Wednesday, 11 June 2014

Bab 11




2007, USM

Perjalanan hampir lapan jam dari Universiti Sains Malaysia ke Taman Negara Pahang memang meletihkan. Keadaan bas tidak begitu selesa walaupun berhawa dingin. Ditambah dengan jalan yang berbukit bukau membuatkan perjalanan terasa makin jauh. Tekak terasa mual bercampur baur dengan pening kepala. Sesiapa yang tidak lasak pasti merasakan pengalaman tersebut seperti berada di gurun padang pasir yang ketandusan air.

“Lydia…”

Lydia tersentak. Dia segera menoleh ke arah suara tersebut.

“Kau dah biasa dengan aktiviti lasak macam ni ke?” tanya Ziha, yang turut mengambil jurusan komunikasi seperti Insyirah. Dia turun dari bas dengan muka separuh mabuk.

“Kau okey ke?” Insyirah memegang bahu Ziha. Muka gadis itu agak pucat. “Kau mabuk ni, Ziha. Jom rehat kejap.” Lydia menarik lengan Ziha lalu duduk di tepi sungai. Bot penambang yang boleh memuatkan 12 penumpang dalam satu masa sudah sedia menerima tetamu.

 Beruntung dia bukan orang yang mudah mabuk dengan segala cabaran ini. Setelah berehat selama 10 minit, Ziha mahu mereka meneruskan perjalanan. Nasib baiklah masih ada senior yang menunggu mereka.
 _________________________________________
Lydia menyaksikan panorama yang mengasyikkan sementara Ziha hanya memejam mata kerana masih terasa mabuk. Minyak angin tidak menyurutkan sakit kepalanya. Segala kehijauan alam dan kebiruan air laut membuatkan matanya terkesima seketika.

Memandang ke arah alam membuatkan dia lupa segala-galanya. Lupa yang dia baru sahaja menjejakkan kaki ke menara gading setelah lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Lupa yang dia sebenarnya telah membuktikan kepada rakan-rakan serta mereka yang tidak yakin dengan kemampuannya untuk memasuki bidang yang cukup diminatinya iaitu kewartawanan.

Lamunannya terhenti apabila jurumudi bot penambang memberhentikan bot mereka di tebing jeti Taman Negara Pahang. Lokasi ini antara hutan simpan dan pusat rekreasi yang popular di Malaysia. Mereka diarahkan berkumpul di satu lokasi untuk mendengar arahan yang seterusnya.

“Alhamdulillah, akhirnya kita telah selamat sampai di tempat yang dituju,” kata Senior Imran memecah keheningan. Wajahnya yang putih bersih dengan hidung terletak menyempurnakan lagi pakej jejaka idaman ramai gadis.

 “Ingat ya... anda yang terpilih untuk datang ke sini adalah mereka yang bakal mewarisi kepimpinan kami di Desa Cahaya Permai nanti. Jadi saya selaku Yang Di Pertua (YDP) meminta kerjasama anda untuk patuh dengan segala arahan serta program yang telah kami rancangkan,” ujarnya lagi.

“Jadi, seperti yang dirancangkan, kamu semua dikehendaki memasang khemah untuk tempat tidur malam ini,” sambung Senior Imran lagi sambil memerhati sekeliling.

 “Tiada istilah penat dalam kamus hidup seorang pelajar dan pemimpin. Kamu perlu bekerja keras untuk mencapai impian. Jadi jangan berangan jika kamu inginkan tidur yang nyenyak malam ini. Kita akan adakan sistem berjaga secara giliran supaya tiada gangguan daripada binatang buas atau perkara yang tidak dikehendaki!” tegasnya lagi.

Bagi mereka yang biasa berkhemah, bergilir-gilir tidur di waktu malam adalah perkara biasa. Berada di hutan memerlukan semua penghuni bersiap sedia dalam segala aspek fizikal dan mental. Namun bagi mereka yang belum pernah mengalami pengalaman sebegini, sudah tentu ia satu cabaran baru yang cukup menarik tetapi penuh kesukaran.

Exco-exco yang berada di situ turut tersenyum melihat reaksi spontan pelajar-pelajar baru. Mungkin pelbagai persoalan bermain di benak mereka. Binatang buas bagaimana yang dimaksudkan oleh YDP?

 “Lydia, kau dengar tau apa yang YDP kacak kita tu cakap? Aku mabuk lagilah,” rengek Ziha. 

“Eh! Tak kuasa! Tak faham aku. Kat mana kacaknya dia sampai korang semua naik angau ni.” Suara Lydia, rimas dengan pujian rakan-rakannya terhadap aura Senior Imran itu. Itu kan juga lelaki, makhluk yang harus dijauhi!

“Kau jangan cakap besar, Lydia. Kau belum terkena lagi, bolehlah berlagak! Kalau dah terkena panahan macam aku ni. Zasss…” balas Ziha sambil membuat isyarat potong kepala.

 Liza dan Yati ketawa medengar kata-kata Ziha.

“Jadi… Kau ni bukan mabuk laut sebenarnya. Tapi mabuk dengan kekacakan YDP tu kan?” soal Lydia bertalu-talu, bosan dengan pujian yang tidak henti-henti itu.

“Akhirnya kau mengaku juga YDP kita tu kacak kan? Aku ingat kau tomboi sebab tak suka lelaki!”

Lydia membeliakkan matanya kepada Ziha. Sejauh itu anggapan mereka terhadapnya?

Sorry, tuan puteri. Aku gurau ajelah,” balas Ziha lagi. Dia tersengih melihat reaksi Lydia.

“Tak payah tunggu lagi. Jom kita pasang khemah sekarang. Lagi cepat lagi bagus,” arah Lydia kepada rakan-rakannya.

Mereka mula membuka peralatan khemah lalu memasangnya. Gandingan yang sepakat dan akhirnya segala-galanya berjalan lancar sekali. Mereka kini mahu merehatkan badan yang keletihan dek perjalanan yang panjang.

“Er… boleh saya tengok?”

Mereka dikejutkan dengan suara garau dari belakang. Senior Imran tiba-tiba sahaja berdiri betul-betul di belakang Lydia. Nasib baiklah badan mereka tidak bersentuhan apabila Lydia berpaling. Kedudukan mereka agak rapat. Hanya terasa haba badan Imran sahaja. Namun, itu sudah cukup membuatkan hati Lydia berdegup kencang.

‘Gila lah mamat ni! Agak-agak lah nak berdiri pun. Takkan sampai seinci belakang aku!’

“Dah siap ke?” Imran meninjau-ninjau khemah itu. “Agak-agaklah khemah yang kamu buat ni betul ke?” Suara Imran kedengaran lembut tapi dalam nada yang tegas.

Mereka memandang sesama sendiri tetapi masih tidak dapat menyelami maksud Imran. Hendak dikatakan pacang yang dipasang senget, tidak mungkin kerana ia telah diketuk dengan besi terlebih dahulu. Mahu dijawab talinya kendur, mereka telah sama-sama menegangkan tali. Jadi apa yang salahnya? Tiada salah di mata mereka.

Menyedari tiada siapa yang bersuara, Lydia mula menyusun kata “Er… Abang Imran, sebenarnya…”

“Apa abang-abang? Saya bukan abang awak! Panggil Senior Imran!” herdik Imran sambil merenung tepat ke anak mata Lydia. Seakan mahu ditelan hidup-hidup gadis manis di depannya ini. Suaranya yang lembut tadi tiba-tiba bertukar menjadi kuat.

“Mi… Minta maaf Senior Imran,” tergagap sahaja Lydia menjawab. Idea yang disusun elok tadi tiba-tiba hilang begitu sahaja. Terkejut dengan sergahan YDP yang disangka berhati mulia itu. “Kami rasa khemah kami sudah lengkap dan tiada cacat celanya senior Imran.” Akhirnya terkeluar juga butiran yang disimpan selama ini. Beberapa pasang mata mula memandang ke arah mereka.

“Yang sebenarnya, khemah kamu berempat tiada lapik. Jadi macam mana tuan puteri nak beradu malam ini?” Senior Imran mula melembutkan suara tetapi kali ini dalam nada yang agak lucu sedikit.

Liza menggaru kepalanya manakala Yati dan Ziha cuma memandang ke arah khemah mereka yang dikatakan tidak sempurna itu. Masing-masing menepuk dahi.

Lydia menggeleng mengenangkan kecuaian mereka.

“Kami akan betulkannya,” Serentak mereka menjawab.

Senior Imran berlalu dari situ. Lydia terjelepuk duduk di dalam khemah. Mukanya merah padam menahan marah yang amat sangat.

“Sabarlah, Lydia. Dia tegur kesilapan kita aje tadi.” Suara Yati antara kedengaran dan tidak di telinga Lydia. Serba salah kerana tidak mempertahankan kawan baiknya tadi.

“Tegur… tegur juga Yati. Janganlah sampai malukan aku depan semua orang.” Lydia mengenggam kedua-dua belah tangannya melepaskan geram yang terbuku di dada.

Liza dan Ziha hanya memandang tanpa berkata. Mereka juga amat terkejut dengan sergahan Imran yang agak keras. “Ala, dia marah kita semualah. Lagipun kita berempat yang buat khemah ni, kan?” Liza pula menyampuk.

“Masalahnya… dia marah bukan sebab khemah! Tapi disebabkan aku panggil dia abang! Macamlah aku ni nak dia jadi abang aku! Geramnya…” Bencinya pada lelaki semakin membuak-buak. Seakan mahu dimuntahkan seperti larva gunung berapi meledak.

“Tapi Lydia, yang aku peliknya. Lepas dia marah kita tadi, dia boleh buat lawak pula. Kau dengar tak tadi dia sebut tuan puteri? Aku rasa dia suka kaulah, Lydia,” usik Ziha yang perasan situasi yang luar biasa tadi.

“Ah! Kau ni merepek aje! Bukan kau ke yang memuji kekacakkan dia tadi?” Lydia memulangkan paku buah keras pada Ziha.

“Lepas peristiwa tadi, dah tak kacak dah. Tak minat. Tapi, dia sesuai untuk kau,” usik Ziha lagi.

Spontan Lydia menampar lengan rakannya.

“Kalau dia suka aku sekalipun, minta maaf ya! Orang macam tu… tak kuasa aku nak layan. Lepas marah boleh senyum pulak? Macam tak bersalah langsung!” Lydia  bangun dan menepuk-nepuk seluarnya.

Ketiga-tiga rakannya memandang Lydia dengan rasa yang aneh. Takkan nak pergi serang YDP kot! Dah gila ke budak ni?

“Tunggu apa lagi? Kita kena kerja sekarang! Takkan nak tidur atas tanah pula! Lydia meneruskan katanya tanpa menoleh lagi. Mereka berempat terpaksa memasang khemah sekali lagi. Sedangkan peserta lain sudah mula mengambil makanan untuk makan malam.
 ________________________________________
Di khemah YDP, kedengaran hilaian ketawa Hisham dan Danial. Paling kelakar bila Imran memarahi Lydia yang memanggilnya abang.

“Tak baik kau buat macam tu pada freshie tadi. Aku dah kesian tengok muka dia merah padam,” ujar Exco Sukan dan Rekreasi, Hisham.

“Ala, bukan apa pun. Sergah biasa aje. Lagipun sekarang, mana ada macam dulu yang buli betul-betul. Kita tegur, bukannya dera,” sambung Imran yang mula menyapu insect killer di badan agar nyamuk tidak dapat menggigitnya.

“Alah, macamlah aku tak kenal kau. Hero Cahaya Permai okey. Kalau kau usaha kuat sikit lagi, kau pasti jadi hero pujaan USM. Aku berani bet.” Hisham cuba ‘mengipas’ sahabatnya yang hanya tersengih-sengih.

“Kalau korang perasan, muka si freshie tu macam ada sendu di matanya, kan?” kata Imran.

Hisham dan Danial tergelak. Faham benar dengan gelagat Imran yang mempunyai ramai kawan wanita, namun tiada satu yang melekat sebenarnya.

“Dah! Dia masuk bab Hindi pula,” kata Hisham lagi.

“Betullah… Seperti ada rahsia di sebalik matanya yang bulat. Korang tak rasa sama macam aku ke?”

“Kami tak kasanova macam kau.” Hisham mula baring lalu menarik selimut.

“Eh, dah lewat malam ni. Aku kena bertugas,” sampuk Danial yang diam dari tadi sambil mengenakan jaket tebal untuk melindungi dari kesejukan angin malam.

Freshie mana yang bertugas?” tanya Hisham lagi dengan suara yang agak mengantuk. Penat kerana masa sebelumnya dia telah meronda-ronda di sekitar tempat mereka berkhemah.

“Shamsul, Zul, Rina dan Lydia.”

“Lydia?” Bulat sahaja mata Imran mendengar nama terakhir yang disebutkan Danial. “Biar aku gantikan tugas kau.”

“Eh… bro. Habis giliran aku macam mana?” tanya Danial. Namun Imran sudah tidak mendengar lagi dengan langkahan pantas bagaikan ‘Spiderman’ meninggalkan mereka berdua.

“Alah... anggaplah dia gantikan tempat kau. Tak perlu susah-susah. Dia kan ketua. Jadi suka hati dialah nak buat apa,” kata Hisham.

“Kawan kita ni dah dilamun cinta ya?” tanya Danial lagi sambil tersengeh dengan gelagat rakan baiknya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...