Lydia merenung buat
kali kedua bangunan yang berdiri megah di depannya. Walau tidak seindah
bangunan pucuk rebung Telekom atau segah Menara Kuala Lumpur, namun bangunan
ini antara yang menjadi nadi ibu negara tercinta ini. Agak kuno struktur
binaannya, tetapi di sinilah akan menentukan titik permulaan kerjayanya. Karier
sebagai seorang wartawan akhbar harian. Impiannya sejak sekian lama.
Dia melintasi pintu masuk, melihat sekeliling dan terus menghala
ke lif yang memuatkan beberapa orang yang juga ingin ke tingkat atas.
Ditekannya tingkat 13 seperti yang tertera di kertas yang
dipegangnya. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, dia meneruskan langkah dengan
penuh keyakinan.
‘Inilah yang aku impikan selama ini. Jangan berpatah balik,
Lydia. Kau boleh lakukannya. Buktikan!’ Suara hatinya memberi kata-kata
semangat dan perangsang.
“Saya nak jumpa ketua pengarang,” ujarnya pada penyambut tetamu
yang cukup manis orangnya.
“Sekejap ya.” Gadis berambut pendek separas bahu mendail nombor
sambungan.
Lydia mengambil peluang melihat sekeliling ruang tamu. Terpapar
beberapa berita yang menjadi santapan harian rakyat Malaysia.
‘Sungguh indah jika nama aku bakal terpahat di muka depan nanti.
Ah! Jangan beranganlah! Kerja bagai nak rak pun, belum tentu berita aku akan
terpampang di muka depan surat khabar.’
Bagi seorang wartawan akhbar harian, jika berita yang ditulisnya
berada di muka hadapan, itulah bonus yang amat istimewa. Biar terpaksa
bersengkang mata menyiapkan tugasan atau terpaksa bermalam di hutan, itulah
saat bermakna dengan pelbagai pujian menyatakan ‘well, you did good job,
congratulation.”
“Cik Lydia boleh masuk,” sapa seorang lagi gadis yang juga
mungkin sebaya dengan Lydia. Dia mengenakan sut lengkap kelabu dan berambut
pendek separas bahu. Cantik, tentu dialah setiausaha Encik Ridzuwan. Pandai
bakal ketua aku memilih setiausaha. Tidak jemu mata memandang. Jika selalu
dilanda kekusutan, memandangnya sahaja menyejukkan sahaja perasaan. ‘Eh! Jauh
sungguh aku mengelamun!’ marah Lydia pada dirinya sendiri.
Sempat juga dia menoleh ke kiri dan kanan. Melihat kesibukan
beberapa wartawan yang sedang menyiapkan tugasan. Juga beberapa orang yang leka
mengetuk komputer. Semuanya berjalan dengan pantas dan sempurna sekali.
‘Dapatkah aku bekerja dalam suasana yang pantas begini?
Kuatkanlah hatiku untuk menghadapinya.’
Perempuan itu membuka pintu bilik. Seorang lelaki yang sedang
sibuk di mejanya mengangkat muka. Agak berusia dengan rambutnya dipenuhi uban
yang memutih menandakan kematangan dirinya. Memang ada tokoh sebagai ketua
pengarang. Dia hanya melemparkan senyum pendek.
“Duduk,” arah lelaki itu sambil tersenyum. “Lydia Taufiq?”
“Ya, saya.”
“Jadi, awak yang berjaya dalam temu duga hari tu ya?” tanya
lelaki berkumis lebat ini. “Apa pendapat awak mengenai surat khabar ini?”
‘Hari tu dia dah tanya soalan yang sama. Takkan nak kena jawab
lagi? Tak apa, aku mesti bertenang dan menjawab sebaik mungkin.’
“Pada pendapat saya, akhbar Malaysia Harian sentiasa segar dalam
usaha untuk tampil dengan isu yang bernas serta padat. Sekali gus mampu menarik
minat pelbagai bangsa untuk menyelak daripada muka surat pertama hinggalah muka
surat yang terakhir. Walaupun ia hanya berusia dua tahun berbanding akhbar mainstream
yang lain, saya percaya akhbar ini mampu pergi lebih jauh. Bukan sahaja
daripada segi jualan malahan mampu menambat hati pengeluar iklan.”
Belum sempat dia berfikir panjang, Encik Ridzuwan menyambung
“Terima kasih atas pendapat ikhlas saudari…”
“Lydia.” Pantas Lydia menyambung.
“Ya! Lydia. Sebenarnya saya dah tengok resume dan
portfolio awak. Memandangkan awak mempunyai kecenderungan dalam sukan, jadi
saya akan hantar awak ke bahagian sukan. Sebenarnya tidak ramai wanita yang
berada di sana. Jadi awak perlu sahut cabaran ini untuk membuktikan kaum hawa
juga mampu mengendalikan tugas yang mencabar tenaga fizikal dan mental,” jelas
lelaki itu lagi.
“Sebenarnya Encik Ridzuwan, saya tidak mahu membuktikan apa-apa.
Saya sekadar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin. Tidak
ada pertikaian hak antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling membantu
antara satu sama lain. Tanpa kedua-dua insan bergelar lelaki dan wanita, tidak
akan sempurna sesebuah akhbar tersebut,” ujarnya lagi.
Encik Ridzuwan tersenyum. Wartawan baru memang semangatnya
berkobar-kobar. Itulah yang diperlukan untuk mendapat berita terbaik.
“Lydia, awak belum tahu lagi sepak terajang dunia kewartawanan
yang sebenarnya. Yang dilalui ketika praktikal hanyalah sesudu jerih perih
untuk mendapatkan bahan berita. Banyak lagi yang awak perlu lalui untuk
mematangkan kehidupan bergelar seorang wartawan. Walau apapun, saya tetap
mengucapkan selamat bertugas untuk wartawan wanita yang mempunyai semangat
juang seperti awak. Sekejap, saya akan panggilkan setiausaha saya.” Encik
Ridzuwan menekan interkom. “Linda, masuk.”
Seketika, kedengaran ketukan di pintu. Linda muncul dengan
senyuman manis yang bersahaja.
“Perkenalkan dia kepada kakitangan yang lain”
“Baik, bos.”
Linda mengiringi Lydia keluar. Hatinya berbunga-bunga. ‘Impian
aku akan terlaksana. Tidak lama lagi tulisanku akan terpampang di muka belakang
akhbar Malaysia Harian dengan tajuk besar.’
“Tok Gajah ketepikan merah kuning.” Wah! Hebat sungguh tajuk
belum masuk lagi isi ceritanya… Dia berangan-angan.
No comments:
Post a Comment