Lydia sampai awal
di pejabat, jam di dinding baru menunjukkan angka 7.45 pagi. Sudah ada beberapa
wartawan yang sedang menyiapkan bahan berita. Namun di meja sukan, hanya
dirinya seorang sahaja yang termangu-manggu. Seorang wanita yang kelihatan
lebih tua beberapa tahun darinya memandang dengan tersenyum.
“You batch yang baru masuk, kan?” sapa wanita itu sambil
menghulur tangan untuk bersalaman.
Pantas Lydia menyambut huluran wanita bercermin mata itu sambil
mengangguk. “Saya Lydia, dari sport desk. Akak?” Giliran Lydia pula
bertanya.
“Panggil aje Kak Su. Akak dari crime desk. Biasalah, kalau
ada berita-berita adhoc, kami perlu siapkan sepantas yang mungkin. Dalam
masa yang sama, fakta perlu tepat,” balas Kak Su.
“Itu yang buatkan saya teruja Kak su.”
“Baguslah macam tu. Kerja wartawan ni seronok sebab kita jadi
perantara untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Kita berpeluang jumpa
pelbagai golongan bermula daripada kelas atasan hinggalah golongan marhain yang
tidak pernah cukup makan. Kadang-kadang emosi buatkan kita tertewas dengan
keadaan. Namun, setelah diperhalusi, setiap apa yang berlaku mesti ada sebab
musababnya. Kita sebagai manusia hendaklah berusaha untuk berjaya dan membantu
mereka yang susah,” cerita Kak Su dengan serius.
Lydia mengangguk.
“Tak apalah Lydia. Akak nak minta diri dulu. Hari ni akak off.
Akak balik dulu ya.”
“Terima kasih atas tip itu, kak,” ucap Lydia sambil melihat
lenggang wanita yang berpakaian cukup santai. Hanya dengan jeans dan kemeja
lengan panjang, cukup ringkas.
Tidak tahu apa yang harus dilakukan pada hari pertama bekerja,
Lydia lantas mengambil kerusi yang dikhaskan untuknya dan terus menekan butang
komputer. Cahaya berkilau muncul daripada skrin monitor seraya jarinya yang
runcing menekan papan keyboard menuju ke Internet Explorer. Jarinya ligat
melayari website Yahoo dan terus menyemak e-mel. Ada e-mel dari Shalin yang
menyambung pengajian Sarjana di Universiti Of Newcastle, Australia. Sahabatnya
yang satu ini tidak pernah jemu-jemu mengirimkan berita padanya.
Assalamualaikum,
Kepada sahabatku yang jauh di mata tetapi dekat di hati. Maaf
terlambat balas e-mel kerana aku baru sahaja habiskan peperiksaan yang cukup
menggerunkan sesiapa yang masih bergelar pelajar. Selepas ini, aku perlu
menyiapkan tesis pula setebal beribu-ribu lemon. Sekali fikir, rasa nak undur
diri sahaja. Tapi demi masa depan yang gemilang, akan aku gagahkan jua. Nasib
baik kau dah habis belajar, kalau tak, jadilah macam aku. Asal exam, kuiz mesti
sentiasa migrain aje.
Kau macam mana sekarang? Dah dapat kerja ke belum? Jika masih
belum, apa kata kau kerja sahaja dengan syarikat sepupu aku. Aku boleh bagi kau
jawatan eksekutif jualan. Tapi nanti pening pulak kau nak cari client. Hehehe…
aku tahu impian kau yang tak pernah padam tu. Aku akan sentiasa menyokong kau
dari jauh.
Dalam e-mel sebelum ni, kau bagitahu ada boyfriend sejak tiga
tahun lepas. Kenapa baru bagitahu aku? Tak baik berahsia dengan kawan baik tau!
Aku baru aje nak padankan dengan sepupu aku yang tak sekacak mana tapi manis
tetap ada. Tapi tak apalah, janji bila aku balik nanti, jangan lupa nak
perkenalkan pula.
Lagi satu kenapa tak perincikan pasal orangnya? Tak syoklah
macam ni. Dia kacak tak? Harap-harap dia kacak macam Rob Pattinson atau Lee Min
Ho atau paling kurang pun macam Arjun Rampal jadilah... hehe… jangan marah ya.
Hmm… Lydia, kan aku dulu ada cakap dengan kau pasal someone special in my heart. Orangnya
masih belum aku kenal. Aku cuma dengar nama dia aje dari mama. Kata mama
orangnya tinggi lampai, hitam manis, berkumis dan bersuara romantis. Dapat tak
kau bayangkan orang semacam itu? Hehe… mama kata kalau aku masih belum bertemu
pasangan hidup, dia akan jadi galang gantinya…
Tolong aku Lydia. Aku tidak ingin menjadi orang yang masih di
zaman kuno, dijodohkan oleh ibu sendiri. Tetapi, manalah tahu bila terpandang
wajahnya nanti, akan datang arjuna hati bisa meruntun dan memikat hatiku untuk
mengenalinya, seterusnya hatiku mungkin akan terpaut pada dia nanti. Jadi,
jangan berlengah lagi, bak kata iklan dapatkan sementara stok masih ada.
Dah lama aku merapu. Aku stop
dululah. Tak lama lagi aku nak balik Malaysia. Aku ingin bercerita dan
bercerita dengan kau sampai mata aku terlena dengan sendirinya.
Salam sayang dari sahabatmu, Shalin.
‘Shalin, Shalin… tak habis-habis kerenah yang mencuit hati.’
Hatinya berbisik sendiri. Dia tersenyum mengenangkan sikap kawannya yang tidak
pernah berubah. Suka mengusik hingga dirinya juga terikut sama dengan rentak
anak tunggal nan satu itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab Lydia. Seorang wanita lebih kurang sebaya
dengannya berdiri di hadapannya dengan sekeping kertas di tangan.
“Baru sampai… Rita,” sapa Lydia sambil melemparkan senyum paling
manis di pagi hari. Rita juga seperti dirinya, masih bergelar junior
reporter cuma Rita masuk lebih awal dua bulan daripadanya.
“H’ah… Cik reporter sampai awal ya?” Terus Rita melabuhkan
punggung di kerusi berwarna ungu. “Dah makan belum?”
“Belum... Sorang-sorang seganlah. Jom ke café sama-sama,” ajak
Lydia sambil meraih lengan Rita.
Mereka berdua menuju ke café yang terletak di tingkat paling
bawah. Akhbar Malaysia Harian masih setahun jagung. Belum memiliki bangunan
sendiri lagi. Perlu berkongsi dengan lain-lain syarikat.
Sememangnya Lydia kagum
dengan bangsa Melayu yang rajin berusaha. Rezeki tidak akan datang bergolek
tanpa kerja keras.
Mereka berdua terus ke kaunter café untuk melihat menu yang ada.
Tidak ada yang menarik. Nasi lemak, meehon goreng, kuih-muih, sandwich dan ada
yang lebih berat sedikit lontong. Takkanlah pagi-pagi macam ni nak makan
lontong pula?
Lydia termangu-mangu. Tidak tahu apa yang harus dipilih. Akhirnya
dia memilih nasi lemak. Kemudian mereka mengambil lokasi yang agak jauh sedikit
daripada pandangan orang.
“Awal sampai hari ni?” tanya Rita sambil menyuap meehon goreng.
“Aku duduk di Sungai Buloh. Pejabat kita di Bangsar. Jadi
terpaksa menapak dengan komuter. Kemudian naik LRT Putra barulah bas perantara.
Aku keluar selepas solat subuh, jadi sampailah awal. Aku kan baru kerja. Aku
belum mampu pakai kereta,” jawab Lydia sambil menghirup Milo panas.
“Hai, takkan boyfriend tak hantar?” tanya Rita dengan nada
mengusik, walaupun sebenarnya dia hanya serkap jarang.
“Mana kau tahu aku ada boyfriend ke tak?” Lydia juga turut
mengusik rakan yang baru dikenalinya.
“Takkan tak ada. Lainlah aku yang tak berapa nak lawa ni.”
Hendak tersedak Lydia mendengar omelan Rita. Terus di tahan
dengan tisu yang disapu sekeliling bibirnya yang basah.
“Rita, kau ni boleh
masuk Raja Lawak, kan?” Dia tersenyum. “Pakwe aku tinggal di Bukit
Antarabangsa. Dia kerja kat Ampang. Aku tak mahu susahkan dia. Lagipun dari
dulu aku suka berdikari tanpa harapkan orang lain.”
Rita tersenyum. Pinggannya sudah kosong. “Aku tinggal di aparmen
Kerinci. Tiga bilik, dua bilik air lengkap dengan lif. Rumah mak cik aku. Sewa
tak mahal sebab dia lagi percayakan anak buahnya daripada orang lain.
Menariknya fully furnished. Apa kata kau duduk aje dengan aku. Lagipun
aku duduk sorang aje. Rumah kecil tapi selesalah untuk kita berdua.”
Lydia berfikir sambil mulutnya mengunyah karipap. Idea Rita yang
mengajaknya untuk tinggal bersama memang menarik. Lagi pula dengan kerja yang
tidak menentu, faktor rumah yang jauh hanya akan menyusahkan dirinya juga.
“Bagus juga. Jadi bolehlah kita datang kerja sama-sama. Tak
adalah aku keseorangan naik LRT nanti.”
“Tak payah naik LRT, aku ada kereta,” ujar Rita sambil
memusingkan kunci kereta di jarinya. “Myvi abang aku. Dia pakai kereta lain.
Aku cuma sambung bayar bank aje.”
Lydia tersenyum. Rezeki masing-masing. Rita memang beruntung. Walaupun datang dari keluarga sederhana, tetapi disebabkan Rita anak bongsu, tentunya mendapat kelebihan berbanding abang dan kakaknya. Paling penting, dirinya juga beruntung menumpang
No comments:
Post a Comment