Angin yang berhembus
lembut tidak mampu memujuk hati yang geram. Masih terbayang kenangan yang
menyakitkan hatinya semalam. Di dalam jadual, sepatutnya Senior Danial yang
menemani mereka berkawal. Namun, tidak semena-mena, Senior Imran pula
menggantikan tugas Senior Danial.
Rasa bengang, geram bersilih ganti di benaknya. Ikutkan hati,
mahu saja dia menarik diri daripada tugasan tersebut. Biar sahaja Liza yang
cukup meminati Senior Imran mengambil alih tugasnya. Dia tidak mahu memandang
muka yang telah mengherdiknya pagi tadi.
“Ehem… ehem”
Lydia segera berpaling ke arah suara itu. Ziha yang sedang
memegang pinggan sedang merenungnya dengan pandangan yang aneh.
“Kenapa kau tengok aku macam tu?”
Ziha tidak membalas pertanyaannya. Dia hanya menunjukkan jari
telunjuknya ke arah kawah kari dagingnya.
Lydia terus melihat ke
arah kawah itu. Hanya daging yang kering sahaja sedang dikacaunya. “Ya Allah! Macam mana boleh lupa letak
santan ni? Matilah aku…” Cepat-cepat dia
mengambil santan segera lalu dituangnya ke dalam kawah tersebut.
Ziha turut mengambil senduk panjang untuk mengacau kari itu.
“Terima kasih, Ziha. Kalau kau tak ada tadi, dah tentu kita cuma
berlaukkan telur masin, sayur campur dengan sambal saja.”
“Tak ada apa-apalah, Lydia. Nasib baik selamat. Kalau tak, teruklah
grup kita. Nasi dan lauk lain dah masak. Kita tunggu kari daging ni aje okey!”
balas Ziha sambil menyusun bekas yang berterabur. “Jangan lupa. Lepas asar
nanti, kita ada hiking tau.”
“Hiking?” Lydia mengerutkan dahinya. Istilah hiking digunakan
untuk mendaki bukit dan merentasi segala onak dan duri dalam belukar bagi
menguji ketahanan fizikal dan mental. Penggembaraan berjalan kaki ini biasanya
dilakukan di tempat yang mempunyai persekitaran semula jadi seperti
gunung-ganang atau tanah indah lain.
Bukan dia tidak menggemari aktiviti ini. Tapi mengenangkan mereka
terpaksa berdepan dengan binatang merayap seperti lintah atau ular yang
melingkari pokok yang sewarna dengannya, membuatkan dia rasa geli geleman.
Serta merta bulu roma tegak berdiri mengenangkan habitat semula jadi hutan itu.
Tapi apa nak buat, terpaksalah diharung segala cabaran kerana dia dan
teman-teman terpilih untuk menjadi pelapis pemimpin yang sedia ada.
Pemimpin? Dia hanya mencebik setelah melihat kelibat Senior Imran
melintasi bersama beberapa senior yang lain. Ketika minggu orientasi, Senior
Imran tidak terlalu garang. Mungkin kerana terlalu ramai pelajar tahun satu
yang mendaftar. Tetapi kali ini terserlah sikap hipokritnya.
‘Kau ingat kau boleh kenakan aku ya? Tunggu masa yang sesuai
nanti, aku akan belasah kau cukup-cukup.’ Lydia hanya berbicara dalam hati
sambil tangannya terus ligat mengacau kari daging dalam kawah besar.
___________________________________
“Tak boleh! Saya gayat!” jerit Lydia. Dia memandang ke bawah.
Apabila melihat sungai yang berada kira-kira 200 meter ketinggiannya, dia
terasa gayat lagi. Dia cuba mengingati ilmu yang dipelajari dahulu. Jangan
panik, jangan sesekali menoleh ke bawah. Pandang sahaja ke depan dan teruskan
perjalanan anda. Dia mencuba petua tersebut, namun kepalanya mulai pening. Kini
hanya dia seorang sahaja berada di situ sedangkan peserta lain sudah berlalu meninggalkan
perjalanan berkumpulan seramai sepuluh orang.
Senior Imran yang juga berada di situ mula bercekak pinggang.
Entah kenapa darahnya menyirap melihat kerenah freshie yang satu ini.
Hendak dikatakan penakut, rasanya tadi dalam acara memanjat bukit, dia yang
paling di depan. Tetapi sekarang? Hisy! Tak boleh jadi ni.
“Lydia, come on. Takkan itu pun tak boleh buat!”
sambungnya geram dan terus berjalan meniti titian kecil itu. Sampai di tempat
Lydia, terus dihulurnya tangan lantas gadis itu meraihnya. Mata bertentang
mata. Terasa degupan jantung pantas berlari. Tidak terkeluar walau satu patah
perkataan pun dari mulut masing-masing.
Lydia juga kelu. Terasa bayang dirinya berada di dalam anak mata
Imran. Sinar mentari juga dirasakan hanya menyuluh mereka berdua. Tiga puluh
saat berlalu seperti mereka berdua sahaja di situ.
“Woi, Imran!”
Suara itu memecah keheningan. Kelihatan Senior Danial dan yang
lain-lain tersenyum melihat adegan drama romantik itu.
“Kalau nak jadi romeo pun, biarlah kena tempat,” usik Danial lagi
sambil disambut hilaian tawa mereka yang
berada di situ.
Dengan pantas, Lydia melepaskan genggaman tangannya. Entah
kenapa, masing-masing terpana sebentar tadi. Dia hanya mengekori Imran dari
belakang sambil mengimbangi badannya. Mereka selamat sampai di hujung tali
tersebut. Mukanya merah menahan malu dengan usikan daripada senior-senior yang
nakal.
“Nasib baik kau dah sampai sini. Kalau tak, aku dengan Hisham nak
ke sana selamatkan korang,” sindir Danial sekali lagi dengan gelak tawa. Terasa
kelakar juga adegan tersebut sebenarnya.
Imran hanya tersenyum.
Lydia pula terpaksa mengekori Imran kerana peserta lain sudah di
hadapan.
“Lain kali dengar nasihat yang lebih tua! Jangan nak memandai
aje!” nasihat Imran. Nadanya penuh sindiran.
“Eh!” Hanya satu perkataan keluar dari bibirnya. Tak habis lagi
nak marah orang? Geramnya pada Imran membuak-buak. Namun, memikirkan mereka
masih dalam perkhemahan, di matikan hasratnya.
“Ada nak cakap?” soal Imran. Dia memandang Lydia yang masih
mengigil. Lelaki itu hanya tersenyum sinis dengan ekor matanya yang tajam. Dan
amukan Lydia bertali-tali di dalam hati, tunggu mahu meletup.
“Baik kau jangan mulakan, Ziha!” marah Lydia. Geram pada Imran
masih berbaki, kini rakan-rakannya pula seakan menuang minyak panas.
“Eh! Bukan senang nak diselamatkan oleh YDP kita tau! Hanya kau
sorang aje dalam ramai-ramai peserta okey,” usik Ziha lagi tidak habis-habis.
Berkerut kening Lydia. Jikalau tidak dikenang persahabatan
mereka, mahu ditinggalkan Ziha terkontang-kanting di situ. Namun Lydia cuba
sabarkan dirinya.
“Ziha… Aku memang tengah marah dan geram ni! Aku tak mahu
dipadan-padankan dengan sesiapa pun. Makin orang berkata, makin aku benci
jejaka perasan tu!”
“Wow! Kalau dah sampai tahap ni, aku percaya kau memang
betul-betul marah.”
“Jadi, boleh tak kita pergi makan sekarang? Aku lapar sampai
seekor kambing pun aku boleh lapah!” marah Lydia lalu menarik tangan Ziha
menuju ke tempat makanan. Sempat dia melirik Imran yang sedang berbual mesra
dengan AJK wanita. Hatinya makin panas dengan tahap miang lelaki itu. Seakan
ada kuasa ajaib pula, ekor mata Imran turut menjeling dia dan Ziha yang sedang
berjalan. Dejavu ke? Cepat-cepat Lydia mengalih pandangannya ke hadapan. Dasar
lelaki gatal.
“Lydia… Jangan ingat aku tak nampak,” usik Ziha.
‘Aduh! Bertimpa-timpa masalahnya. Kenapalah dia lupa Ziha ada
bersama dia? Dah kenapa aku lak yang tak cerdik pandang Napoleon kecil tu?
Geramnya!’
“Dah! Jangan pandang belakang!” Terus dia menolak Ziha dengan
lembut.
No comments:
Post a Comment