dan sekali lagi perasaannya dibuai dengan keasyikan. Mata itu merenungnya seolah-olah memberitahu sesuatu yang cukup bermakna sekali. Pantas Lydia menundukkan pandangannya. Tidak sanggup untuk terperangkap dalam jerat lelaki ini.

“Baguslah, saya pun minor dalam mass comm, tapi major in bussiness.”

“Nanti nak pilih major apa? Broadcasting? Journalist?

Journalist. Saya nak jadi wartawan.” Tanpa sedar, kata-kata itu meluncur laju sahaja dari mulut Lydia. Ke mana pergi hati keras yang dimiliki sebelum ini?

“Baguslah. Kalau saya nak buat press conference pasal syarikat saya nanti, bolehlah panggil awak, kan?” gurau Imran.

Lydia tersenyum. Perasannya dia ni? Ada syarikat sendiri?

“Imran…” sapa satu suara dengan mesra.

Lydia memerhatikan pemilik suara tersebut. Seorang gadis jelita, berpakaian agak seksi dengan baju tanpa lengan berwarna jingga garang dan jeans ketat. Dibandingkan dengan dirinya pula, hanyalah jeans lusuh dan T-Shirt longgar. Sungguh berbeza sekali. Bagai langit dengan bumi.

“Hai, Shereen. Lamanya tak jumpa,” jawab Imran.

‘Dasar lelaki! Semua perempuan harus jadi miliknya. Perasaan meluat kembali menguasai dirinya. Memang lelaki tidak boleh dipercayai!’ kata Lydia di dalam hati.

I miss you so much, Imran. Kenapa you tak jumpa I cuti semester lepas? Ada awek lain ya?”

“Maaf, I banyak kerja. Ini pun baru habis ekspedisi Taman Negara,” kata Imran

“Okey I ada temu janji dengan tutor. Jumpa u nanti ya,” balas gadis itu lalu meninggalkan Imran dengan lambaian yang penuh menggoda. Setelah dipastikan kelibat Shereen hilang, Imran merenung Lydia yang kelihatan khusyuk membaca.

“Maaf… terganggu sekejap perbualan kita. Di mana kita tadi?”

“Tak apalah. Saya pun dah habis studi ni. Saya balik dululah.” Lydia bangun lalu meninggalkan Imran sendirian. Bangga menyelit di hati kerana berjaya menepis perasaan indahnya sebentar tadi. Dia memang tidak akan terperangkap dalam dunia lelaki lagi. ‘Aku benci lelaki.’

Bab 13





esok hari terakhir mereka menamatkan kembara Kepimpinan Desasiswa Cahaya Permai. Hati Lydia bersorak girang. Malam ini, setiap kumpulan perlu membuat persembahan kebudayaan sebagai acara penutup.

Kumpulan mereka bersepakat untuk mengadakan persembahan dikir barat sebagai penutup persembahan. Lagi pula ia cukup senang dan tidak perlu terlalu banyak berlatih. Hanya pastikan lenggok gaya mereka serentak dan juga hafal lirik lagu.

“Kita jangan cari pasal Lydia. Kita di sini cuma nak berhibur. Bukan cari gaduh dengan sesiapa pun,” tegur Ziha perlahan agar tidak didengari oleh ahli kumpulan lain.

“Apa yang kau cakap ni?” Lydia rasa berdebar-debar. Adakah rancangannya diketahui?

“Aku tahu kau ubah suai lirik lagu tu. Kau masukkan unsur sindiran kepada lelaki hidung belang. Walaupun secara berseloroh, ia memang tidak elok untuk menyindir sesiapa pun.”

“Helo… Aku taulah yang mana sensitif, yang mana tak. Nama pun hiburan, bukannya persendakan sesiapa pun. Kita cuma sebutnya secara umum. Takkan itu pun salah?” jawab Lydia tegas. Sedikit kesal kerana bodoh dalam membuat percaturan. Bukankah lagi bagus membalas dendam tanpa membabitkan ahli kumpulan?

“Aku tahu pada siapa kau tujukan lagu ini.” Ziha melirik tajam ke arah Lydia. “Kau berdendam dengan dia, kan?”

Kata-kata Ziha benar-benar mencabar kesabaran Lydia. Sudahlah Imran tidak habis-habis mengenakannya. Sahabat baiknya kini langsung tidak menyebelahi keputusannya. “Ziha, ini bukan soal dendam. Aku sekadar nak ingatkan lelaki supaya tidak permainkan perasaan wanita.”

“Tidak! Kau akan nyanyikan lirik kita yang asal. Apa nak jadi, jadilah!” jawab Ziha tegas.

“Kenapa bertekak di sini?” marah Imran yang tiba-tiba muncul. Kenapa dia sentiasa ada di mana-mana? “Giliran kumpulan kamu selepas ini tapi masih ada masa bergaduh sesama sendiri?” dengusnya kasar.

Ahli kumpulan yang lain hanya terdiam. Tidak menyangka Imran mencampuri urusan mereka berdua.

“Maafkan kami.” Akhirnya Ziha bersuara.

Lydia tetap membisu. Benci dengan sikap Imran yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya.

“Dahlah, teruskan persembahan kamu. Walaupun ini bukan pertandingan, jangan ambil remeh. Kamu semua dipilih ke sini sebab kami percaya kamu mampu untuk mengambil alih kepimpinan kami nanti!” tegasnya lagi. Suaranya juga mula kendur lalu terus menuju ke bawah pentas.

 Ziha dan Lydia hanya berpandangan sesama sendiri. 
_____________________________
Selesai membuat persembahan, mereka disajikan dengan persembahan oleh senior-senior yang menari dengan iringan muzik rancak. Terasa kelakar juga bila melihat beberapa Exco yang selama ini terkenal dengan sifat serius, rupa-rupanya pandai juga menghayunkan langkah untuk menari.

“Maafkan aku, Lydia.” Ziha menghulurkan tangannya. “Aku tak ada niat nak bergaduh dengan kau tadi.”

Lydia tergamam. Bodoh betul dirinya. Hanya kerana sebuah lirik, sanggup dia bertekak dengan kawan baiknya? “Aku pun minta maaf.” Huluran disambut. “Aku tak sepatutnya bertindak bodoh.”

Mereka kembali menyaksikan persembahan Exco.

Lydia mencari-cari kelibat Imran. Walaupun tidak menyukai Imran, tetapi hati kecilnya tetap mendesak untuk mengetahui perkembangan lelaki itu. Di mana dia sekarang ya? Sedang cuba mengorat awek yang lain ke?

Pencariannya berjaya. Imran sedang tekun meneliti helaian demi helaian kertas di atas mejanya bersama Exco yang tidak membuat persembahan.

Tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Lydia terkhayal seketika. Satu perasaan indah dapat dirasakan dalam setiap urat nadi yang berdenyut-denyut di tubuhnya sekarang.

Imran melemparkan senyuman, lalu meneruskan perbincangan dengan rakan-rakannya.

‘Aneh! Gelojak apakah yang mengalir ke segala sendi-sendi dan tulang rusukku kini? Adakah itu panahan cinta yang tulus dan suci seperti yang diperkatakan Laila dan Majnun? Tiba-tiba dia teringatkan buku kisah cinta di zaman kanak-kanak yang masih tersimpan rapi sebagai koleksi.

‘Ah! Menyesalnya aku tengok dia tadi. Bagaimana dia boleh melihat aku sedangkan aku berada di antara puluhan pelajar lain? Bertentang mata pula tu? Sudah tentu dia menyangka aku meminatinya kerana kami sempat bertentangan mata buat beberapa saat. Aneh! Dia memberi senyuman yang cukup mahal sebelum ini. Apa yang berlaku? Keajaiban apa hingga meruntun hatiku untuk terus mengingati dirinya?’

Sekali lagi Lydia mengangkat mukanya sambil mencari kelibat Imran, namun gagal kerana Imran sudah menghilangkan dirinya. Ke mana dia pergi agaknya?

Testing... testing… 1, 2, 3…” Rupa-rupanya Imran sudah berada di pentas.

Hati Lydia berasa cuak. Adakah Imran akan memalukannya sekali lagi? Adakah lelaki itu tahu punca pergaduhan dengan Ziha tadi? Hatinya makin tidak keruan, menyesal kerana bersungguh-sungguh untuk mengikuti perkhemahan ini. Jika dia tidak berdegil, sudah tentu segala perkara ini tidak berlaku. Perasaan indah ini pula? Dia sendiri juga tidak menyukainya!

“Assalamualaikum... Saya mewakili Exco Desasiswa Cahaya Permai USM amat bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik semua. Semangat tidak putus asa menghadapi segala cabaran dalam kembara kepimpinan kali ini harus dipuji. Terus terang saya katakan, semangat dan tekad kamu semua menjalani cabaran, membuatkan kami percaya bahawa kamu adalah pilihan paling tepat sebagai pemimpin pelapis di masa depan.”

Kata-kata Imran disambut dengan tepukan gemuruh.

“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, namun kau orang tetap cekal. Ada yang terpaksa memikul batu setelah telur mereka dirampas juga harus diberi pujian. Walau amanah berupa telur telah musnah, namun berkat kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh memikul batu yang berat itu, menyentuh hati kami semua. Ada peserta yang takut meniti tali gantung dan sebagainya. Ada yang masak daging hangit sedikit. Tetapi itu sebenarnya adalah pengalaman yang paling indah buat anda semua satu hari nanti.

“Mungkin hari ini anda akan marah kepada kami, yang dikatakan bersikap zalim, kejam dan kasar. Tapi percayalah ia untuk kebaikan anda satu hari nanti. Niat kami baik. Mahu menjadikan anda pemimpin pelapis yang dapat mencorakkan generasi seterusnya dengan lebih baik.” Sekali lagi ucapan Imran mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.

 Hati Lydia tercuit. ‘Daging hangit dan titian gantung nampaknya ditujukan kepada aku seorang. Kau memang tak habis-habis kan Imran!’

“Saya akhiri dengan memohon ribuan kemaafan jika ada peserta yang terasa hati dengan tindakan saya dan juga exco yang lain. Abang-abang dan kakak-kakak di sini tak bermaksud untuk menganiaya anda. Tetapi memberi pengajaran yang cukup berguna buat anda semua. Setelah berbincang, kami ingin mewujudkan satu lagi anugerah iaitu peserta paling sporting.”

Semua pelajar terdiam seketika.

“Peserta paling sporting bermaksud… walau dia mendapat kritikan dan dimarah, dia cukup sporting dan menerimanya dengan hati yang tabah. Dia tak marah atau berdendam. Jadi, peserta paling sporting jatuh kepada…”

Senior-senior lain bertepuk tangan sebagai muzik iringan. Imran tersengih memandang kesemua anak buahnya. Pandangannya jatuh pada Lydia yang leka membelek kukunya.

“Lydia Taufiq.” Suara itu bergema sekali lagi diiringi tepukan semua peserta.

 Liza, Ziha dan Yati mencuit-cuit Lydia yang masih tidak percaya namanya diumumkan. Dengan berat hati, dia terpaksa mengagahkan diri untuk bangun lalu menuju ke pentas.

Imran sudah bersedia dengan sebuah hamper bersama senyuman yang cukup menawan. Bagi Lydia, senyuman itu bagai satu sindiran yang cukup sinis kepadanya. Dengan senyum yang dipaksa, Lydia menyambut hadiah tersebut. Dia terpaksa kaku seketika kerana aksi mereka dirakamkan oleh beberapa kamera. Bertalu-talu percikan flash mengenai mereka berdua.

Kemudian dia turun dari pentas dan terus menuju ke tempat duduknya.

“Aku percaya yang Senior Imran benar-benar menaruh hati kepada kau,” bisik Ziha di telinganya walaupun dipenuhi dengan sorakan peserta yang kegembiraan kerana esok mereka akan kembali ke kampus di Pulau Pinang.

Lydia melihat hadiah yang baru dimenanginya. Pandangannya beralih ke pentas yang dimonopoli oleh para senior yang menyanyi lagu rasmi Desasiswa Cahaya Permai. Takdir ternyata menemukan kembali dengan Imran yang sedang asyik merenungnya.

Sekali lagi mata mereka bertentangan. Terasa jantungnya dirobek-robek membuatkan hatinya tidak keruan.

‘Benarkan Imran mencintaiku seperti yang dikatakan Ziha sebentar tadi? Dan aku sendiri? Bagaimana dengan pendirianku yang tidak mahu bercinta? Bukankah semua lelaki hipokrit?’ Lydia buntu. Dia hanya mampu mengeluh.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...