1998, di daerah terpencil di Kota Bharu.
|
Mak… Syirah pergi
dulu,” kata Insyirah sambil menyarung kasut sekolahnya. Selepas menyalami
tangan emaknya, dia melangkah ke basikal buruknya.
“Baik-baik, nak. Tengok kiri kanan, sebelum lintas jalan!” sempat
Fatimah melaung.
Insyirah mengangguk. Cepat-cepat dia mengayuh basikalnya.
Perjalanan sejauh lima kilometer tidak terasa penatnya dek kerana kepantasannya
mengayuh untuk sampai ke destinasi ilmu.
Jarum jam usang pemberian kawannya di tangan, menunjukkan angka
7.45 pagi. Dia sudah terlambat 15 minit. Dari jauh kelihatan beberapa orang
pengawas dengan muka garang sudah tercegat di pintu pagar sekolah menantikan
pelajar yang lambat datang. ‘Memang pengawas-pengawas dilahirkan dengan muka
yang kurang kasih sayang ke?’ rungut hatinya.
“Hei, budak! Sini!” jerit pengawas perempuan yang bertocang dua
ke arah Insyirah.
Perlahan-lahan Insyirah menarik basikalnya menghampiri pengawas
itu. Dia sudah bersedia menerima sebarang hukuman. Memang dia bersalah kerana
datang lambat.
“Cuba tengok jam, kau? Pukul berapa sekarang?” arahnya lagi
dengan nada sombong.
“7.52.” Pendek sahaja Insyirah menjawab.
“Habis tu? Kenapa kau tak datang awal?” jerkahnya dengan kuat
membuatkan pengawas-pengawas lain menoleh ke arah mereka berdua.
“Minta maaf. Saya ada hal
kecemasan di rumah tadi. Adik saya demam. Saya terpaksa bawa dia ke klinik
terlebih dahulu.” Insyirah hanya menunduk, malu dengan pandangan pelajar lain.
“Betul ke? Atau kau sekadar nak selamatkan diri?”
Insyirah tersentak. Dituduh penipu adalah tohmahan yang pedih
sekali. “Saya cakap benda yang betul.” Dia mengigit bibir, menahan marah.
“Oh! Ingat kau buat muka kesian… aku boleh lepaskan macam tu
aje?” Pengawas perempuan yang di tag namanya tertulis Zarina itu merenung
Insyirah dari atas ke bawah.
Insyirah sedaya upaya cuba menyorokkan kasut kiri yang berlubang
di bahagian depan, di belakang kasut kanannya, namun disambut senyuman sinis
dari Zarina.
“Lupa kapur kasut ya?”
Aduh! Lenggok bahasa sarkastik yang dituturkan Zarina menyentap
tangkai jantung Insyirah. Dia hanya mampu menunduk wajah dan menangis di dalam
hati.
“Eh! Aku kalau kasut kotor
sikit pun, aku dah suruh mak aku beli yang baru,” sampuk Atirah, rakan sekelas
Insyirah. “Inikan pula kasut berlubang. Tak naklah pakai. Buat malu aje!”
Insyirah hanya diam.
“Kata pelajar cemerlang. Kesayangan cikgu konon… Habis tu hadiah
yang dapat tu tak boleh beli kasut baru ke?” Atirah masih mengomel.
Zarina hanya mengangguk
tanda setuju. “Eh! Tak baik kau cakap macam tu. Lubang kat kasut tu bagi aliran
udara masuk. Maklumlah cuaca kat Malaysia kan panas,” perlinya sambil tersenyum
sinis.
“Kalau aku…”
“Dah, kau jangan nak buat lawak ya.” Zarina memandang Insyirah
dengan tajam. “Sekarang, sila bagitahu nama dan kelas awak!”
“Ina!” Belum sempat Insyirah memberitahu namanya, seorang
pengawas lelaki menghampiri mereka bertiga. Terkocoh-kocoh lelaki itu berlari ke
arah mereka. “Saya dapat laporan daripada pengawas lain, berlaku kekecohan di
sini. Apa lagi yang belum selesai?” tanya ketua pengawas, Tajul Arifin.
Zarina menoleh ke kiri dan kanan. Dia baru menyedari hanya dia,
Atirah dan Insyirah sahaja berada di situ. Pengawas yang lain sudah menghilangkan
diri.
“Dah dia datang lambat!” balas Zarina acuh tidak acuh.
“Tapi dari jauh lagi saya lihat ada sesuatu yang tak kena. Macam
bergaduh atau pun membuli?”
Zarina membuntangkan matanya. “Habis tu, kau nak suruh aku buat
macam mana?” marahnya.
Tajul menggeleng. “Bila seorang pengawas membuat onar, nanti
pengawas yang lain terpalit sama. Pelajar akan ingat kita tak ada
perikemanusiaan.” Tenang sahaja kata-kata yang keluar daripada lelaki yang
berlesung pipit di kiri itu.
Insyirah hanya mematung di situ.
“Dan kamu Atirah… pastikan
kamu ada alasan yang kukuh bagi menjelaskan kenapa kamu berada di sini.
Sepatutnya kamu bertugas di pintu pagar belakang sekolah, kan?” tegur Tajul.
Zarina dan Athirah terdiam. Muka mereka sudah merah padam.
“Sila tulis laporan masing-masing di bilik pengawas. Saya akan check
sekejap lagi. Kes ini biar saya selesaikan,” kata Tajul lagi.
Zarina dan Athirah mengangguk. Mereka segera melangkah pergi.
Insyirah hanya mengerling kedua-dua pengawas yang melangkah pergi
dengan muka tidak puas hati. Dia lega seketika. Namun, di depannya sekarang
orang yang paling penting di sekolah. Selesai masalah disindir, namun masalah
asas masih belum selesai. Malahan kini namanya akan dicatit pula oleh pelajar
harapan, seperti dia melakukan kesalahan yang sangat besar. Namun dari apa yang
didengarinya, Tajul Arifin seorang pengawas yang cukup berhemah tinggi dan
disukai kerana kredibiliti yang ditonjolkan olehnya.
“Nama dan kelas?” tanya Tajul.
“Insyirah dari 5 Agresif.”
“Awak sampai pukul berapa tadi?”
“7.52 pagi. Maaf, saya ada kecemasan di rumah,” jawab Insyirah.
Tajul membelek-belek buku tugasan di tangannya. Dahinya berkerut
seolah-olah sedang memikirkan sesuatu “Saya belum pernah nampak awak sebelum
ini. Ini kesalahan pertama awak ke?” tanyanya lagi.
Insyirah hanya mengangguk.
“Hal kecemasan apa ya? Boleh saya tahu?” tanya Tajul Arifin lagi.
Sempat dia mencuri pandang ke arah kasut milik pelajar naif di hadapannya ini.
Bila melihat Insyirah tidak selesa, dia melihat buku notanya kembali.
“Adik saya demam. Saya minta maaf,” jelas Insyirah.
Tajul mengangguk. “Memandangkan ini kesalahan awak yang pertama,
saya lepaskan dengan syarat…”
Insyirah berasa cuak. Apa lagi hukuman yang harus dijalaninya?
“Syaratnya mudah. Jika awak
terpaksa menghadapi mereka berdua lagi, bagitahu saya secepat yang mungkin ya.”
Insyirah terkejut mendengar kata-kata Tajul. Memang benar, Tajul
seorang yang mengikut akal fikiran, bukannya emosi.
“Terima kasih.” Insyirah tersenyum mesra dan terus berlalu ke
kelasnya.
No comments:
Post a Comment