SEKALI lagi Datuk
Lee Chong Wei mengungguli kategori Olahragawan Kebangsaan, mengenepikan
atlit-atlit lain yang tidak kurang hebatnya. Percikan cahaya daripada kamera
DSLR bertalu-talu menyimbahi acara berprestij itu. Dia juga tidak ketinggalan
merakamkan kenangan bersejarah itu dengan telefon pintarnya yang baru sahaja
dihadiahkan orang tersayang.
“Sorry, are you Lydia
Taufiq?”
Lydia berpaling ke arah suara tersebut. Dia mengamati penampilan
wanita berbaju kurung moden daripada fabrik yang tentu mahal harganya. Lengkap
bersama perhiasan barang kemas yang berkilau-kilau daripada leher dan
pergelangan tangannya.
“Ya saya…” ujarnya lagi lalu menghulurkan tangan. Disambut dingin
perempuan lingkungan pertengahan abad itu. Senyuman yang lahir daripada
perempuan itu juga nampak dibuat-buat.
“Lydia!” Firdaus terus duduk di sebelah lalu menampar lengannya.
“Kau kalah! Orang lain yang menang. Jadi kau kena tengok wayang dengan aku,”
katanya selamba. Namun, setelah melihat Lydia membulatkan matanya, baru
disedari ada ketegangan sedang berlaku. “Err... maaf, saya ada kerja nak
dibuat.” Dia terus beredar dari situ.
“Maaf, dia rakan sepejabat saya,” tutur Lydia penuh hemah. Tidak
mahu mencederakan emosi wanita yang seolah-olah mahu menerkamnya sahaja.
Mungkin dia salah seorang tetamu korporat yang hadir di majlis Anugerah Sukan
Negara. Mungkin juga isteri kepada mana-mana kenamaan yang tidak memahami cara
bekerja orang media. “Jadi ada apa yang boleh saya tolong?”
“Datin Sairabanu, emak Imran. Boleh kita bercakap sekejap. Tapi,
bukan di sini. Lebih baik kita ke coffee house,” ujar wanita itu dalam
nada sinis.
Lydia terdiam. Berdebar-debar hatinya. ‘Kenapa Imran tak beritahu
kedatangan emaknya?’
“Well, I harap you tak terkejut dengan kedatangan I.
Kebetulan, I dapat tahu you kerja malam ni. Sebab tu, I datang.”
Lydia hanya menggeleng. Walhal fikirannya berselirat. Apakah
makrifat mama Imran hingga sanggup bertemu dengannya? Di tempat yang tidak
sesuai pulak tu. Nak merisik ke?
“Memang selalu kerja lewat malam ke?”
“Tak, Datin. Saya hanya bekerja jika ada majlis atau perlawanan
sahaja. Selebihnya kami bekerja mengikut jadual,” beritahu Lydia.
“Oh! Jika ada perlawanan berlangsung sampai lewat malam, you pun
akan sampai rumah masa orang lain nyenyak tidur, begitu?”
Lydia hanya mendiamkan diri. Menunggu kata-kata seterusnya
daripada perempuan angkuh dengan darjatnya ini.
“Susah juga sebenarnya kan… Antara memilih pekerjaan yang disukai
ataupun kekasih hati? Kalau diberi pilihan, sanggup ke you tinggalkan kerja
sekarang untuk berkahwin dengan Imran?” sindir wanita itu lagi.
Lydia terkedu. Tidak disangka soalan itu akan terlintas di benak
wanita yang juga sedarah dengan Imran. “Maaf, Datin. Saya rasa lebih baik saya
berbincang dengan Imran terlebih dahulu sebelum…”
“Sebelum segala-galanya terlambat?” Pantas sahaja Datin Sairabanu
mematahkan ayat Lydia. “I tahu hubungan you dengan Imran serius. Tapi sampai
sekarang, I tak nampak the ending of love… atau you sekadar nak
mainkan hati dia?” desak Datin Sairabanu. Kerana gadis itu, anaknya seakan lupa
dunia sebenarnya. Dia tidak akan membiarkan Imran terpedaya dengan pesona palsu.
“Sebenarnya kami dah lama bercinta, Datin. Hampir enam tahun.
Hubungan kami memang serius. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk
main-main. Cuma, biarlah saya stabilkan kerjaya terlebih dahulu sebelum
melangkah ke gerbang perkahwinan,” jawab Lydia penuh yakin. Walaupun keyakinan
itu sebenarnya merundum bila melihat cara wanita itu berinteraksi dengannya.
“Oh! I fikir kau orang dah matang dalam buat keputusan. Imran 27
tahun dan you pula 26. Takkan masih dalam proses menstabilkan karier
masing-masing, hingga lupa nak kahwin?” herdik Datin Sairabanu lagi.
“Saya tahu Imran dah cukup
syarat untuk berumah tangga. Saya yang masih belum bersedia sebab saya mahu
berbakti kepada keluarga terlebih dahulu. Saya cuma minta tangguhkan masa. Itu
aje.”
“Tangguhkan sampai bila? Sampai Imran terpaksa cari perempuan
lain?” Datin Sairabanu merenung Lydia dengan tajam.
“Maafkan saya, Datin. Kami masih belum bincang hal ini. Nanti
bila ada masa, saya akan bincang dengan dia.”
“Macam mana nak ada masa…
kalau malam-malam begini pun you masih kerja? Semuanya I tengok dimonopoli kaum
Adam. Apakah bertepuk tampar dengan rakan pejabat lelaki di kira perkara biasa?
You tak rasa itu sangat murahan ke?”
Lydia menggigit bibirnya. Tangannya menggeletar. Disembunyikannya
dengan memegang bahagian belakang kerusi. Kasar sungguh bahasanya. Tak padan
dengan status yang dipegangnya ini.
“Tapi Datin… memang itu rakan sekerja pun. Kami takda apa-apa,”
terang Lydia.
Datin Sairabanu merengus kasar. Baginya tiada langsung kebaikan
gadis yang menjadi pujaan hati anaknya ini, melainkan wajahnya yang sedap mata
memandang.
“Seronoklah macam tu. You berfoya-foya di sini dengan alasan
kerja. Imran pula menanti you yang disangkanya sangat baik. Oh! Adilnya dunia
ini.” Datin Sairabanu mencemik, langsung tidak memandang gadis polos di
hadapannya. Dia sangat benci gadis ini.
“Saya rasa Datin salah faham. Sebenarnya…”
“I pun tak faham kenapa
Imran boleh terpikat dengan you. Kamu berdua sangat jauh berbeza. Seorang dalam
dunia korporat, seorang lagi dalam industri hiburan. Jadi mana kaitannya?”
‘Pedihnya ya Allah.
Kenapalah aku harus bertemu dengan orang yang tidak pandai langsung menjaga
bahasanya? Sekurang-kurangnya berbasa basilah untuk menjaga hati orang. Dan
hiburan? Dia ingat aku bekerja dengan cara berhibur ke?’
“Beginilah Lydia, kita
ringkaskan cerita. Imran satu-satunya anak lelaki kami. Dia harapan ayahnya
untuk meneruskan legasi bisnes. Lagi pula dia selalu outstation. Dia
memerlukan seorang isteri yang sentiasa bersedia untuk mengikutnya ke mana
sahaja. I think you understand what I’m talking about!”
“Maafkan saya, Datin. Saya tak bermaksud mahu melambatkan perkara
ini,” sangkal Lydia, juga dengan nada yang agak lembut, walau hatinya berdentam
detum mahu meletup.
“Ringkaskan cerita, jika Imran terpaksa outstation dalam
jangka masa yang lama, macam I tanya tadi. Adakah you sanggup berhenti kerja?”
Dum! Soalan yang menjerat
dirinya sendiri. Soalan itulah yang mahu dielakkan daripada mula. Kenapa perlu
mengaitkan kerja dan hubungannya dengan Imran? Perbandingan yang tidak setara
sebenarnya. Tetapi kata-kata itu hanya bergema di dalam hati. Tidak terluah
dengan kata-kata.
“Lydia, berpijaklah di
bumi nyata. You dengan Imran langsung tidak sepadan. I harap you takkan
kecewakan Imran. I have more attractive girl to him. So, don’t waste your
time!” tempelak Datin Sairabanu lagi.
Lydia terdiam. Tak mungkin mama Imran sanggup menghinanya
sedemikian rupa?
“Sorry, I have to go. So, I hope you will think about it.
Bye...”
Lydia hanya memerhati lenggang wanita yang masih kelihatan
anggun. Maklumlah wanita ternama berbanding emaknya yang hanya berada di sawah
bendang seharian.
Mengapa mama Imran beria-ia mahu dia memutuskan hubungan dengan
anaknya? Adakah hanya kerana mereka tidak setaraf? Atau mamanya malu
bermenantukan seorang gadis yang tiada apa-apa? Adakah Imran tahu tentang
pertemuan hari ini? Adakah mamanya mengetahui rahsia ku selama ini? Tak
mungkin! Imran sendiri tidak pernah mengetahuinya. Kusut! Sangat kusut!
‘Sudah tentu kami tidak akan bahagia jika mama Imran bersikap
begini. Kenapa perlu ada orang ketiga antara kami? Hubungan yang makin renggang
nampaknya memunculkan titik-titik perpisahan. Antara aku dan Imran, bagaikan
jasad dan nyawa. Tetapi andai kata kami tidak dijodohkan bersama, aku harus
redha menerimanya. Ya Allah!
Kuatkanlah semangatku untuk menghadapi saat-saat ini.’
No comments:
Post a Comment