Wednesday, 11 June 2014

Bab 25




Imran terkedu. Rayuan atau apa sahaja ayat yang keluar daripada  mamanya memang sukar untuk diterima. Tadi Datin Sairabanu singgah ke pejabatnya sekadar untuk bertanya khabar. Macamlah di rumah mereka langsung tak berjumpa.

“Anak mama apa khabar?” Datin Sairabanu duduk tanpa menghiraukan kehairanan yang beraja di wajah anak sulungnya itu.

“Mama, Im belum pindah lagilah,” kata Imran sambil menggeleng. Sejak akhir-akhir ini, mamanya begitu menganggu kehidupan peribadinya.

“Macam mana nak pindah kalau belum kahwin?” sindir wanita yang masih cantik itu walaupun sudah berusia.

Ops! Dia sudah tersilap perhitungan rupanya. Kenapalah lancang sangat menjawab tadi? Imran tersengih. Dia terus menutup fail di meja. “Mama nak ajak Im lunch sama ke nak buat surprise kat papa?” Sengaja di tukar topik supaya mamanya tidak lagi menyentuh soal perkahwinan.

“Hisy, kamu ni… Papa kan outstation ke Sabah. Tu lah... sibuk sangat sampai papa tak ada pun kamu tak perasan,” sindir Datin Sairabanu lagi.

Imran menepuk dahinya. Mengapa idea bodoh sahaja terfikir dek akalnya tatkala berhadapan dengan mamanya? 

“Jadi dah jumpa calonnya?” soal Datin Sairabanu.

“Ada, cuma tungga masa aje.” Berubah air muka Imran. Menipu atau berterus terang?

“Baguslah. Boleh kenalkan pada mama.” Datin Sairabanu tersenyum lebar. “Nanti bawa jumpa mama ye, Im…”

“Dia belum bersedia lagilah, mama.”

“Jadi bila nak bersedianya?” Suara Datin Sairabanu hampir terjerit.

“Dalam masa terdekat nanti. Im janji, mama.” Dalam kelat, Imran mengukir janji. Entah betul atau tidak dia akan menepatinya. Yang penting dia harus membuatkan mamanya berhenti bertanya.

“Susah-susah sangat, mama ramai kenalan yang ada anak perempuan. Cantik dan berpelajaran tinggi,” sambung Datin Sairabanu yang bila-bila masa sahaja menunggu lampu hijau daripada Imran. Akan dicanang kepada rakan-rakannya bagi mencari seorang gadis sebagai suri hati anak lelakinya.

“Eh! Tak naklah macam tu. Itu zaman dulu-dulu boleh lah padan-padankan. Ini zaman siber. Orang dah cari sendirilah mama.” Imran berasa canggung. Sukar dimengerti, Datin Sairabanu suka mengawal segala-galanya. Kadang-kadang Imran cukup hairan bagaimana papanya boleh bertahan dengan sikap mamanya yang suka campur tangan dalam pelbagai perkara.

“Kalau tak nak, bawa dia cepat-cepat jumpa mama. Im faham kan?”

“Insya-Allah... mama,” jawab Imran dengan nada yang antara dengar dan tidak. Resah sebenarnya. Biarpun mamanya baru sahaja sampai dan berbual dengannya, terasa masa begitu lambat berlalu. Kalau boleh, mahu sahaja dia mempercepatkan percakapan mamanya supaya masa deras berlalu.

“Tak apalah... mama saja singgah. Walau duduk serumah, susah sangat nak jumpa Im, kan?” Imran mengeluh. Sukarnya untuk memuaskan hati seorang mama. “Nanti malam, makan di rumah ya. Mama rasa sunyi sebab papa tak ada. Yana pun lambat lagi balik. Tinggal Im sorang aje. Okey?”

“Okey...” Imran mengangguk. Tiada lagi alasan untuk menolak.

“Mama balik dulu. Jangan lupa temu janji kita malam ini.” Datin Sairabanu berjalan keluar meninggalkan Imran dengan penuh rasa beban.

Pandangan Imran beralih pada diari harian yang tercatit segala tugasan. Di dalamnya terpampang potret indah milik Lydia dan dirinya. Teringat ketika mula-mula memikat Lydia, pelbagai rancangan yang difikirkan agar mampu membuatkan si Lydia jatuh hati dengannya. Akhir sekali dia berjaya juga memenangi hati gadis manis ini.

Bukan dia tidak pernah mengajak Lydia agar bertemu dengan keluarganya. Jika dihitung sudah berpuluh-puluh kali dia mempelawa Lydia ke rumah. Jumlah sebanyak itulah juga Lydia menolak dengan cara yang paling lembut beserta macam-macam alasan. Masih belum bersedialah, tunggulah bila dah kerja nanti, tidak mengapa, biar adik-adik menentukan haluan masing-masing dan pelbagai hujah yang mampu mencairkan hati lelakinya.

Sehingga kini, Lydia masih mengelak bila diajukan soalan yang sama. Akhirnya dia sendiri yang merajuk, membawa hati yang lara. Namun, gadis itu pandai memujuk. Dan, dia tidak sampai hati untuk melukakan hati dara yang mengetuk pintu hatinya.

Lydia terlalu istimewa. Dia sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga untuk mempertahankan cinta dan janjinya pada kekasih hati. Tapi bagaimana pula dengan mama dan keluarganya?

Datin Sairabanu tentu tidak menyukai budak kampung seperti Lydia. Tidak pandai membawa diri ke majlis-majlis kehormat katanya. Tapi, apa yang tidak diketahui mamanya, Lydia sudah menjadi seorang wartawan yang tentu biasa berhadapan dengan semua pihak. Datin Sairabanu tidak boleh memandang rendah lagi kepada Lydia.

Ah! Biarlah keadaan menentukan. Dia masih belum ingin menamatkan alam bujangnya. Masih banyak yang belum digapai.

‘Aku pasti saat itu akan terbentang luas di depanku.’


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...