Insyirah menatang
kasut sekolah barunya. Seronok tidak terkira mendapat rezeki yang tidak diduga.
Disarungnya sekali lagi kasut itu lalu berjalan di serambi rumah. Mesti selepas
ini Athirah tidak berpeluang untuk mengejeknya lagi.
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan, sejak kedatangan Kasim
atau lebih mesra dipanggil Pak uda, ayah jarang membuat kerja sampingan lain.
Ke kebun getah pun hanya kerana terikat kontrak dengan Pak Samad. Lelaki itu
sentiasa menawarkan pertolongan dari segi wang ringgit dan juga tenaga.
“Eh! Syirah ada?” tegur
Kasim yang tiba-tiba muncul dari pintu hadapan.
Insyirah tersentak. Rasa malu menguasai dirinya yang sedang
memperagakan kasut baru. “Ada…” Kasut dibukanya semula lalu diletakkan kembali
di dalam kotak. Minggu depan dia akan merasmikan kasut baru itu.
“Pak uda ingatkan kamu ikut mak dan ayah kamu pergi kenduri hujung
kampung tu,” ujar Kasim lalu mengesat peluh di dahinya dengan topi. Bahang
panas di luar terasa sampai ke dalam rumah.
“Syirah malas nak pergi. Nak rehat aje di rumah. Boleh Syirah
ulang kaji pelajaran.” Melihatkan tangan Kasim yang sarat memegang plastik
buah-buahan, terus Insyirah menawarkan diri untuk membantu membawanya ke dapur.
“Pak uda, Syirah simpan buah-buahan ni di dapur,” sambung Syirah
lagi lalu menghulurkan tangan untuk mengambil plastik daripada Kasim.
“Adik-adik Syirah pergi mana?” tanya lelaki itu lagi.
“Afnan ke rumah kawan dia, buat kerja sekolah. Afiq dan Ain ikut
mak dan ayah. Syirah seorang aje kat rumah,” jawab Insyirah. Dia berlalu ke
dapur.
Selesai meletakkan buah-buahan di atas meja, Insyirah mahu masuk
ke biliknya. Dia tidak sabar untuk membaca sekali lagi surat pemberian Ketua
Pengawas yang kacak itu. Baru sahaja dia mahu membuka pintu, teguran daripada
Kasim mengejutkannya.
“Syirah! Pak uda hauslah. Boleh tolong buatkan kopi,” perintah
lelaki itu dengan bahasa yang lembut.
Insyirah mengangguk. Dia segera ke dapur. Dia menuangkan air
panas ke mug. Tangannya mengagau-ngagau para di atas almari untuk
mengambil serbuk kopi.
“Sampai tak tangan tu?”
Terkejut Insyirah apabila ditegur Kasim yang tiba-tiba sahaja
muncul di dapur. Hampir terjatuh balang kopi yang mula dicapainya. “Hisy… pak
uda ni. Kejutkan saya saja. Boleh ambil, dah biasa,” sahut Insyirah menenangkan
gemuruhnya. Dia terus menuang kopi dan menceduk gula, lalu mengacaunya. “Pak
uda, tunggulah di luar. Nanti saya bawa ke ruang tamu.” Dalam sekejapan
bayangan lelaki itu pun hilang. Insyirah terus mengambil epal dari plastik.
Sedang leka mengupas epal, dia terasa ada nafas kasar sedang menghembus lembut
di rambutnya. Dia segera berpaling. Kasim sedang tersenyum memandangnya
“Oh! Pak uda. Pak uda duduk kat depan dulu ya. Sekejap lagi saya
hantar kopi dan epal ni,” kata Insyirah. Tiba-tiba hatinya rasa berdebar-debar.
‘Lain macam benar kelakuan pak uda hari ini. Tapi tak mungkin pak uda ada niat
serong.’
“Tak apa, pak uda rasa nak minum di dapur pula,” balas Kasim
sambil merapatkan badannya dengan Insyirah.
Insyirah terus memberi cawan kepada lelaki lewat 20-an itu lalu
menjarakkan sedikit badannya. Dua kali Kasim berperangai luar biasa. Sempat dia
melihat mata lelaki itu, agak merah dan nampak tidak terurus.
“Duduklah sini. Borak-borak dengan pak uda dulu.” Kasim duduk di
kerusi berhampiran meja makan lalu menjauhkan dirinya daripada Insyirah.
“Pelajaran macam mana? Okey tak?”
Insyirah tersenyum. “Alhamdulillah, semua okey pak uda.” Segera
disingkirkan tanggapan jahat pada awalnya. ‘Tidak mungkin pak uda ada niat
serong. Dia kan adik angkat ayah.’
“Baguslah.” Kasim meneguk minumannya.
Perlahan-lahan Insyirah menapak ke biliknya. Langkahannya
terhenti bila Kasim sekali lagi berbicara sedih.
“Seronok pak uda tengok keluarga Syirah, bahagia. Tapi pak uda
sendiri… sampai sekarang masih membujang,” keluh lelaki itu berat. Mug
dihempas kuat ke meja. Nasib baik tidak pecah dek kuatnya hempasan tersebut.
“Pak uda pernah bertunang, tetapi si dia memutuskan kerana tidak
serasi katanya. Sejak itu pak uda dah serik nak bercinta lagi. Sangat perit…”
rengus lelaki itu lagi.
Insyirah hanya mengangguk. Dia tidak begitu memahami kata-kata
Kasim. Tetapi dia tahu Kasim sangat sedih dengan perpisahan itu. Fikirannya
menimbang-nimbang sama ada untuk terus berada di situ atau terus masuk bilik
sahaja.
“Tak apalah. Tak patut pak uda bagitahu Syirah cerita-cerita
macam ni. Pergilah masuk bilik, belajar. Pak uda nak berehat kat sini aje.”
Pucuk dicita, ulam mendatang. Insyirah tersenyum lebar. “Okey,
pak uda. Syirah pergi dulu. Jangan sedih ya.” Laju sahaja dia menjawab. Dia
mula melangkah, namun langkahnya terhenti apabila tangannya dipegang lelaki
itu. Sekali lagi dia terkejut lalu berpaling ke arah lelaki itu yang tampak
gelisah.
“Terima kasih, Syirah.” Kasim tersenyum sambil mengangguk.
Denyutan jantung Insyirah mula tidak tentu arah. Sekejap laju,
sekejap normal. Tindakan pak uda yang sukar diramal membuatkan dia berasa cuak.
Bimbang juga berlaku perkara yang tidak diingini. Pautan dilepaskan.
Cepat-cepat dia masuk ke bilik.
“Apa ni pak uda?” jerit Insyirah.
“Syirah sudi jadi teman pak uda?” Kasim tersenyum sinis.
Menampakkan dua batang giginya yang rongak.
“Apa yang pak uda cakap ni?” Insyirah cuba melepaskan pelukan
erat lelaki yang bertukar karektor ini.
“Syirah sangat comel…” Makin kuat Kasim merangkul tubuh kecil
Insyirah.
“Pak uda nak buat apa ni? Lepaskan Syirah!” Insyirah
meronta-ronta minta dilepaskan, namun semakin erat Kasim memeluknya.
“Lepaskan!” jerit Insyirah kuat.
Kasim terus menutup mulut Insyirah dan tubuhnya yang kecil tidak
berdaya melakukan apa-apa. Hendak menjerit dia sudah tidak mampu kerana
mulutnya telah ditekap dengan kuat. Tubuhnya terus dihempaskan ke tilam. Kasim
mula membuka pakaiannya satu demi satu.
Insyirah menggelupur, menendang tubuh lelaki jahanam itu. Namun,
tendangannya sekadar menyepak angin, langsung tidak terkesan pada badan lelaki
itu.
“Apa yang pak uda nak buat dengan saya? Tolong jangan apa-apakan
saya pak uda. Tolonglah…” rayuannya tidak didengari lelaki bersikap binatang
ini. Insyirah menjadi mangsa keganasan lelaki tidak berhati perut. Tubuhnya
diperlakukan sesuka hati. Pipinya beberapa kali ditampar kerana cuba bangun
mempertahankan diri. Sakitnya tidak dapat digambarkan dengan imaginasi. Gusinya
mula mengeluarkan darah, menitis-nitis membasahi dagunya.
Tiada upaya untuk dia mengelak. Tangannya kini ditekan dengan
kuat sehingga dia longlai akhirnya. Kesakitan di seluruh badan bercampur baur
sehinggakan dia tidak dapat merasakan lagi bahagian mana yang sebenarnya lebih
sakit. Sama ada datangnya dari tubuh yang berdarah atau pun kawasan larangan
yang kini menjadi milik lelaki durjana itu. Insyirah menangis tersedu-sedan
apabila diperlakukan bagai boneka. Dalam usianya 11 tahun, Insyirah telah
dirogol oleh orang yang cukup dipercayai ahli keluarganya.
Setelah melampiaskan nafsu binatangnya, Kasim bangkit lalu membetulkan
kembali pakaiannya. Dia memandang kanak-kanak itu dengan senyuman kepuasan.
“Pak uda sayangkan Syirah. Ini tanda kasih sayang pak uda pada
Syirah,” jelas Kasim. Dia membelai rambut Insyirah yang masih dalam kesakitan.
Insyirah mengelak dalam tangisan yang masih tersisa. Pantas
sahaja lelaki itu menarik rambutnya kasar.
“Ingat! Perkara ini adalah
rahsia kita berdua sahaja. Jika Syirah bagitahu sesiapa, pak uda akan menarik
balik segala kemewahan yang pak uda bagi pada keluarga ini!” ugut Kasim angkuh
lalu keluar dari bilik itu.
Insyirah masih menangis tersedu-sedan. Mukanya pedih akibat
ditampar berulang kali. Tubuhnya pula terasa sakit-sakit. Kini dia mula rasa
denyutan di bahagian bawah perutnya. ‘Apakah yang berlaku sebentar tadi? Adakah
dia telah didera fizikal dan mental? Teringat-ingat cerita yang pernah ditonton
di televisyen. Perkataan rogol
bermain-main di benaknya. Adakah dia di rogol? Siapakah yang akan mempercayai
kata-kata kanak-kanak naif sepertinya?
Tiba-tiba Insyirah merasakan dirinya cukup kotor sekali. Dia
tidak layak disentuh oleh sesiapa pun. Tangannya menyapu-nyapu kasar lengan dan
peha yang terdedah seolah-olah untuk menghilangkan segala sisa-sisa peninggalan
lelaki buas itu. Memorinya mengingati semula apa yang baru berlaku sebentar
tadi.
‘Bukankah maruah aku sebagai perempuan sudah dicabul oleh durjana
itu? Kehormatan yang harus dijaga oleh
semua wanita, tetapi kesuciannya telah tercemar. Bagaimana aku mahu mendepani
semua ini? Bagaimana masa depanku?’ Insyirah menangis, berlagu dalam hiba.
Biar hatinya remuk rendam, namun semua telah pun berlaku. Kegilaan
dan akal yang kurang waras memaksa dia berdiam diri. Jeritan hati hanya
dipendam di sanubari. Ya Allah!
Bagilah kekuatan padaku agar dapat menempuh hidup ini dengan penuh ketabahan.
No comments:
Post a Comment