Monday 2 November 2015

DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK ~ Part 86

Lebih kurang 10 tahun yang lalu - cepatnya masa tu kan. Dari terperap dalam emel, letak sini boleh juga baca2, boleh sharing. Pahala berterusan. Tak dapat buat baik banyak, buat baik sikit pun jadilah.

Tarikh emel ; 28 April 2006

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu
daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala.
Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka
tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa
                yang diperintahkan" [al-Tahrim 66 : 6]


Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai.
Saya  bukan  meminta  kelebihan. Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa
kotak  kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk isteri
dan anak-anak.

"Bolehlah  ustaz,  janganlah  macam  itu.  Anak hari-hari boleh jumpa. Kami
sudah  tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat
pertimbangkan permintaan kami", kata seorang pemanggil yang menelefon saya.

Dialog  seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya serba
salah.  Mengapakah  masa  seorang  ustaz  untuk anak-anaknya tidak dianggap
penting? Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang,
didikan  dan perhatiannya kepada anak-anak. Semasa saya kecil, saya tinggal
di  sebuah  kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya pernah membuat
kesimpulan bahawa budak-budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak
pun anak polis!

Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh
beranggapan sedemikian rupa. Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang
ayah  belikan,  dibengkokkan  oleh  si  Samseng Kampung Dusun, anak seorang
ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi gundah semula. Terutamanya selepas
menerima maklum balas seperti dialog di atas.

Kera  di  hutan  disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah peribahasa
Melayu  yang  amat  menusuk  perasaan saya. Ketika saya menaip artikel ini,
Saiful  Islam  dan  Naurah  sedang  tidur  nyenyak di depan saya. Memandang
mereka telah meretak hibakan hati saya.

"Maafkan  Abi,  wahai  anak-anakku,  Abi  berdosa mengabaikan kalian", saya
sukar menahan hati dari bersedih.


Saya  masih  ingat,  semasa  saya  di  Ireland,  usaha  saya  mendidik  dan
membesarkan  Saiful  Islam,  ternyata  amat  mudah.  Malah saya setiap hari
memanjatkan  syukur  kepada  Allah  kerana  Saiful  Islam  amat mudah untuk
diurus.  Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa
anak  sulung  saya  ke masjid, saya baringkan di kepala sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.

Semasa  itu,  untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya
amat  mudah.  Saya  tunding  jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam
sudah  menghamburkan  air  mata takutkan 'kemarahan' saya. Tidak dinafikan,
ketika  itu  mungkin  usia  anak  saya baru setahun dua. Memang tidak susah
menjaganya.  Tetapi  apabila  saya  fikirkan, hari ini saya tetap saya yang
sama.  Anak  bertambah,  usia  mereka  juga  bertambah, tetapi mereka tetap
berayahkan  ayah  yang  sama.  Tetapi  kenapa hari ini, fikiran saya selalu
kusut memikirkan mereka?

Ya,  suasana  di  Ireland  amat  saya  rindui. Saya duduk di negara Kuffar,
tetapi  usaha  mendidik  anak  memang  mudah dan menggembirakan. Saya tidak
menyesal  menjadi  'suri rumah' selama beberapa tahun. Saya bertugas secara
sambilan  di  beberapa  masjid, menyambung pengajian Master secara distance
learning  dengan  The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal
makan  minum,  hal  ehwal  rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan
mata.

Itu  lebih  baik,  daripada  saya  bekerja  sebagai  kasyer  di pasar raya,
kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro
sebulan.  Masakan  tidak,  semua  nanny  memegang  Ijazah  Early  Childhood
Learning  malah  mahir  pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first
aid.

Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya
sibuk  bekerja  di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam.
Maka  saya  mengambil  alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak,
menyalin  bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya
bermain  bersamanya  seketika, kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah
hari.  Saiful  Islam  tidur  semula  sekitar  jam 11 dan saya naik ke bilik
ulangkaji  untuk  membuat  assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca
baik.  Tengah  hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa
Saiful  Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya,
pulang  bersama  sambil  menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas,
kadang-kadang  kami  melencong ke belakang hospital bersama roti keras yang
saya  bawa  dari  rumah,  untuk memberi burung undan di tasik, makan petang
bersama  kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut
sama.

Jika  isteri  saya  oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk,
khususnya  semasa  isteri  saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah.
Suasana  ketika  itu  memang  nyaman,  fikiran  saya  tenang  dan prolifik,
kegiatan  kemasyarakatan  banyak  dan  saya  sanggup mengayuh mountain bike
selama  2 jam untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik yang
tinggal di South Circular Road, Dublin.

Itulah  suasana  saya  membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami
sunyi  tidak  mendengar  laungan  azan dari menara masjid bertahun lamanya.
Namun  derita  melihat  laungan  azan  tidak  diendahkan di Malaysia, lebih
menghiris rasa.

Hari  ini  saya  sudah  pulang  ke  Malaysia. Cabaran membesarkan anak-anak
semakin meruncing.

Semasa  di  Ireland,  saya  pernah  berbual  dengan  isteri sambil merenung
daun-daun perang gugur di petang musim luruh.

"Abang  rasa,  kita  hanya  boleh  tinggal di Ireland sampai usia anak kita
mencecah  umur  tadika.  Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke
Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami.

Isteri saya mengangguk tanda setuju.

Saya  berfikiran  begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu
sahaja  saya  patut  risau.  Semasa  bertugas  sebagai Pengetua dan guru di
Belfast  Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain
kisah  di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya
juga  tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road,
Belfast.  Seorang  anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya
tertulis "OMER". Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila
ditanya  sama  ada  beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan
berkata, "my father is a Moslem!"

Aduh,  adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak
dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.

Tetapi  selepas  pulang  ke  Malaysia,  pandangan saya berubah sama sekali.
Kadang-kadang  saya  menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami,
"apakah selamat anakku membesar di Malaysia?"

Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas
Iman dan Kufur kepada anak-anak.

"Jangan  ikut  perangai  Spencer  itu,  dia bukan orang Islam!", saya boleh
menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.

Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa
yang  jahat  itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.

Tetapi  bagaimana  di  Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya
lebih  kurang  sama.  Perangai  dan  akhlak tidak banyak berbeza. Grey area
melebar  luas.  Nak  dikatakan  tidak  Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya
tidak  mencerminkan  agama  di  kad  pengenalannya.  Habis,  mudahkah  saya
menerangkan  semua  ini  kepada  anak-anak?  Saya  tabik  kepada rakan yang
sanggup  menyekolahkan anak-anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke
sekolah  menghantar  bekal  makanan  sendiri.  Semuanya  kerana mereka mahu
anak-anak  membesar  di  dalam  suatu suasana yang garis hitam dan putihnya
jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...

Lebih  menyedihkan,  sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland.
Hari  ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk
darah  saya  tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua
jam  meredah  lautan  kereta.  Syukurlah  saya  banyak berusaha membaca dan
belajar tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis
setiap  insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah
berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.

Saya  sentiasa  berasa  malu  apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey.
Profesyennya  sama  seperti  saya. Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia
tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan  dengan  anak-anaknya.  Bukan  suatu  yang  mudah  untuk  seorang
American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.

Sebab  itu  jugalah  saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan
leteran.  Lagi  banyak  kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya
tidak  percaya  kepada  pendekatan  marah  sebagai  teknik  default menegur
kesalahan  anak.  Berapa  ramai  yang  menjadi  baik  hasil  siri  marah di
sepanjang  usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan
menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari
nanti.  Ingat,  anak  kita  mungkin  gagal  mengikut kata-kata kita, tetapi
mereka  tidak  akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu
dan  bapa.
 Jika  anak  kita  buruk  kelakuan, jangan cari sebab yang jauh.
Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.


Ya  memang  marah  itu  perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya
lebih  suka  bercakap  dengan  anak-anak  dan cuba memahamkan mereka kenapa
satu-satu  perbuatan  itu  betul  atau salah. Jika Saiful Islam naik angin,
saya  akan  tangkap dia dan mandikan agar 'sejuk', kemudian saya ke bawanya
ke bilik dan kami berdialog.

Biar  pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang,
saya  sentiasa  setia  melayan.  Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau
sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang
ingin  dikongsi  oleh  Saiful  Islam  dan kini Naurah juga. Biar pun isunya
hanya  soal  kad  Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar
dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.

Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak
saya,  ialah  kerana  saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah
kesalahan  anak-anak  saya  yang  belum  mumayyiz dan tidak aqil baligh ini
kepada  saya  dan  ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri
terhadap mereka.

Masakan  tidak.  Saya  telah  memilih  isteri  yang  solehah dan sebahagian
cita-cita  saya,  agar  akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak
suatu  hari  ini.  Saya  percaya,  ramai  dari kalangan kita yang melakukan
perkara  yang  sama.  Pendidikan  anak-anak bermula dengan memilih ibu yang
baik untuk mereka.

Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada
anak-anak?  
Sukar  untuk  menjawab  soalan  ini  kerana  orang sebenar yang
membesarkan  anak-anak  hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah
Indonesia.  Alhamdulillah  jika  yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat
dan  menjaga  batas-batas  agama.  Bagaimana  dengan yang berpembantu rumah
seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.

Kita  berjumpa  dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang
seri  di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika
saya  sampai  di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan
akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?

Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru
nursery,  dan  entah  siapa  lagi.  Ibu  dan ayah di mana? Jawapannya mudah
sahaja, SIBUK BEKERJA.

Janganlah  disangka  kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana
makan  pakai  anak-anak  sudah  cukup.  Itu  hanya  taraf lembu membesarkan
anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu.
Soal  makan,  minum,  pakaian,  perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan
spiritual,   semuanya   mesti   diharmonikan  bersama  bekalan  yang  tidak
putus-putus.  Apa  yang  paling  utama  adalah  soal  jumlah masa yang kita
luangkan  bersama  mereka.  Sudah  cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa
kita benar-benar kasihkan mereka?

Tetapi  zaman  ini,  zaman  membesarkan  anak-anak diswastakan kepada pihak
lain.
 Kita  sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai
mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.

Ingatlah,  dalam  suasana  kita  hari  ini,  dosa  ibu  dan  bapa  terhadap
anak-anak,  lebih  besar  berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah
wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret
saya  ke  suasana  yang  menjadikan  saya  tersepit. Saya ada tanggungjawab
kepada  anak-anak,  anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad'u
pertama saya.

Jika  kita  dalam  perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah
untuk  Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi
selepas  15  minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita
tiada.  Ketika  itu  kita  kelam  kabut  mencari  U-Turn  dan  mulut  tidak
henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada
mudarat.

Ya,  jika  kita  tercicir  anak  di  perjalanan dunia, kita ada jalan untuk
berpatah  balik  menyelamatkan  keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor,
polis,  jurutera,  pegawai  bank  dan  kita-kita  semua  yang  ketika dalam
perjalanan  memanjat  tangga  kenaikan  pangkat, kita tertinggal isteri dan
anak-anak  di  belakang.  Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi
jika  mereka  ditinggalkan  dari  Tarbiah  dan  didikan  Islam, ketika kita
tersedar  yang  mereka  yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada
jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika  ada  lelaki  atau  wanita  yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa
kepada  pengorbanan  anak-anak  selama  ini. Jangan lupa dosa kita terhadap
mereka.

Saya  hairan  semasa  membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah
pada  ibu  yang  melahirkan  tuannya.  Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa
suasana begitu boleh terjadi?

Akhirnya  saya  membuat  kesimpulan,  anak  durhaka di akhir zaman, bermula
dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!

Maafkan Abi dan Ummi!



ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Cheras 56000, 19 April 2006

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...