Wednesday, 11 June 2014

Bab 23





2011, Kuala Lumpur
Lydia!” Segala gambaran peristiwa di minda Lydia hilang. Dialihkan pandangan ke arah suara yang cukup dirinduinya.

“Maaf, Im lambat. Tapi, nampaknya tuan puteri kita tengah khusyuk berkhayal… Ingatkan siapa ni?” kata Imran dengan suara lembut.

Imran melihat sekeliling Restoran Seri Saloma. Restoran itu lengang. Maklumlah jam sudah menunjukkan 3.00 petang. Hanya dia yang lambat kerana terpaksa menyiapkan kerja.

“Yalah... Im lambat sangat sampai Lydia sempat teringat detik-detik perkenalan kita masa di USM dulu. Diam tak diam, dah hampir empat tahun, kan? Lydia pun dah nak mula kerja. Tapi, sayangnya meninggalkan alam belajar, USM yang damai dan segala-galanya.” Lydia menatap wajah kekasih hatinya dengan penuh kasih sayang.

“Ingat senang ke Im nak pikat Lydia dulu? Bukan main susah! Berbulan-bulan juga Im cuba macam-macam cara tahu tak?” Imran menyampuk, sekadar mengingatkan Lydia tentang perkenalan mereka satu ketika dulu.

“Alahai, takkanlah marah macam tu sekali? Im kan hero kat USM dulu…” Giliran Lydia pula memulangkan paku buah keras.

Imran hanya tersenyum. Dia memandang penuh kasih buah hatinya yang tidak habis-habis menegakkan benang yang basah. 
“Memang hero tapi bila bab Lydia, rasa tercabar tetap ada. Susah betul nak dapat perhatian. Tapi perempuan ni macam kerak nasi. Lama-lama lembut juga.”

Lydia tergelak mendengar bebelan Imran. Memang benar, sebelum Imran hadir dalam hidup, hatinya tertutup untuk bercinta. Dia lebih selesa sekadar berkawan sahaja. Namun, Imran cukup berbeza. Seakan ada satu tarikan yang cukup kuat antara mereka berdua. Biarpun ada kisah silam yang menyebabkan dia membenci lelaki, tetapi Imran membuka pintu hatinya untuk menerima kembali lelaki dalam hidupnya.

“Lydia!”

Lydia tersentak. Imran menjengilkan matanya. Argh! Sekali lagi dia berkhayal rupanya.

“Ingatkan siapa tu? Im kan dah ada kat depan ni,” bebel Imran sambil mengerutkan dahinya.

“Risau nak mulakan kerja esok…”dalih Lydia.

“Sayang… janganlah risau sangat.” Suara Imran sambil merenung mata Lydia dengan pandangan yang penuh kasih. “Kerja kat mana-mana pun sama aje. Sekarang adalah masa untuk Lydia mantapkan kerjaya, kumpul wang dan bantu keluarga. Jadi Lydia mesti tekad meninggalkan alam yang tiada masalah itu.”

Imran pasti Lydia sudah bersedia menempuh alam pekerjaan. Dia mengambil menu di meja dan menempah nasi goreng pattaya untuk makan tengah harinya. “Lydia nak apa?” tanyanya pada Lydia yang terus mengangguk mengatakan menu yang sama untuk dirinya juga.

“Paling penting, Lydia sudah pun berjaya mengharungi temu duga yang susah itu. Apa yang Im nak panggil ya? Cute reporter?” usik Imran lagi.

Lydia terus mencubit lengan kekasih hatinya itu.

Imran terjerit kesakitan sambil tersengih.

Lydia tersenyum. “Alhamdulillah... Lydia pun tak sangka akan dapat jawatan tu sebab yang datang bukan calang-calang orang. Ada yang dah ada pengalaman bekerja di bidang penyiaran dan surat khabar utama. Pandangan pertama rasanya memang tak dapatlah. Tapi tengoklah keputusannya.”

“Im tahu Lydia boleh buat, sayang. Tapi jangan lupa orang di sini pula. Dah jadi reporter, sibuk memanjanglah nanti. Maklumlah... dikelilingi artis popular, lagilah kita diketepikan…” rajuk Imran lagi. Terasa bimbang juga dengan kekasih hati yang akan bertemu macam-macam ragam manusia di medium berbeza.

“Im, Lydia belum tahu lagilah desk apa. Jangan nak merapu!” marah Lydia dengan usikan Imran.  “Walau bekerja dengan menteri sekalipun, takkan nak lupa Senior Imran yang garang ni.” Lydia tersenyum sumbing. Tidak dinafikan yang Imran agak cemburu orangnya. Tetapi tidaklah sampai memalukannya di khalayak ramai.

“Amboi-amboi, sejak bila pula tuan puteri pandai menggiat beta?” Spontan Imran bertanya.

“Lydia, Im ada sesuatu nak cakap.” Imran bersuara perlahan sambil memandang gadis kesayangannya.

Suapan Lydia terhenti. Seperti dapat mengagak apa yang mahu diperkatakan Imran. Persoalan kahwin pasti menjadi topik utama. Saat ini dia perlu bijak menjawab penuh hemah agar tidak mengguris hati yang begitu mengharapkannya.

 “Lydia tahu kan mama selalu tanya hubungan kita. Sampai Im tak tahu nak cakap apa. Sudah puas berdalih, tapi mama nak juga kenal gadis yang mengisi hati anak lelakinya ini,” desak Imran lagi. Datin Sairabanu, wanita pertama yang disayanginya. Lydia adalah gadis pertama mengisi hatinya. Tetapi kedua-duanya langsung tidak memberinya peluang untuk membuat keputusan sendiri.

“Im, kita dah cakap lebih awal, kan? Lydia baru dapat kerja. Tolong bagi masa ya!” kata Lydia. Dia tidak senang dengan desakan tersebut. Akhir-akhir ini, topik kahwin sentiasa mengisi perbualan mereka. Hingga kadang-kadang terpaksa dia meninggikan suara pada kekasih hati. Bukannya dia tidak mahu, tetapi dia masih belum bersedia. Susah sangat kah untuk memberinya masa?

“Okey...” Sayu sahaja suara Imran.

Lydia tahu, dia perlu tegas. Perkahwinan bukanlah dalam senarai utama. Masih banyak perkara yang perlu dilakukannya. Walaupun dia tahu Imran tidak akan berputus asa, namun itulah doa yang sentiasa dipanjat agar Imran memahami dirinya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...