Wednesday, 11 June 2014

Bab 27



Imran merengus perlahan. Telefon bimbitnya yang berdering dibiarkan sahaja. Malas melayan nombor yang tidak dikenali. Akhir-akhir ini terlalu ramai wanita yang mahu mendampinginya. Tidak kira sama ada melalui perjumpaan bersama client ataupun menerusi kenalan mamanya.

“Encik Imran… ada tetamu nak jumpa.” Suara Ayu, setiausaha Imran melalui interkom.

“Siapa?” tanya Imran acuh tidak acuh. Seingatnya, dia tidak mempunyai temu janji dengan sesiapa pun.

“Nasha, model iklan komersil kereta kita.”

Nasha. Hmm… baru dia teringat. Gadis cantik yang menjadi daya tarikan iklan komersial kereta luar negara milik syarikatnya. Tetapi untuk apa dia datang ke sini? Segala bayaran atau apa jua kontrak diuruskan oleh agensi. Tak apalah, setiap tetamu yang datang membawa rezeki, pujuk hatinya sendiri.

Pintu berkayu diukir indah diketuk. Kelihatan sesusuk tubuh tinggi lampai milik model ternama sedang berada di hadapannya.

“Silakan duduk… Nasha,” pelawa Imran. Ketika berdiri itulah, dia dapat ‘menangkap’ ketinggian model itu lebih kurang 170cm, setinggi dirinya. Berbeza dengan kekasih hati yang separas bahu sahaja.

Thank you.”

Nasha duduk. Serentak itu semerbak aroma wangian daripada campuran bunga-bunga hutan mengharumkan bilik tersebut. Agak-agak berapa botol minyak wangi yang telah dicurahkannya?

“Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Imran sambil tersenyum.

Nasha turut tersenyum. “I saja singgah aje. Nak tanya khabar you.”

Imran mengerutkan dahinya. “I okey… terima kasih kerana sudi datang.”

“Maaflah kalau I menganggu,” kata Nasha dengan suara  menggoda.

“Tak apa.” Imran tersenyum tawar. “Hari tu I singgah sekejap ke lokasi. Nampak Cik Nasha dari jauh. I nak tegur tapi takut mengganggu.”

“I nampak Encik Imran juga, tapi maklumlah… tengah busy. Tak sempat nak bertegur sapa. Er… betul ke I tak menganggu Encik Imran?” tanya Nasha dengan nada yang agak menggoda sambil badannya digerakkan ke hadapan.

Secara tidak sengaja, Imran ternampak bahagian dada yang terdedah. Cepat-cepat dialihkan pandangan matanya. Dia beristighfar di dalam hati. “Oh! Tak apa. I pun sibuk sikit hari tu. So, apa yang boleh I bantu?”

Err… Nothing, just leave my card.” Nasha memberikan kad bisnesnya kepada Imran.

Imran meneliti kad tersebut. Tertera nama, nama syarikat, jenis peragaan yang pernah diceburi dan kerjaya terkini. Di belakangnya pula pelbagai aksi menggoda yang bisa meruntun jiwa lelaki normal. Tidak hairanlah kerana dia adalah seorang model yang kini menceburi industri seni.

“I berani cakap yang you tak pernah jumpa orang macam I, kan?” ujar Nasha lagi.

“Betul, tapi memang pun I tak sesuai untuk dunia you. Maklumlah kami hanya berurusan dengan minit mesyuarat, lelaki dan segala perkara yang berkaitan dengan kereta,” kata Imran. Kemesraan yang ditonjolkan gadis jelita di hadapan meragut ketenteraman dirinya. Kenapakah Lydia tidak semanja ini ketika berbicara? Kenapalah Lydia menolak permintaanya untuk bernikah?

“Oh! I faham…” Nasha tergelak manja. Sesekali dia mengelus rambut ikal mayangnya separas bahu. Imran terbuai dengan kemanjaan yang ditonjolkan model itu. “Tapi ia tak bermakna you menolak jika I mengajak bukan?” suara itu berkata kembali. Kali ini lebih hangat dan menggoda.

Imran terdiam. Godaan di universiti nyata berbeza dengan dunia pekerjaan. Menyarung sut lengkap dan menyandang tugas di syarikat korporat menjelaskan godaan datang dengan lebih hebat. Sesekali dia juga hanyut dalam pesona itu sendiri.

Sorry dear, I didn’t means to touch your heart…” Nasha membetulkan tanggapannya. “Maksud I, kalau sesekali  I nak ajak you temankan lunch, dinner atau ke majlis hiburan lain boleh kan? Tapi ia bukan bermakna kita ada hubungan serius… Ia sekadar hubungan antara pekerja dengan bos atau sekadar rakan kenalan. I tak ramai kawan dalam industri ini. Sekadar berteman biasa sahaja dan I perlukan seorang rakan di luar lingkup kerjaya,” jelas wanita itu lagi.

Imran termangu-mangu. Pandangan menggoda Nasha mengheret jiwanya. “Why me?” Imran hilang kata-kata. Mengapa dirinya jadi pilihan? Bukankah wanita itu sendiri telah bertemu ramai lagi lelaki budiman di luar sana? Mengapa orang yang tidak pernah berbicara ini juga jadi taruhan?

“Dari pandangan pertama I, you seorang yang jujur dan bukan kaki perempuan. I pernah shooting dengan pelbagai badan korporat. Biasanya I dapat mesej terima kasih, bunga dan jemputan makan malam. Tapi I tolak dengan baik kerana tak mahu campurkan antara kerjaya dan peribadi.

Imran hanya mendengar. Cuba mengaitkan cerita Nasha dengan dirinya. Makin cuba dihubungkan antara satu sama lain, tetapi makin kusut jadinya. Mereka tiada kaitan langsung!

“Tapi berbeza dengan you…” Nasha mengedipkan mata dan mengurut batang lehernya. “Sakit pula leher I. Salah bantal kot.”

“Oh!” Hanya itu yang terucap dari Imran. Nasha makin galak menunjukkan kulitnya yang putih melepak. Tersekat nafasnya tatkala memandang keindahan pemilik lekuk tubuh itu. Terus dia melihat jam di tangan, mahu mengalih perhatian daripada terus meliar pada yang tidak sepatutnya.

“Okey, sambung cerita tadi. You memang lain daripada yang lain. Sebab you cuma tengok I dari jauh aje. Langsung tak kirimkan sebarang ucapan pada I. Malahan I yang cari you. Ini membuktikan yang you bukan salah seorang dari mereka…” jawabnya panjang lebar dan kini dalam nada yang lebih serius dari tadi.

Imran menggeleng kepala. Tidak tahu untuk menjawab permintaan tersebut. Hendak ditolak, dia tak sampai hati. Tetapi menerimanya nanti akan membawa padah jua akhirnya.

“Yang sebenarnya I tak pernah terfikir mengenai benda-benda ni.” Tergagap-gagap Imran memberi jawapan. Tak tahu pula, perlu ada hubungan antara model dan pemilik syarikat.

“Sebab tu I cakap you berbeza daripada orang lain yang I kenal. Tak kiralah bujang, suami orang ataupun dah ada tiga isteri. Tahap miang mereka terhadap perempuan memang….” balas Nasha sambil menjungkit bahunya menjelaskan lagi kenyataannya.

So… you nak apa daripada I?” soal Imran, pelik dengan kerenah model di hadapannya ini.

Nasha pantas menggeleng. Dia tersenyum.

Pandangan menggodanya membuatkan Imran terpana bagaikan di awang-awangan.

“I tau orang sekacak you pasti sudah ada teman istimewa. I tak ganggu mahligai orang. I’m not that type. Cuma sekadar kenalan antara mereka yang pernah berurusan bisnes. Tak salah kan?”

Imran diam.

“Okeylah... I have to go. If you have any job or just wanna go dinner, please call me.”

Nasha meninggalkan Imran dengan senyuman yang sukar untuk dimengertikan. Imran khayal seketika dengan kejelitaan di depan matanya sehinggalah kelibat Nasha hilang daripada pandangannya.

 Dia tersenyum. Sekadar kenalan bisnes? Sejak bila dia dan model yang cantik dan seksi itu mempunyai persamaan dalam perniagaan? Atau dia sedang dijerat oleh kepalsuan dunia semata-mata?

Dengan akses internet di hujung jari, dia mula membuat  carian mengenai Nasha Noor. Hebat sangatkah orangnya sehingga segala VIP mahukan dia? Dan dia pula dicarinya dengan alasan berbeza daripada orang lain? Terlalu sarkastik bunyinya namun hati lelakinya tetap tidak mampu menolak keindahan ciptaan Yang Maha Esa.

‘Tetapkan imanku daripada godaan sebegini, ya Allah!’


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...