esok hari terakhir
mereka menamatkan kembara Kepimpinan Desasiswa Cahaya Permai. Hati Lydia
bersorak girang. Malam ini, setiap kumpulan perlu membuat persembahan
kebudayaan sebagai acara penutup.
Kumpulan mereka bersepakat untuk mengadakan persembahan dikir
barat sebagai penutup persembahan. Lagi pula ia cukup senang dan tidak perlu
terlalu banyak berlatih. Hanya pastikan lenggok gaya mereka serentak dan juga
hafal lirik lagu.
“Kita jangan cari pasal Lydia. Kita di sini cuma nak berhibur.
Bukan cari gaduh dengan sesiapa pun,” tegur Ziha perlahan agar tidak didengari
oleh ahli kumpulan lain.
“Apa yang kau cakap ni?” Lydia rasa berdebar-debar. Adakah
rancangannya diketahui?
“Aku tahu kau ubah suai lirik lagu tu. Kau masukkan unsur
sindiran kepada lelaki hidung belang. Walaupun secara berseloroh, ia memang
tidak elok untuk menyindir sesiapa pun.”
“Helo… Aku taulah yang mana sensitif, yang mana tak. Nama pun
hiburan, bukannya persendakan sesiapa pun. Kita cuma sebutnya secara umum.
Takkan itu pun salah?” jawab Lydia tegas. Sedikit kesal kerana bodoh dalam
membuat percaturan. Bukankah lagi bagus membalas dendam tanpa membabitkan ahli
kumpulan?
“Aku tahu pada siapa kau tujukan lagu ini.” Ziha melirik tajam ke
arah Lydia. “Kau berdendam dengan dia, kan?”
Kata-kata Ziha benar-benar mencabar kesabaran Lydia. Sudahlah
Imran tidak habis-habis mengenakannya. Sahabat baiknya kini langsung tidak
menyebelahi keputusannya. “Ziha, ini bukan soal dendam. Aku sekadar nak
ingatkan lelaki supaya tidak permainkan perasaan wanita.”
“Tidak! Kau akan nyanyikan lirik kita yang asal. Apa nak jadi,
jadilah!” jawab Ziha tegas.
“Kenapa bertekak di sini?” marah Imran yang tiba-tiba muncul.
Kenapa dia sentiasa ada di mana-mana? “Giliran kumpulan kamu selepas ini tapi
masih ada masa bergaduh sesama sendiri?” dengusnya kasar.
Ahli kumpulan yang lain hanya terdiam. Tidak menyangka Imran
mencampuri urusan mereka berdua.
“Maafkan kami.” Akhirnya Ziha bersuara.
Lydia tetap membisu. Benci dengan sikap Imran yang mahu
menunjuk-nunjuk kuasanya.
“Dahlah, teruskan persembahan
kamu. Walaupun ini bukan pertandingan, jangan ambil remeh. Kamu semua dipilih
ke sini sebab kami percaya kamu mampu untuk mengambil alih kepimpinan kami nanti!”
tegasnya lagi. Suaranya juga mula kendur lalu terus menuju ke bawah pentas.
Ziha dan Lydia hanya
berpandangan sesama sendiri.
_____________________________
“Maafkan aku, Lydia.” Ziha menghulurkan tangannya. “Aku tak ada
niat nak bergaduh dengan kau tadi.”
Lydia tergamam. Bodoh betul dirinya. Hanya kerana sebuah lirik,
sanggup dia bertekak dengan kawan baiknya? “Aku pun minta maaf.” Huluran
disambut. “Aku tak sepatutnya bertindak bodoh.”
Mereka kembali menyaksikan persembahan Exco.
Lydia mencari-cari kelibat Imran. Walaupun tidak menyukai Imran,
tetapi hati kecilnya tetap mendesak untuk mengetahui perkembangan lelaki itu.
Di mana dia sekarang ya? Sedang cuba mengorat awek yang lain ke?
Pencariannya berjaya. Imran sedang tekun meneliti helaian demi
helaian kertas di atas mejanya bersama Exco yang tidak membuat persembahan.
Tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Lydia terkhayal seketika.
Satu perasaan indah dapat dirasakan dalam setiap urat nadi yang
berdenyut-denyut di tubuhnya sekarang.
Imran melemparkan senyuman, lalu meneruskan perbincangan dengan
rakan-rakannya.
‘Aneh! Gelojak apakah yang mengalir ke segala sendi-sendi dan
tulang rusukku kini? Adakah itu panahan cinta yang tulus dan suci seperti yang
diperkatakan Laila dan Majnun? Tiba-tiba dia teringatkan buku kisah cinta di
zaman kanak-kanak yang masih tersimpan rapi sebagai koleksi.
‘Ah! Menyesalnya aku tengok dia tadi. Bagaimana dia boleh melihat
aku sedangkan aku berada di antara puluhan pelajar lain? Bertentang mata pula
tu? Sudah tentu dia menyangka aku meminatinya kerana kami sempat bertentangan
mata buat beberapa saat. Aneh! Dia memberi senyuman yang cukup mahal sebelum
ini. Apa yang berlaku? Keajaiban apa hingga meruntun hatiku untuk terus
mengingati dirinya?’
Sekali lagi Lydia mengangkat mukanya sambil mencari kelibat
Imran, namun gagal kerana Imran sudah menghilangkan dirinya. Ke mana dia pergi
agaknya?
“Testing... testing… 1, 2, 3…” Rupa-rupanya Imran sudah
berada di pentas.
Hati Lydia berasa cuak. Adakah Imran akan memalukannya sekali
lagi? Adakah lelaki itu tahu punca pergaduhan dengan Ziha tadi? Hatinya makin
tidak keruan, menyesal kerana bersungguh-sungguh untuk mengikuti perkhemahan
ini. Jika dia tidak berdegil, sudah tentu segala perkara ini tidak berlaku.
Perasaan indah ini pula? Dia sendiri juga tidak menyukainya!
“Assalamualaikum... Saya mewakili Exco Desasiswa Cahaya Permai
USM amat bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik semua. Semangat
tidak putus asa menghadapi segala cabaran dalam kembara kepimpinan kali ini
harus dipuji. Terus terang saya katakan, semangat dan tekad kamu semua
menjalani cabaran, membuatkan kami percaya bahawa kamu adalah pilihan paling
tepat sebagai pemimpin pelapis di masa depan.”
Kata-kata Imran disambut dengan tepukan gemuruh.
“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, namun kau orang tetap
cekal. Ada yang terpaksa memikul batu setelah telur mereka dirampas juga harus
diberi pujian. Walau amanah berupa telur telah musnah, namun berkat kesabaran
dan usaha yang bersungguh-sungguh memikul batu yang berat itu, menyentuh hati
kami semua. Ada peserta yang takut meniti tali gantung dan sebagainya. Ada yang
masak daging hangit sedikit. Tetapi itu sebenarnya adalah pengalaman yang
paling indah buat anda semua satu hari nanti.
“Mungkin hari ini anda akan marah kepada kami, yang dikatakan
bersikap zalim, kejam dan kasar. Tapi percayalah ia untuk kebaikan anda satu
hari nanti. Niat kami baik. Mahu menjadikan anda pemimpin pelapis yang dapat
mencorakkan generasi seterusnya dengan lebih baik.” Sekali lagi ucapan Imran
mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.
Hati Lydia tercuit.
‘Daging hangit dan titian gantung nampaknya ditujukan kepada aku seorang. Kau
memang tak habis-habis kan Imran!’
“Saya akhiri dengan memohon ribuan kemaafan jika ada peserta yang
terasa hati dengan tindakan saya dan juga exco yang lain. Abang-abang dan
kakak-kakak di sini tak bermaksud untuk menganiaya anda. Tetapi memberi
pengajaran yang cukup berguna buat anda semua. Setelah berbincang, kami ingin
mewujudkan satu lagi anugerah iaitu peserta paling sporting.”
Semua pelajar terdiam seketika.
“Peserta paling sporting bermaksud… walau dia mendapat
kritikan dan dimarah, dia cukup sporting dan menerimanya dengan hati
yang tabah. Dia tak marah atau berdendam. Jadi, peserta paling sporting
jatuh kepada…”
Senior-senior lain bertepuk tangan sebagai muzik iringan. Imran
tersengih memandang kesemua anak buahnya. Pandangannya jatuh pada Lydia yang
leka membelek kukunya.
“Lydia Taufiq.” Suara itu bergema sekali lagi diiringi tepukan
semua peserta.
Liza, Ziha dan Yati
mencuit-cuit Lydia yang masih tidak percaya namanya diumumkan. Dengan berat
hati, dia terpaksa mengagahkan diri untuk bangun lalu menuju ke pentas.
Imran sudah bersedia dengan sebuah hamper bersama senyuman yang
cukup menawan. Bagi Lydia, senyuman itu bagai satu sindiran yang cukup sinis
kepadanya. Dengan senyum yang dipaksa, Lydia menyambut hadiah tersebut. Dia
terpaksa kaku seketika kerana aksi mereka dirakamkan oleh beberapa kamera.
Bertalu-talu percikan flash mengenai mereka berdua.
Kemudian dia turun dari pentas dan terus menuju ke tempat
duduknya.
“Aku percaya yang Senior Imran benar-benar menaruh hati kepada
kau,” bisik Ziha di telinganya walaupun dipenuhi dengan sorakan peserta yang
kegembiraan kerana esok mereka akan kembali ke kampus di Pulau Pinang.
Lydia melihat hadiah yang baru dimenanginya. Pandangannya beralih
ke pentas yang dimonopoli oleh para senior yang menyanyi lagu rasmi Desasiswa
Cahaya Permai. Takdir ternyata menemukan kembali dengan Imran yang sedang asyik
merenungnya.
Sekali lagi mata mereka bertentangan. Terasa jantungnya
dirobek-robek membuatkan hatinya tidak keruan.
‘Benarkan Imran mencintaiku seperti yang dikatakan Ziha sebentar
tadi? Dan aku sendiri? Bagaimana dengan pendirianku yang tidak mahu bercinta?
Bukankah semua lelaki hipokrit?’ Lydia buntu. Dia hanya mampu mengeluh.
No comments:
Post a Comment