Lydia melihat teman
sebiliknya yang sudah lena dibuai mimpi. Dilihat jam di tangannya. Baru pukul
10.00 malam. Perutnya berkeroncong. Dia perlu mencari makanan untuk mengalas
perut.
Dengan perasaan malas, dia menuju ke café. Selepas membuat
pesanan, Lydia duduk di kerusi yang agak jauh dari pandangan orang ramai sambil
memerhati suasana sekeliling. Pandangannya beralih ke arah lorong di
hadapannya. Dia membulatkan mata. Susuk tubuh yang sedang berjalan
menghampirinya seperti dikenali. Belum sempat dia bangun, Imran telah menghampirinya.
“Nak ke mana?” tanya Imran sambil tersenyum.
“Nak balik ke bilik,” jawab Lydia sambil memikirkan cara untuk
meloloskan diri melalui lorong tersebut tanpa bersentuh dengan Imran.
“Bukan ke awak dah order burger?” Sengaja Imran membakar
Lydia yang kelihatan serba salah mukanya.
“Ha’ah… lupalah,” jawab Lydia lemah. Dia bangun lalu mendekati
gerai burger itu semula.
Imran mengekori langkah Lydia. “Sein, buat cepat-cepat untuk awek
aku ni tau!” arah Imran.
Sein mengangguk dan tersenyum.
‘Awek?’ Nak termuntah Lydia mendengar perkataan yang disebut
Imran.
“Lapar sangat ke?
“Tak lapar sangat. Saja nak makan,” jawab Lydia dengan nada acuh
tidak acuh.
“Awak free tak pagi esok?”
“Kenapa?”
“Saya nak ajak awak joging kat Tasik Harapan. Biar keluar peluh
sikit!”
Kali ini Lydia terbeliak memandang Imran. Masuk bab jogging pula
dah? “Maaf, saya sibuk!”
Lydia makin gelisah dengan pertanyaan demi pertanyaan. Dalam masa
yang sama dia merasai perasaan yang cukup aneh. Hatinya terasa indah.
Seolah-olah kini dia mempunyai tempat untuk berteduh, bermanja dan bergurau
senda. Hati, janganlah terlalu banyak meminta.
“Jomlah, temankan saya. Saya tunggu awak kat blok tujuh pagi
esok, okey?” pujuk Imran yang tidak pernah putus asa mahu memenangi hati Lydia.
Wajah Imran tampak ikhlas. Hatinya yang sekeras kerikil tadi mula
lembut. Namun, untuk memberi peluang kepada lelaki dalam hidupnya, tidak
mungkin menjadi kenyataan.
“Burger dah siap,” laung Sein.
Lydia bangun untuk
mengambil burgernya. Selesai membayar, tanpa berpaling ke arah Imran yang
menunggu jawapannya, Lydia terus berlalu dari situ.
“Saya tunggu esok. Jangan lupa ya!”
Sayup-sayup kedengaran pesanan suara Imran di gegendang
telinganya. Lydia tidak peduli. Dia harus cepat sampai ke bilik.
Lydia membuka telekungnya lalu meletakkan di atas katil. Sinar
suria mula menembusi tingkap biliknya. Matanya memandang ke luar. Seorang
lelaki dalam pakaian sukan sedang keseorangan di bawah seperti menantikan
seseorang. Dilihat jam di tangan. Tepat jam 7.00 pagi. Imran benar-benar
menepati janjinya. Bagaimana ya?
Antara mahu dan tidak, Lydia menyarungkan pakaian sukan dengan
kasut lalu menuruni tangga untuk mendapatkan Imran.
“Lama tunggu?” Entah mengapa, hati Lydia jadi lembut menerima
pelawaan Imran, tidak seperti lelaki lain. Seperti ada hubungan istimewa
terjalin antara dia dengan lelaki berkumis tipis ini.
“Baru lima minit,” balas Imran dengan perasaan gembira. Dia tidak
menyangka gadis misteri ini akan menerima pelawaannya. “Jom!”
Sambil berjoging, mereka berbual-bual mengenai sesi kuliah,
pensyarah yang menjadi pilihan, peristiwa di Taman Negara dan serba sedikit
mengenai ahli keluarga.
Lydia ketawa tatkala Imran membuat lawak.
“Dah ada boyfriend?” Imran memancing perhatian gadis di
depannya.
Lydia hanya diam sambil menumpukan perhatian terhadap latihan
regangan di Tasik Harapan.
“Kalau dah ada… eloklah saya tarik diri awal-awal. Saya tak nak
dikatakan cuba memikat kekasih orang pula,” jawab Imran separuh merajuk.
Lydia berhenti membuat regangan lalu mengalihkan perhatian kepada
Imran, mencari riak-riak kejujuran di wajah lelaki itu.
“Kenapa awak tanya?”
“Sekadar bertanya sebelum melangkah lebih jauh,” balas Imran
dengan maksud yang cukup tersirat. Mengharapkan gadis di hadapannya memahami
keluh resah di jiwa.
“Saya tak ada boyfriend lagi.”
Wajah Imran kembali bercahaya. Dia terasa berada di
awang-awangan.
“Dan saya tak berhajat untuk ada boyfriend pun.”
Kata-kata akhir Lydia mengembalikan Imran ke alam nyata, dia
masih pelik dengan penjelasan gadis itu. “Tapi kenapa?”
“Saya nak tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Saya nak
bekerja dan membantu keluarga,” jelas Lydia tanpa menoleh ke arah Imran. Tidak
sanggup rasanya untuk menipu dengan alasan yang sengaja diada-adakan. Namun,
inilah alasan terbaik mampu diberikan.
“Saya tak percaya!” tukas Imran.
“Awak meragui kejujuran saya?” Lydia memandang Imran dengan
tajam.
“Bukan begitu. Saya rasa awak ada sebab yang lebih kuat untuk
tidak ada boyfriend. Bukan kerana keluarga… tetapi kerana ini, kan?”
jelas Imran lalu menayangkan sehelai kertas yang bertulis tangan. Terbentang di
hadapannya helaian lirik lagu dikir barat yang tidak jadi dipersembahkan ketika
perkhemahan dahulu.
Lydia tergamam. Patutlah dia tidak berjumpa kertas tersebut.
Rupa-rupanya ia telah dijumpai Imran. Kelu lidahnya untuk mencipta sebarang
alasan.
“Kenapa awak benci lelaki?” tanya Imran lagi.
“Betul awak nak tahu?”
Imran mengangguk.
Lydia meraup wajahnya. Imran bukan lelaki yang mudah putus asa.
Makin dia melarikan diri, makin kuat Imran mengejarnya. Memang terasa berat
untuk bercerita kisah silam, tetapi dia harus berterus terang agar Imran
berhenti menganggunya. “Kerana lelaki pernah mengecewakan saya. Menghancurkan
hidup hingga seketika saya rasa tak berdaya untuk berfikir waras lagi. Saya tak
mahu dikecewakan lagi.”
Imran diam. Mukanya seperti orang bersalah.
“Maafkan saya, Lydia. Maafkan saya. Saya tak bermaksud untuk
mengungkit kembali cerita silam Lydia. Maafkan saya.” Berulang kali perkataan
maaf disebut Imran.
Lama mereka membisu melayan perasaan.
“Maaf, saya nak balik berehat.” Lydia meneruskan perjalanannya
tanpa memberi peluang Imran untuk berkata-kata. Sambil berlari dia menyapu air
matanya yang membasahi pipi. Dia tidak peduli mata-mata yang memandangnya.
Imran sudah jauh ditinggalkan.
Hatinya luka, pedih dan perit. Kenangan pahit itu berulang lagi
seperti tayangan filem dalam memorinya. Kesakitan diterajang, kepedihan dan
kedukaan emosinya hanya dia yang menanggungnya. Ia bukan sekadar kesakitan
fizikal, tetapi jiwa dan raganya lebih parah lagi. Tekanan jiwa yang orang
tidak dapat membacanya menerusi pandangan mata kasar.
Dia begitu bencikan lelaki yang pernah menyakitinya, tetapi
bagaimana dengan Imran? Apakah berbaloi menolak seorang lelaki yang baik hanya
kerana peristiwa silam? Lydia membiarkan persoalan itu. Dia sudah tidak upaya
untuk berfikir lagi.
No comments:
Post a Comment