Wednesday, 11 June 2014

Bab 2 - zaman sekolah





INSYIRAH memandang basikal buruknya sekali lagi. Walaupun uzur, namun itu sahaja yang ayahnya mampu sediakan. Basikal itu pun pemberian jirannya setelah anak mereka dibelikan sebuah basikal BMX yang baru. Namun, dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya ayahnya tidak perlu menghantarnya ke sekolah.

Sampai sahaja di halaman rumah, dia melihat sebuah kereta Perdana SEi warna merah tersadai di hadapan rumahnya. ‘Kereta siapa ini?’

“Syirah… jangan termenung lagi. Cepat masuk dalam rumah sekarang,” tegur Fatimah.

“Kereta siapa ni mak?” tanya Insyirah penuh tanda tanya. Apatah lagi bila melihat emaknya sedang memegang sepasang kain yang agak mahal harganya.

“Adik angkat ayah kamu. Dia dari Kuala Lumpur.”

‘Ayah ada adik angkat?’ soal Insyirah di dalam hati.

“Lambat balik hari ni?” tanya Fatimah lagi. Di lipat kain sutera yang dihadiahkan oleh adik angkat suaminya elok-elok.

“Syirah kena bersihkan kelas hari ni. Minggu depan ada pertandingan kebersihan. Jadi kami kena hias kelas cantik-cantik,” ujar Insyirah sambil membuka kasutnya.

Sebaik memasuki rumah, tergambar wajah girang adik-adiknya yang sedang mencuba pakaian dan kasut baru.

“Syirah… sini, salam pak uda,” arah Taufik.

Insyirah mengangguk. Dia menghampiri lelaki itu lalu mencium tangannya.

“Syirah dah besar. Masa saya tengok dia dulu, baru boleh berjalan. Cantik pula tu,” puji Kasim. Dia tersengih melihat anak dara pingitan yang bertocang ekor kuda ini.

“Pak uda ni adik angkat ayah. Kami dah lama terpisah. Dia kerja di Kuala Lumpur sebagai kontraktor. Dah 10 tahun kami tak jumpa,” jelas Taufik.

Insyirah hanya mengangguk sambil tersenyum.

“Pak uda ada belikan Syirah pakaian baru. Suka tak?” Suara Kasim lagi sambil menghulurkan sepasang baju kurung berwarna merah jambu.

Insyirah menyambut huluran tersebut dengan malu-malu. Hatinya gembira bukan kepalang menerima pemberian itu. “Terima kasih, pak uda.”

Kasim mengangguk sambil tersenyum.

“Syirah minta diri dulu ya, mak, ayah, pak uda. Nak siapkan kerja sekolah.”

“Ha’ah, pergilah… Nanti kita sambung borak lagi,” kata Kasim sambil tersengih.

Insyirah mengangguk. Dia melangkah masuk ke biliknya.
Tatkala semua orang keluar rehat, Insyirah menyusup dari pintu belakang menuju ke tempat yang paling disukainya, iaitu perpustakaan.

Setelah berada di rak novel, dia mengambil buku kegemarannya iaitu Nancy Drew dan Enid Blyton. Selepas itu dia duduk di meja yang sedikit tersorok kedudukannya.

“Assalamualaikum...”

Insyirah tersentak mendengar suara yang menyapanya. Dia mengangkat kepalanya. Dia terkejut apabila melihat Tajul  Arifin berada di hadapannya. “Waalaikumussalam...” jawabnya sedikit gugup.

“Saya mengganggu awak ke?” tanya Tajul sambil tersenyum.

Insyirah mengigit bibir. Dia tidak tahu jawapan bagaimana yang harus diberikan. Dalam masa yang sama, dia risau jika ada orang yang memandang serong. Maklumlah dia hanya anak penoreh getah sedangkan Tajul anak Yang Berhormat di kampung mereka. Apatah lagi ramai yang meminati ketua pengawas yang mempunyai pakej lengkap ini.

“Jangan bimbang, Syirah. Tiada siapa akan nampak kita di sini,” kata Tajul, seolah-olah memahami gelodak rasa di hati gadis manis ini. Dia duduk di hadapan Insyirah. 

Benar, tempat mereka agak tersorok sedikit daripada pandangan orang ramai. Tetapi itu tidak bermakna tiada siapa akan memerhatikan mereka. Insyirah sangat risau.

“Syirah, jangan risau. Saya datang bukan untuk susahkan awak. Saya cuma nak berkenalan dengan awak,” kata Tajul apabila menyedari Insyirah kelihatan gelisah.

Insyirah mengerutkan dahinya. “Kenapa saya?”

“Kerana saya rasa, Syirah antara pelajar yang ikhlas dan jujur. Saya nak kenal dengan awak. Saya harap awak tak tolak pelawaan saya,” kata Tajul, penuh mengharap.

Insyirah tersenyum hambar sambil matanya tetap mengerling ke kiri dan kanan, bimbang jika ada telinga yang mendengar perbualan mereka.

“Saya tahu Syirah tak selesa. Tapi, Syirah baca ini dulu.” Tajul mengeluarkan sekeping sampul surat yang sudah dilipat lalu terus meletakkan di dalam sebuah buku bertajuk Cinta Laila Majnun. “Jangan hampakan harapan saya ya.” Dia tersenyum. Selepas itu, dia terus bangun dan berlalu pergi.

Insyirah hanya melihat kelibat Tajul Arifin menghilang daripada pandangannya. Surat itu dipandangnya berkali-kali sambil melihat keadaan sekeliling agar tiada siapa yang memandangnya. Setelah menyedari tidak ada gangguan, dia membuka surat itu perlahan-lahan.
Maafkan saya jika Syirah terperanjat dengan kedatangan surat ini. Saya benar-benar ingin berkawan dengan Syirah sejak pertama kali kita bertemu di pintu pagar sekolah hari itu. Saya tidak pandai bermain kata-kata tetapi saya harap Syirah tidak menolak permintaan saya. Jika Syirah sudi, sila datang ke perpustakaan ini esok, di tempat yang sama ketika saya hantar surat tadi. Sementara menunggu peperiksaan UPSR, saya teringin berborak panjang dengan Syirah. Mungkin ada aktiviti yang boleh kita lakukan bersama memandangkan cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi.
Insyirah melipat kembali surat yang dibaca. ‘Apa istimewanya aku sehingga Tajul boleh terpikat? Kenapa dia beria-ia ingin berkenalan dengan aku? Ada udang di sebalik batu ke? Tak mungkin! Jadi apa yang harus aku lakukan. Argh… biarlah keadaan yang menentukannya.’
Dia memasukkan surat tersebut di dalam buku Laila Majnun itu tadi dan melirik jam tangannya.  
 
Waktu rehat tinggal lima minit. Cepat-cepat dikemaskan buku-bukunya di atas meja. Selepas itu dia bangun dan melangkah keluar dari perpustakaan menuju ke kelasnya. Dari jauh, dia nampak kelibat Atirah yang sedang berborak dengan rakan-rakannya. Sempat dia melencong ke jalan yang lain untuk mengelakkan bertembung dengan pengawas sombong itu. Kalaulah Atirah tahu Tajul datang berjumpanya, tentu perang besar akan meletus.

Insyirah menenangkan dirinya seketika di tandas. Memikirkan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Dia tidak boleh membiarkan perasaannya terbuai-buai dengan kesyahduan yang dicipta. Ia terlalu jauh dari alam realiti.

Dia tidak mahu menaruh sebarang harapan. Apatah lagi selama ini, dia tidak mempunyai kawan perempuan yang rapat. Jadi apa gunanya mempunyai kawan lelaki sekarang? Tidak pernah memberi sebarang perbezaan pada hidupnya. Itu hanya mainan semata-mata. Namun, Tajul Arifin sebenarnya sungguh mempesonakan. Duhai hati, bertenanglah ya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...