Untuk apa kehidupan
ini jika apa yang dimiliki sudah tiada erti lagi? Sesekali mindanya merusuh,
terbayang tangan kasar lelaki yang tidak
berperikemanusiaan itu melantun tubuhnya sesuka hati. Setakat manalah kudrat
seorang kanak-kanak yang belum akil baligh untuk melawan tenaga manusia yang
hanya mahu memuaskan nafsu serakahnya sahaja?
Dia tersepit antara masa depan diri sendiri dan juga keluarga.
Memberitahu seseorang walaupun emaknya bermaksud memusnahkan segala apa yang
dimiliki oleh keluarganya ketika ini. Bagaimana dengan tapak rumah yang didiami
sekarang? Mereka tetap akan dihalau. Mungkin juga cerita buruk tentang dirinya
akan tersebar. Seorang budak naif mengada-ngadakan cerita. Tiada siapa pun akan
percaya kata-kata budak sepertinya. Apatah lagi melihat muka pak uda yang baik
dan selalu menolong orang-orang kampung yang dalam kesusahan.
Berdiam diri pula membuatkan masa depannya sudah tidak secerah
seperti yang diimpikan selama ini. Insyirah berhenti menulis seketika.
Memandang cermin yang sudah retak seperti hatinya yang retak seribu.
‘Aku tiada pilihan. Sebenarnya aku langsung tidak diberi peluang
untuk memilih. Jadi jalannya hanyalah satu, berdiam diri sambil mengubat hati
yang lara.’
“Syirah!”
Laungan suara emaknya bergema. Dia memasang telinga. Walau hati
sedang bergundah, namun panggilan emak terus di sahut. Ruang tamu dijengah.
Emaknya sedang membetulkan selendang di kepala.
“Mak nak tolong Mak Esah potong bawang untuk cukur jambul cucu
dia. Syirah nak ikut tak?”
Insyirah menggeleng. Cuaca panas membuatkan hatinya bertambah
walang. Bukan itu saja. Dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa hatta
kawan-kawannya sendiri.
“Kalau macam tu, mak pergi dengan adik-adik kau. Ingat ya, ayah
balik nanti Syirah panaskan sayur lemak panas. Ayah tak suka makan
sejuk-sejuk,” pesan emaknya lagi.
Insyirah mengangguk. Dia menyorokkan diari ke dalam kotak kayu.
Selepas itu, dia berbaring di atas katil. Tidak sempat mata terlena, bunyi
pintu rumah dikuak dengan kasar. Derapan kaki melangkah membuatkan dia
terbangun. tu? Apakah mungkin…
Tidak sempat berfikir, pintu biliknya sudah diketuk kuat.
Bertalu-talu bunyinya meminta untuk dibuka. Suara garau di luar sudah
menjelaskan segala-galanya. Lelaki yang amat ditakutinya kini hanya berada
beberapa jengkal sahaja. Hanya sekeping dinding nipis memisahkan mereka berdua.
Dia tidak punya jalan lain, memboloskan diri ke bawah katil dengan penuh
ketakutan.
‘Ya Allah, lindungilah
hamba-mu yang tidak berdaya ini,’
bisik hatinya.
Akhirnya pintu di luar berjaya dibuka. Nasib baiklah tidak pecah
akibat hentaman yang kuat. Susuk tubuh sasa mendengus kuat seakan mencari-cari
sesuatu. Insyirah hanya mengerekot, cuba menahan nafas. Tangannya menggeletar.
Hatinya berdoa, moga lelaki durjana itu tidak menemui nya.
Namun, dia dapat melihat lutut sudah dirapatkan ke lantai.
Walaupun sudah berundur ke belakang dan rapat hingga ke dinding, ia tetap tidak
mampu melindunginya.
“Oh! Kau dah pandai sembunyi ya?” Dengan rakus rambutnya ditarik
keluar. Air mata berhambur laju meminta pertolongan agar pak uda tidak
mengapa-ngapakannya. Tangisan itu sedikit pun tidak melembutkan hati lelaki
yang bertopengkan syaitan.
“Kau memang naik lemak, kan?” Makin kuat diragut rambut
kanak-kanak malang itu hingga Insyirah menjerit. Lebih kejam puntung rokok yang
masih bernyala sengaja dimatikan api pada lengan Insyirah. Menangis gadis
mungil itu menahan kepedihan.
“Kasihanilah saya pak uda,” rayu Insyirah.
“Ah! Kenapa baru sekarang kau nak merayu? Tadi kenapa sembunyi?”
Dilepaskan rambut Insyirah. Dia menendang-nendang kaki kanak-kanak perempuan
yang hanya berusia 11 tahun itu. Sekali tendangan tidak pernah memuaskan nafsu
amarahnya. Kali ini sasarannya di bahagian perut yang tidak sempat dilindungi
gadis kecil itu. Tiada lagi perasaan kasihan. Yang terzahir hanyalah seorang
manusia yang lebih kejam daripada binatang.
“Aku kata, jangan bagitahu sesiapa, kan? Tapi kenapa ayah kau
berpaling tadah? Setelah apa yang aku tabur selama ini… ini balasannya? Nah!
Ambil ni.”
Tidak cukup di perut, kali ini bahagian belakang pula menjadi
mangsa sepakan Kasim. Insyirah cuba untuk bangkit tapi dia jatuh kembali.
Kakinya sudah tidak mampu untuk berdiri.
“Pak uda… sakit. Tolonglah lepaskan saya,” rayu Insyirah lagi.
Suaranya makin perlahan, tersekat-sekat di rengkung.
“Budak tak guna!” herdik Kasim. Kali ini cuba merentap baju
Insyirah pula. Nasib baiklah bunyi laungan salam di hadapan rumah
menyedarkannya daripada kerja gila itu. Terkocoh-kocoh Kasim berlari keluar
melalui pintu dapur.
Insyirah terdiam sambil
menahan ketar. Giginya terkacip-kacip menahan kesakitan di seluruh tubuh.
Dahinya juga berdarah merah pekat. Laungan salam beberapa kali dari suara
lelaki di luar tidak dihiraukannya. Usahkan untuk menjawab, membuka suara pun
dia tidak mampu. Dia menyelimuti seluruh tubuh dan cuba bertenang seketika
dengan harapan ia mampu melenyapkan kesakitan yang ada. Dalam kesukaran,
tangannya mengelap dahi yang berdarah.
Darah itu tidak lagi memberi makna kerana penderitaan emosinya
lebih parah dari itu. Tangannya semakin menggeletar. Kakinya berasa kebas.
Kerana tendangan yang begitu kuat, dia tidak terasa bahagian mana yang lebih
sakit. Laungan salam kini mula sayup-sayup kedengaran. Harapannya kini agar
lelaki itu segera pergi dan emak pulang lambat agar tidak mengetahui rahsia
yang cuba diselindungi.
No comments:
Post a Comment